Tuesday, October 23, 2012

PLANNER IMAN 2013

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah Planner IMAN 2013 siap dijual.

Hadir dengan dua tema:
1. Islamic Quote
2. Friendship (general)


Ada tiga code sesuai poster:
code 1: warna coklat
code 2 : warna hitam putih
code 3: warna biru.

Keistimewaan:
1. Harganya tetap sama seperti Planner IMAN 2012. (Rp 37K / Rm 15)
*tapi belum termasuk caj penghantaran bagi mereka yang diluar Bandung dan Malaysia)
2. Ada borang mutabaah ibadah & kalender Hijrah bagi tema Islamic Quote.
3. Ada jadual cuti umum di Malaysia dan Indonesia bagi kedua-dua tema.
4. Ada page untuk daily planner dan blank page sebagai notes.

Tempahan:
FK - Mahirah Mohd Yusof & WanIefa W. Abdullah
TWP - Suhail Al-Yahya & Arifah Sariman

FKG - Anis Syakirah
Farmasi -Farhain Amir
Koas - Nik Syuhadah
(borang tempahan akan beredar mengikut batch masing2. nantikan)

Untuk di Malaysia: Fatin Ayuni
Untuk luar dari Bandung, di Indonesia: Farhain Amir (087827714613) & Suhail Al-Yahya (087822004121).

p/s: untuk luar dari Bandung, lagi banyak tempahan lagi bagus. Sebab kos post penghantaran belum termasuk.
Tempahan di ambil sehingga 25.12.2012. =)
Lebih banyak photo, di page Facebook IMAN:

Tuesday, September 18, 2012

Rahsia Ketenangan


Assalamualaikum wbt.

Sebelum meneruskan pembacaan, alangkah baiknya jika kita semua dalam keadaan tenang seperti tajuk yang diberi semoga mendapat input dengan lebih mudah. Okey? Chill je J

Cara-cara ingin hati tenang:

1. Evaluasi diri sendiri; Ingat semula, Muhasabah diri: katakanlah kepada diri ini bahawa, setiap yang berlaku ada rahsia Allah S.W.T. yang disebaliknya untuk kita.  

Seperti contoh:

a) Dalam perjalanan ke kuliah, tiba-tiba datang seekor burung di atas kita tanpa kita sedari, lalu terkena tahinya di kepala kita. Apalagi, kita pun terus rasa nak maki kepada burung tu kan. Tapi, jangan cepat melatah. Mungkin di sini kita ingin diselamatkan Allah dari apa-apa kemalangan atau ujian seperti jatuh longkang  jika kita teruskan perjalan tadi. Ataupun ingin diselamatkan dari melakukan dosa seperti mengumpat lalu Allah alihkan perhatian kita.

Contoh yang kedua:

b) Sewaktu kita baru mengangkat takbir pada permulaan solat, sudah pun merasa khusyuk membacakan doa iftitah, tiba-tiba datanglah seekor kucing mengeluarkan satu cecair yang boleh tahan bau hancingnya dan terkena kaki ataupun telekung bagi akhwat. Sekaligus, membatalkan solat kita itu. Panas hati tidak kepalang. Tapi jangan. Lihatlah kembali kepada mukanya yang comel dan innocent itu pasti akan meredakan semula kemarahan kalian. InsyaAllah. Di sini mungkin Allah juga ingin mengingatkan tentang telekung itu yang sudah berbulan-bulan pinjam di masjid ataupun kepunyaan orang yang harus dipulangkan dengan segera ataupun mungkin kita telahpun hilang air wudhu’ tanpa kita sedari.

2. Kerap menunaikan solat sunat taubat

عن أبي بكر رضي الله عنه أنه قال: "سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " ما من عبد يذنب ذنباً فيُحسِنُ الطهور ثم يقوم فيصلي ركعتين ثم يستغفر الله إلا غفر الله له " ثم قرأ هذه الآية {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ} آل عمران: الآية 135 . رواه أبو داود (1521) وهو حديث حسن.

