“Hai. Assalamualaikum!” saya menjawab.
“Err… Mr. Imam, I wanna share with you a good news of mine. I just got married!” kata wanita itu.
Saya mengagak beliau berketurunan India atau Pakistan walaupun loghat Celtic beliau agak pekat.
“Alhamdulillah. Congratulations! What can I do to help you? Anything you need from our Mosque?” saya melayan keceriaan luar biasanya.
“Indeed. I do need your help. I want you to attend our wedding in Derry to bless our wedding reception” katanya.
“Oh, I see. May I know the details?” saya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“Ah, of course. My husband Micheál is from Derry. We got married and registered in Florence, Italy. We want the reception to be done according to Islam and Catholicism. The reception will be held in a church over there. By the way, I’m calling from Manchester” jelas wanita itu lagi.
“Is he a Moslem?” saya meneruskan ‘siasatan’.
“Err… no he is not. He’s Catholic. Aren’t we allowed to marry a Catholic? You know, the ‘People of the Book’!” wanita itu agak terkejut dengan soalan saya.
SALAH FAHAM TENTANG PERKAHWINAN AHLI KITAB
Seperti yang saya jangkakan, wanita ini berkahwin dengan lelaki tersebut dalam bentuk yang bermasalah. Saya jelaskan kepada beliau, jika peruntukan berkahwin dengan Ahli Kitab mahu diguna pakai sekali pun, kebenaran itu hanya untuk lelaki Muslim berkahwin dengan wanita Kitabiyyah dan tidak sama sekali untuk wanita Muslimah mengahwini lelaki Ahli Kitab.
“Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. dan makanan orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya – di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” [Al-Ma'idah 5: 5]
Ayat ini membina hukum mengharuskan perkahwinan lelaki Muslim dengan Kitabiyyah. Akan tetapi ia tidak sama sekali bermaksud wanita Muslim juga boleh mengahwini lelaki Ahli Kitab kerana peruntukan hak memimpin, nisbah nasab anak-anak kepada bapa dan Qawamah lelaki ke atas perempuan yang berada di bawah tanggungan serta penjagaannya.
Di kalangan ulama yang mengekalkan keharusan peruntukan lelaki Muslim mengahwini wanita Kitabiyyah, banyak perincian diambil kira daripada aspek persekitaraan, manfaat dan mudarat, apakah wanita itu muhsanah (memelihara maruah diri, tidak mengamalkan seks bebas) atau tidak, malah dinilai sama ada wanita Kitabiyyah itu Zimmiyyah atau Harbiyyah dan banyak lagi. Semuanya demi mempertimbangkan sejauh manakah dominasi Islam dalam perkahwinan tersebut terhadap hak suami yang Muslim mengamalkan agamanya dan jaminan anak-anak dibesarkan sebagai Muslim. Kerana itulah ruang sempit pada mengharuskan perkahwinan antara Islam dan agama Kitabiyyah ini, hanya diperuntukkan kepada lelaki Muslim mengahwini wanita Kitabiyyah dan bukannya wanita Muslimah mengahwini lelaki Ahli Kitab.
JALAN MATI
“Jadi, Imam tidak bolehlah datang untuk memberkati majlis perkahwinan kami nanti?” tanya wanita itu.
“Sehingga Micheál memeluk Islam, barulah perkahwinan boleh berlaku. Ada pun keadaan semasa anda, perkahwinan itu tidak sah menurut peraturan Islam secara konsensus!” saya memuktamadkan penjelasan.
“Imam rasa, kalau saya cuba hubungi masjid lain, apakah ada kemungkinan saya mendapat pendapat yang berbeza?” wanita itu menyambung soalan.
Panas telinga saya mendengar soalan yang satu ini.
“Masjid yang mengamalkan Islam yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam, tidak akan memberikan pendapat yang berbeza daripada apa yang saya terangkan tadi. Perkahwinan lelaki Muslim dengan wanita Kristian, ada beberapa panduan yang diguna pakai di masjid kami pada menguruskan cabaran ini. Tetapi perkahwinan wanita Muslimah dengan lelaki Kristian, saya tidak dapat berbuat apa-apa. I’m sorry mam, err… miss!” saya tersasul membahasakan dirinya.
Sepi…
Wanita itu termenung barangkali.
“Err… ok. Thanks for your help” wanita itu menamatkan perbualan kami.
“My pleasure. Take care sis, Assalamualaikum” saya menyudahkan dialog kami dengan doa dan salam.
