Ada orang rasa diri dia tidak berguna untuk Islam.
“Saya ni bukannya hebat sangat. Ilmu tak ada. Nak cakap fasal Islam tak boleh sangat.”
“Saya ni bukannya petah berbicara. Nak cakap dengan orang tak reti. Nak dakwah lagi lah.”
Dakwah. Satu perkataan popular yang asalnya dari perkataan da’a di dalam bahasa arab. Da’a bermaksud seru manakala dakwah adalah seruan. Biasanya, apabila disebut dakwah, kita akan mengaitkannya dengan seruan kepada Islam.
Kalau ditanyakan kepada saya, siapakah yang layak berdakwah, maka saya akan katakan semua orang islam. Apakah hanya untuk orang berilmu sahaja? Tidak. Saya akan katakan kepada semua. Hakikat dakwah adalah wajib sebenarnya.
Tetapi persoalan yang sering dibangkitkan selepas itu adalah: “Tidak punya ilmu, tidak petah berbicara, tidak hafal Al-Quran banyak, tidak sekolah agama dan bla-bla-bla.”
Ok. Stop.
Saya rasa kita kena ubah sesuatu di dalam diri kita.
Kita kena faham bahawa, kita semua boleh berdakwah.
Kewajipan dakwah.
Dakwah adalah wajib. Sesiapa yang mnyatakan tugasan dakwah telah terhenti apabila Rasulullah SAW telah wafat maka itu adalah kesilapan. Hal ini kerana, di dalam Al-Quran jelas telah menyatakan bahawa dakwah merupakan wajib kepada semua.
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.” Surah Al-Baqarah ayat 140.
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia (Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.” Surah Ali-Imran ayat 110.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.
“Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.” Hadith riwayat Bukhari.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan hartabenda dan diri kamu.” Surah As-Saff ayat 10-11.
Di sini kita dapat melihat betapa Allah SWT tidak mengarahkan dakwah itu hanya kepada Rasulullah SAW semata-mata. Tetapi juga kepada ummat Islam yang beriman lainnya. Terdapat pula isyarat-isyarat lain akan kewajipan dakwah ini kepada semua apabila Rasulullah SAW menghantar utusan-utusan da’ienya ke serata tempat. Apabila Abu Bakr RA tetap meneruskan usaha-usaha dakwah walaupun kewafatan Rasulullah SAW dan begitulah juga khalifah seterusnya.
Jika benar dakwah hanya untuk Rasul sahaja, maka Rasulullah tidak akan menghantar utusan, dan sahabat-sahabat sepatutnya berhenti menyebarkan Islam.
Maka, ketahuilah di sini bahawa, saya, anda, dan saudara-saudara kita di dalam Islam yang lain itu semuanya mempunyai tanggungjawab dalam menyebarkan Islam ini.
Habis, macam mana saya hendak berdakwah?
Soalan itu pun muncul. Bila sudah tahu tanggungjawab, maka kita akan mencari cara bagaimana hendak melaksanakan tanggungjawab. Ini bagi mereka yang baik hatinya, suci jiwanya. Rasa tanggungjawab itu akan memberat di pundak hingga mereka berusaha untuk mengerjakannya.
Tetapi bagi yang jiwanya diselimuti hawa nafsu, mungkin dia merasakan ini semua tidak perlu. “Aku peduli apa.” Mungkin.
Jadi, macam mana hendak berdakwah?
Satu perkara yang perlu disedari adalah, dakwah ini luas medannya. Jika di dalam buku usul dakwah saya, ringkasan yang dibuat oleh Dr ‘Adnan Khutotobeh daripada buku Usul Dakwah karangan Dr Abdul Karim Zaidan, ternyata jalan-jalan untuk melaksanakan dakwah itu melebihi puluhan.
Maka soalan pertama yang perlu ditanya, apakah yang kita ada?
Ya. Apa yang anda ada?
Anda pandai menulis? Maka gunakan penulisan anda untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT.
Anda pandai berbicara? Maka gunakan kepetahan anda untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT.
Anda pengarah filem? Maka gunakan kelebihan anda untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT.
Anda seorang guru? Maka gunakan peluang pekerjaan anda untuk mengajak murid-murid serta rakan sekerja untuk kembali kepada Allah SWT.
Anda seorang pensyarah? Maka gunakan peluang di dalam kuliah anda untuk mengasimilasikan pengajian anda dengan mengembalikan manusia kepada Allah SWT.
Anda seorang doktor? Maka sambungkan harapan pesakit-pesakit anda kepada Allah SWT.