Daripada Abu Bakar RA katanya : Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang hamba itu melakukan suatu dosa, lalu dia mengelokkan bersucinya (berwuduk) kemudian dia berdiri dan bersolat dua rakaat, kemudian dia beristighfar kepada Allah, melainkan Allah akan mengampunkan dosanya”. Kemudian baginda membaca ayat ini: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.
(Riwayat Abu Dawud - hadith hasan)

Mungkin ada satu ketika kita berada dalam keadaan yang resah gelisah, tidak boleh duduk diam yang boleh jadi kita alpa yang kita ada melakukan kesalahan padaNya ataupun kepada keluarga, rakan-rakan atau mungkin juga persekitaran. Ini adalah salah satu cara yang mudah dan boleh dilakukan dimana-mana dan pada bila-bila masa sahaja supaya kita menjadi lebih tenang iaitu mendekatkan diri kepadaNya.

3. Cukuplah Allah sebagai penolong kita

                Kita harus YAKIN! Bahawa Allah selayaknya yang boleh membantu kita. Tak mungkin Allah akan abaikan kita. Segala-galanya yang diberi dan yang wujud di dunia ini adalah milik Allah, jadi janganlah sandarkan pada yang lain selain Allah. Walaupun ini adalah yang paling susah, tetapi kita harus usahakan supaya kita betul-betul beriman kepada yang Esa.

Capailah sampai satu tingkat iman ini, apabila mereka akan mengucap kalimah ‘Alhamdulillah’ ketika mendapat musibah. Setiap urusan kita mohon pertolongan dari Allah. Jangan ada ragu walau sedikit pun. Yakin pada Allah. Allah akan memberi rezeki yang tidak disangka-sangka kepada kita. 


Monday, September 10, 2012

"Buta" Walaupun Celik


Assalamualaikum, entri kali ini berkisar tentang muhasabah diri dan saya berharap dapat kita semua dapat mengambil iktibar.

Nikmat penglihatan yang dikurniakan Allah kepada kita membolehkan kita melakukan rutin atau mengkoordianasi pergerakan kita sehari-hari. Namun, secelik , sebuntang, sebulat mana pun mata kita, ada banyak lagi perkara yang kita "buta".

Kita akui kita sensitif dengan isu umat kita yang kini ditindas, dihina, dibunuh, diseksa! Namun apakah inisiatif kita supaya dapat membantu saudara kita walau sebiji zarah sekalipun?

Kita mengaku kita membela saudara seumat kita di Rohingya, Syria, Palestin dan yang lain-lain, tapi kita masih bermegah-megah dan seronok berbelanja produk import yang membiaya bekalan senjata dan keperluan untuk menindas dan berlaku kejam terhadap saudara kita.

Jangan kita hanya celik kepada dunia dan buta terhadap alirannya. Marilah kita sama-sama memboikot produk-produk yang membiaya israel laknatullah!

Walaupun orang anggap ini sekecil-kecil usaha, namun jika ramai yang menyertainya ia akan memberi impak yang besar. Kita umpama menabung saham-saham kebebasan saudara Islam kita di sana sekaligus menabung saham kita dia akhirat kelak. InsyaAllah. 


Sedarlah rakan-rakan, jangan terhimpit dengan jenama. Ambil inisiatif yang bukan hanya memuaskan diri sendiri. MARI BOIKOT PRODUK ISRAEL!






Thursday, September 6, 2012

Semut pun sedar...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

(Petikan yang diambil dari majalah Solusi ed 43)
 


Bahkan apabila berbaring sekalipun terdapat makna yang mendalam bagi seorang ulama sehebat Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari.

Kisah ini diceritakan oleh Muhammad bin Abi Hitam yang merupakan murid bagi Imam al-Bukhari.
Beliau berkata,
"Suatu hari, aku melihat Imam al-Bukhari sedang baring terlentang. Pada hari itu kami berada di kota Firabr untuk menulis kitab tafsir dan sebab itulah beliau berasa sangat penat"

Aku berkata padanya:
"Aku pernah mendengar kamu berkata 'Aku tidak pernah melakukan sesuatu tanpa ilmu sejak aku baligh'. Lalu, apa ilmu yang ada ketika baring terlentang yang sedang engkau lakukan ini?"