UJIAN REALITI KEHIDUPAN
Memulakan tugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre sungguh mencabar. Mendepani generasi Muslim ketiga yang sudah menjadi rakyat Britain dan Ireland, ketika mana saya adalah Imam sepenuh masa pertama yang ditugaskan di situ, sesungguhnya saya mewarisi sebuah legasi turun temurun yang amat bersimpang siur.
Mengendalikan kes Muslim vs Ahli Kitab memerlukan saya untuk keluar daripada pendapat tanpa dhawabit (garis panduan prinsip) yang lazim berlaku di tanah air tentang isu ini. Di negara kita, Ahli Kitab mungkin lebih kepada sebuah isu. Kita tidak mendepaninya secara realiti. Atau terlalu dimomokkan dengan masalah kahwin campur di negara jiran, Indonesia.
Tetapi mastautin saya selama 6 tahun di negara Barat memerlukan saya untuk lebih teliti menelusi 1001 perbezaan pendapat yang berlaku seawal zaman Sahabat hinggalah ke hari ini, tentang implimentasi peruntukan hukum yang terdapat di dalam Surah al-Ma’idah ayat ke-5 itu.
Alasan bahawa Ahli Kitab sudah tidak wujud pada hari ini semata-mata dengan hujah Injil dan Taurat yang ada sudah terseleweng, tidak boleh dijadikan satu-satunya sudut menentukan hukum. Hakikatnya, penyelewengan itu sudah sedia berlaku di zaman penurunan al-Quran.
Semasa Allah Subhanahu menghukumkan kafir kepada mereka yang mengganggap Isa sebagai Tuhan atau Uzair sebagai anak Allah, ketika itu jugalah Surah al-Ma’idah ayat 5 itu diturunkan.
Penilaian tentang sama ada hari ini masih wujud atau tidak Ahli Kitab, memerlukan kepada pandangan yang lebih menyeluruh. Malah pandangan itu tidak hanya berkisar tentang persoalan hukum Fiqh semata-mata, sebaliknya keadaan persekitaran mesti diambil kira. Sebagaimana para sahabat menolak status Ahli Kitab kaum Arab Bani Taghlib, juga Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu mengarahkan beberapa sahabat yang mengahwini wanita Kitabiyyah menceraikannya kerana keadaan semasa yang boleh mencetuskan kemudaratan, maka demikian jugalah pada hari ini, tindakan-tindakan yang berbeza di peringkat implimentasi mesti diambil kira.
Andai keharusan itu mahu diimplimentasikan sekali pun, saya perlu mempertimbangkan banyak aspek.
Adakah wanita itu Kristian atau agnostik malah atheist?
Adakah beliau muhsonah atau pengamal seks bebas?
Sejauh mana kuatnya agama bakal suami yang Muslim itu?
Bagaimanakah persetujuan mereka berdua tentang cara anak-anak dibesarkan nanti? Islam? Kristian? Bebas?
Siapakah pula wali perempuan Kitabiyyah itu? Bapanya yang Kristian? Berwalikan Hakim? Atau bagaimana?
Bagaimanakah pula bentuk lafaz ijab dan qabul?
Bagaimana pula mekanisme sokongan dan bantuan masjid?
Syukur Alhamdulillah, walaupun perkahwinan antara Muslim dengan wanita Kitabiyyah tidak boleh saya hentikan secara serta merta, namun dengan peraturan-peraturan yang diperketatkan, serta menyiasat latar belakang lelaki yang mahu memperisterikan seorang wanita muhsanah Kristian, kesan-kesan negatif daripada perkahwinan yang berisiko tinggi ini semakin berjaya diminimumkan.
Di satu sisi lain, kaedah terbaik untuk menyebarkan Islam, adalah tetap melalui DAKWAH berplatformkan pergaulan dan pendidikan.
HARGA DIRI
Namun tersentuh juga hati saya memikirkan sesuatu. Biar pun agama Kristian dan Yahudi itu mengalami banyak penyelewengan, namun harga TAUHID dan SUCI DIRI (MUHSANAH) menjadi sendi keharusan lelaki Muslim mengahwini wanita Kitabiyyah. Bagaimana pula perihalnya anak-anak gadis Muslim kita yang hari ini Tauhidnya entah ke mana dan kesucian diri dan daranya sudah tidak dianggap berharga lagi?
Tidakkah besar musibah di depan mata ini?
Saya tidak faham jika ada yang berkata, “tak tahulah apa nak buat. Tak ada kerja!”
Allahu Akbar!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
68000 AMPANG
0 comments:
Post a Comment