Begitulah. Apa sahaja abiliti, kelebihan, yang kita punyai, kita gunakannya sebagai peluang untuk menyebarkan agama Allah dengan lebih luas lagi.
Masalahnya saya tidak punya apa-apa. Saya orang biasa sahaja.
Masalah timbul adalah apabila kita tidak mempunyai abiliti seperti berani bercakap dan mempunyai kebolehan seperti menulis dan sebagainya.
Tetapi sebenarnya ini bukan masalah pun.
Dakwah tetap wajib kepada anda.
Bagaimana?
Paling kurang dengan akhlak. Yang ini, semua orang pun kena buat. Ya, akhlak. Itu juga adalah dakwah. Anda tidak pandai bercakap? Tak mengapa. Anda tidak mempunyai kelebihan apa-apa? Tak mengapa.
Binalah akhlak anda. Itu satu dakwah hakikatnya.
Mengapa? Sebab akhlak adalah apa yang manusia pandang. Hakikatnya, akhlak adalah perkara yang paling basic. Pendakwah yang pandai cakap pompang pomping pun, kalau akhlak tak ada, tetap tak berguna juga.
Anda pensyarah tetapi segan nak cakap fasal Islam? Maka tunjukkan akhlak yang baik.
Anda jurutera, tetapi tak tahu nak sebar Islam macam mana? Maka tunjukkan akhlak yang baik.
Anda guru, tetapi tak tahu hendak mengajak anak murid kepada Islam bagaimana? Maka tunjukkan akhlak yang baik.
Anda seorang ahli keluarga, tetapi mati akal hendak mengajak keluarga kepada Islam? Maka tunjukkan akhlak yang baik.
Begitulah.
Akhlak ini yang anda perlu perhatikan. Anda boleh berdakwah melaluinya. Tunjukkan syakhsiah muslim muslimah anda. Tepati janji, tepati waktu, bicara yang baik, pakaian yang sopan dan kemas, amanah dan jujur, baik hati dan mengambil berat, ziarah dan memberikan hadiah, sentiasa senyum dan sentiasa berusaha meringankan masalah orang.
Ini juga adalah satu dakwah.
Tidakkah anda memerhatikan? Mudah bukan? Bahkan ia adalah antara cara dakwah yang paling berkesan. Kita semua tahu bahawa manusia suka orang yang berakhlak. Professor hebat macam mana pun, kalau tak ada akhlak, kita pun benci.
Maka jika kita memahami bahawa dakwah itu wajib, wajiblah bagi kita menjaga akhlak kita. Hal ini kerana, keburukan akhlak kita adalah palitan lumpur kepada Islam itu sendiri. Bukankah kita telah berdosa?
Tak ada alasan bukan? Apakah berakhlak pun memerlukan abiliti atau kelebihan tertentu?
Saya tidak rasa begitu.
Penutup: Bertebaranlah di muka bumi, dan serulah manusia.
Di sinilah kecantikan Islam. Mudah. Semua orang boleh buat. Semua orang boleh aplikasi. Tambahan, Islam tidak bergerak secara sendiri-sendiri. Ia bergerak secara jama’i. Bukanlah Rasulullah sahaja perlu berdakwah, ummat baginda juga perlu. Jika tidak, baginda tidak akan menghantar Mus’ab bin Umair RA ke Madinah, baginda tidak akan menghantar Mu’adz bin Jabal ke Yaman. Baginda tidak akan menghantar 80 sahabat yang akhirnya mati di dalam peristiwa Bir Al-Ma’unah.
Paling kurang dengan akhlak. Itulah peranan kita.
Yang ada kepetahan berbicara, yang ada kelebihan menulis, yang mampu menonjol ke hadapan, yang boleh memimpin, yang mampu mengaut ilmu lebih tinggi, semua ada tugasan masing-masing dan tanggungjawab menggunakan abiliti mereka untuk Islam.
Tetapi tetap orang yang tidak mempunyai kelebihan-kelebihan itu, mempunyai peranannya juga. Bayangkan ya, pendakwah pompang pomping cakap Islam itu bagus, Islam itu cara hidup yang sebenar, tetapi ada ummat Islam yang rogol bukan Islam. Bagaimana? Tidakkah itu mencacatkan?
Maka di sini kita perlu faham betapa kita juga berperanan.
Akhlak adalah dakwah.
Jangan kata anda tidak boleh berdakwah.
Binalah akhlak.
Itu tugasannya.
Kredit : http://ms.langitilahi.com/motivasi-saya-hendak-berdakwah-boleh/
0 comments:
Post a Comment