Al-Bukhari menjawab;
"Aku sangat penat hari ini. Kota ini ialah benteng dan sempadan negeri kaum muslimin. Aku khuatir musuh akan menyerang pada bila-bila masa. Oleh sebab itu, aku berniat berehat sekejap untuk mengembalikan kekuatanku"
Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Tajuddin Abdul Wahab bin Ali al-Subki dalam kitabnya, Tabaqat al-Shafiyyah al-Kubra.

INSAN EFEKTIF.

Kisah  di atas menggambarkan betapa para ulama salaf merupakan insan-insan yang sangat efektif. Setiap kali melakukan sesuatu perbuatan walaupun kecil, mereka selalu melakukannya berasaskan ilmu. Mereka sedar hukum perbuatan tersebut dan matlamatnya.

Ulama Kufah bernama Zabid bin al-Harith al Yami berkata:
"Aku suka memulakan setiap aktivitiku dengan niat, bahkan sebelum makan ataupun tidur"

Misalnya apabila makan, mereka berniat bukan untuk memuaskan nafsu dan menghilangkan lapar semata, tetapi agar lebih kuat untuk beribadah kepada Allah dengan asbab lebih bertenaga selepas makan.
Maka, dengan niat seperti ini, makan pun akan mendapat pahala.
Begitu juga dengan tidur, rehat dan semua aktiviti lain. 
Segala aktiviti rutin ini akan ditulis sebagai ibadah di sisi Allah apabila ia diniatkan untuk meraih REDHA ALLAH.


Berniat kerana Allah sebelum makan misalnya akan menyedarkan hakikat diri kita yang selalu fakir kepada rahmat Allah. Sesungguhnya, setiap nikmat yang kita miliki adalah kerana sifat Maha Pemurah Allah swt. Dan kita akan malu untuk melakukan maksiat padaNya.

Sheikh Abdul Wahab al-Sha'rani berkata:
"Sesiapa yang terbiasa menghadirkan hatinya kerana  Allah ketika makan dan minum, Allah akan memberinya sifat qanaah dan zuhud. Allah juga akan menjaganya dari pada kejahatan nafsunya"

SEMUT PUN SEDAR!

Jika sesiapa yang biasa menonton Animal Planet, banyak jenis haiwan yang dipaparkan, jika diamati amat sedikit (malah mungkin tidak ada) haiwan yang melakukan suatu aktiviti tanpa sedar dan tahu apa yang mereka sedang lakukan.

Seekor haiwan tidak akan keluar dari sarangnya kecuali untuk makan atau mengawan. Mereka tidak menyerang haiwan lain kecuali apabila berasa lapar atau terancam. Bahkan, seekor semut apabila melangkah keluar dari lubangnya, ia tahu apa yang dicari.

Sesetengah pemuda menghabiskan usianya dengan belajar, namun tidak tahu apa matlamatnya dalam menuntut ilmu. Pemuda lain pula sibuk bekerja siang dan malam namun tiada matlamat ketika bekerja.

Malah, jika ditanya pada pemuda Islam tentang rencana hidup masa hadapan, ada yang berkata,
"saya tidak tahu..." "saya belum terfikir..." atau seumpamanya.

SEDARKAH AKU?
 Melalui penjelasan diatas, kita dapat fahami ucapan Iman Al-Ghazali:
"Semakin dekat gerakan dan pemikiran seseorang kepada aturan,
semakin jauh kedua-duanya daripada kebetulan, maka semakin dekat darjat orang tersebut kepada darjat anbia dan awliya', malah semakin dekat juga dirinya kepada Allah swt"
Demikian ucapan beliau dalam Ihya' Ulum al-Din.
Apa pun yang anda lakukan saat ini, berhenti sejenak dan ajukan soalan pada diri anda,
"Apa yang sedang aku lakukan ini? Apa niat dan matlamat aku?"

Wallahua'lam.

Saturday, August 4, 2012

3 TAHAP IKHLAS


Assalammuaikum wbt

Baiklah, kali ini kami cuba membawakan kepada anda semua para pembaca blog IMAN tentang apa itu 3 tahap ikhlas . Jom baca cerita yang disediakan, dan cuba menilai diri kita dimana tahap keikhlasan kita....


“Zaki, aku ada benda la nak tanya kat kau ni?” Izat, tiba-tiba bersuara. Cuma tinggal diorang berdua je dekat dalam study room, yang lain semua dah masuk bilik.
Dialihkan muka daripada buku The Romanticism yang dah dekat sebulan baca masih tak habis-habis. “Nak tanya pe?”
“Aku teringat la kan, dulu waktu lower form aku ada dengar yang kita ni tak boleh buat ibadah atas dasar sebab nak dapat pahala tu sendiri, betul ke?”
Fikir. “Jap eh.” Macam pernah dengar je benda ni. Aha… “Ehm… Haritu aku ada tengok satu program tv ni. Nama program tu tak silap aku, 30 minit bersama Ustaz Don Daniyal. Dekat situ ustaz tu ada la cerita pasal tiga tahap ikhlas. Kau ada tengok tak?”

Geleng.

“Camni… ustaz tu cakap, kalau ikut imam Ghazali, ikhlas tu ada tiga iaitu tahap seorang hamba, tahap seorang pedagang dan tahap seorang kekasih. Kalau tahap seorang hamba ni, contoh dia macam bila kita buat sesuatu sebab kita takut tuan kita marah.”

“Ooo… jadi selama ni bila aku sembahyang sebab takut kena seksa dekat akhirat nanti, kira ikhlas la ek?”
“Yup betul la tu... Yang kau tanya tadi, pasal kalau kita buat ibadah sebab nak dapat pahala, itu termasuk dalam tahap yang kedua, tahap seorang pedagang. Kita buat something untuk mendapatkan benefit kepada kita pulak. So takde masalah la kalau kau solat sebab nak dapat pahala. Itu pun dah dikira ikhlas.”
“Ooo…”Muncung je mulut Izat mendengar penjelasan Zaki. “Tahap ketiga pulak?”

“Kalau tahap ketiga ni la yang paling tinggi, sebab kita buat atas dasar sebagai seorang kekasih. Kita buat ibadah sebab kita cintakan Allah, sebab kita sayang hubungan kita dengan Allah.”
“Okeyh. Aku dah faham.” Sengih. “Hebat la kau, rilek je cerita pasal benda-benda camni.”

Senyum. “Takde la, aku pun kebetulan haritu tengok kat tv je. Kalau tak, harapan la nak jawab. Dah..dah… Pergi buat homework kau tu, esok kalau kena marah sebab tak siap jangan nak mengadu kat aku lak.” Zaki dah kembali menghadap buku The Romanticism tulisan Harun Yahya ditangan.
“Baik bos.”

“Tinggalkan amal kerana manusia adalah riya’,
buat amal kerana manusia adalah syirik,
tinggalkan kedua-duanya adalah ikhlas.” – Fudhail bin Iyadh


FIKAH PERUBATAN ( Bahagian ke-2 )

Assalammualaikum wbt

Apa khabar para pencinta ilmu? Anda sihat ? jadi kali ini, kita sambung pula perbincangan kita tentang Fikih perubatan dan kesihatan ini. Sebelum ini saya menyatakan ada 5 kaedah dalam fikih ini, jadi jom kita tambah ilmu kita…

Kaedah pertama

1.Setiap perkara bergantung kepada tujuannya.

Penerangan :
-          Maksud umum kaedah ini bagi segala perkara yang lahir daripada mukalaf sama ada dalam bentuk perbuatan atau pertuturan, hukum – hakam ditentukan berdasarkan maksud ataupun tujuan dia melakukan dan menuturkannya.
-          Kaedah ini sebaik-baiknya dibantu dengan kaedah :

Keharusan syarak menafikan bayaran ganti rugi

-          Contoh :

1. Doktor yang mahir dalam bidangnya tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya berlaku sebarang kerosakan yang tidak disengajakan. Ini disebabkan beliau memang mahir dalam selok – belok asas perubatan.
2. Pegawai farmasi tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya memberikan ubat-ubatan sebagaimana yang dicadangkan oleh doktor yang diperakui. Ini kerana dia sememangnya diizinkan berbuat begitu.
3. Apabila berlaku kesan sampingan ataupun kemalangan dalam pembedahan ke atas pesakit yang memberi izin dibedah, sedangkan doktor yang mengendalikan pembedahan itu sudah pun berpegang teguh dengan asas- asas operasi pembedahan, maka doktor tidak perlu membayar apa- apa ganti rugi.

Kaedah kedua

2. Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak wasangka

- Maksud kaedah ini : Perkara yang sudah diyakini tidak akan hilang dengan kedatangn keraguan ke atasnya.
- Ada beberapa kaedah yang lahir dari kaedah di atas :

a) Asal masalah adalah kekalnya perkara di atas keadaanya yang asal.
b) Pada asalnya perkara-perkara yang baru muncul itu tidak ada.
c) Asalnya setiap orang bebas daripada tanggungjawab dan tidak terikat dengan mana-mana hak.
d) Asal masalah yang baru berlaku itu perlu dianggarkan berlaku pada waktu yang terhampir
e) Asal setiap sesuatu perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan keharamannya.
f) Tidak boleh dikira syak (dalam perkara) yang telah nyata salahnya.

Kaedah ketiga

3. Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan.

Beberapa kaedah yang terbit daripada kaedah ini :

a) Suatu perkara apabila tersepit ia menjadi luas
b) Sesuatu perkara apabila menjadi luas maka ia akan sempit.

Huraian :
-          Maksud kaedah diatas, apabila seseorang itu ditimpa keadaan yang menyulitkan, sekiranya beramal dengan hukum asal yang disyarakkan, maka ISLAM memberikan keringanan dan kemudahan ke atas mereka selama darurat masih ada. Inilah yang dimaksudkan, “apabila perkara itu sempit ia menjadi luas”.
-          Selepas hilang darurat itu, ia perlu kembali kepada hukum asal sebagaimana disyarakkan. Inilah yang dimaksudkan “ sesuatu perkara apabila menjadi luas ,maka ia akan sempit.”

Kaedah keempat

4. Kemudaratan hendaklah dihilangkan.

Beberapa kaedah yang terbit daripada kaedah di atas adalah :

a) dilarang menyebabkan timbulnya kemudaratan dan dilarang memudaratkan orang lain.
Maksud : Jangan memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Jangan melakukan perkara yang berguna kepada diri sendiri tetapi mendatangkan kemudaratan ataupun kesusahan kepada orang lain.

b) Darurat mengharuskan yang dilarang
c) Perkara yang dibolehkan kerana darurat dihadkan menurut kadar darurat sahaja.
d) Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan melakukan kemudaratan (kerosakan) yang seumpama dengannya ataupun yang lebih besar daripadanya.
e) Kemudaratan yang lebih besar hendaklah dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan
f) Kemudaratan hendaklah dibendung setakat termampu
g) Menolak kerosakan diutamakan dari mengambil kebaikan
h) Melakukan mafsadah (masalah) yang kecil dibolehkan demi untuk mendapatkan maslahat (kebaikan) yang besar.
i) Melakukan mafsadah bersifat sementara dibolehkan demi mendapatkan maslahat bersifat abadi.
j) Maslahat yang diyakini kewujudannya tidak boleh ditinggalkan kerana mafsadah yang masih berupa angan-angan.
k) Keadaan darurat tidak boleh membatalkan hak orang lain.
l) Ditanggung kemudaratan khusus bagi menolak kemudaratan am.

Kaedah kelima

5. Adat (uruf) diperhakimkan.

Maksud : Adat boleh menyabitkan hukum syarak apabila tidak terdapat nas untuk hukum yang hendak disabitkan. Adat ditakrifkan oleh ulama dengan, “ Perkara yang menjadi kebiasaan oleh manusia bagi mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi perkara lumrah “

Contoh :
-          Ubat-ubatan yang biasa diberikan kepada pesakit tanpa perlu kepada penerangan terperinci daripada doktor seperti Panadol. Pada kebiasaannya, Panadol tidak memberikan kesan sampingan yang memudaratkan, sekiranya pesakit itu mengalami kesan sampingan yang teruk, doktor tidak patut disaman. Panadol tidak member kemudaratan kepada orang yang mengambilnya pada kadar dan jangka masa yang sepatutnya.


Baiklah, macam mana sahabat semua? Menarik bukan ilmu tentang fikah perubatan ini. Sebenarnya masih banyak lagi yang perlu kita pelajari tentang ilmu fikah perubatan dan kesihatan ini. Kami harap dengan adanya artikel ini dapat menggalakkan sahabat semua untuk terus gali ilmu ALLAH SWT yang sangat luas ini hanya semata-mata mencari keredhoan ALLAH SWT….. kami ucapkan semoga anda semua menjadi para professional ISLAM yang berjaya di dunia dan di akhirat….



Jazakallahu Khairan Katsiran.

Rujukan :

Fikah Perubatan Karya Dr.Harmy Mohd Yusoff,Ustaz Shamsul Kamal Abdullah,Dr.Rosediani Muhammad,Wan Nor Ainon Wan Abdullah terbitan PTS Millennia.









Thursday, July 5, 2012

FIKAH PERUBATAN

Assalammualaikum w.b.t

Untuk entry kali ini, IMAN akan membawa anda semua untuk memahami apakah itu Fikah Perubatan sebenarnya kerana rata-rata Pelajar Muslim di Bandung adalah mahasiswa dalam bidang perubatan dan kesihatan. Oleh itu, jom sama-sama kita baca dan tambah ilmu kita tentang asas-asas ilmu Fikah Perubatan ini.

“Apabila aku sakit, Dia yang menyembuhkan penyakitku” (Q.S Asy-Syu’ara’ 26: 80)

Pertama : Fikah Perubatan berdiri atas prinsip-prinsip umum

 Fikah Perubatan sama seperti hukum-hukum cabang fikah yang lain. Fikah bersumberkan wahyu yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah. Secara umum,al- Quran dan hadis meletakkan tiga prinsip dalam perubatan iaitu ;

1. Umat Islam dibenarkan berubat

2. Kaedah mengubati penyakit mestilah tidak bertentangan dengan prinsip- prinsip yang ditetapkan Islam. ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud
“ Belanjakan (hartamu) di jalan ALLAH serta janganlah kamu mencampakkan (dirimu) dengan tanganmu sendiri kepada kehancuran. Berbuat baiklah, sesungguhnya ALLAH mengasihi orang – orang yang berbuat kebaikan.”

3. Kuasa menyembuhkan semua jenis penyakit adalah hak mutlak ALLAH. Manusia hanya perlu berikhtiar mengubati penyakit.

Abi al-Zubair melaporkan daripada Jabir yang Rasullulah SAW berpesan, sesungguhnya untuk setiap penyakit itu ada ubat.Apabila ubat itu serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin ALLAH SWT. Direkodkan oleh Muslim.

Kedua : Hukum asal urusan perubatan adalah harus

Namun begitu, ianya perlu disandarkan pada syariat. Banyak kaedah perubatan yang diharamkan bahkan ada yang membawa kepada syirik.
Contohnya berubat menggunakan azimat, tangkal dan berubat menggunakan khidmat jin.Manakala yang diharamkan adalah seperti berubat menggunakan anggota badan binatang yang diharamkan memakannya ataupun mengambil arak sebagai ubat dan sebagainya.

Ketiga : Fikah Perubatan dibangunkan dengan mengambil kira Illat (sebab) dan Maslahat (keperluan ataupun kepentingan)

Perlu ditegaskan disini, di sebalik hukum-hukum syariah, objektif utamanya adalah mendatangkan manfaat atau kebaikan serta menolak dan menghindarkan kemudaratan kepada manusia.Kenyataan ini berdasarkan pada firman ALLAH SWT dalam surah Al- Baqarah, ayat 85,
“….ALLAH mahukan kamu beroleh kemudahan dan tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…”

Ulama menggubal kaedah-kaedah fikah ataupun prinsip fikah dalam menghadapi sebarang masalah yang baru timbul. Ia dikenali sebagai al-Qawa’id al- Fiqhiyyah (Kaedah-kaedah fikah).
Terdapat banyak kaedah fikah yang disusun oleh para Ulama. Kaedah yang masyhur hanya lima kaedah sahaja. Kelima-lima kaedah ini adalah ibu kepada segala kaedah fikah yang lain iaitu :

Kaedah pertama :
Setiap perkara bergantung kepada tujuannya

Kaedah kedua :
Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak wasangka

Kaedah ketiga :
Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan

Kaedah keempat :
Kemudaratan hendaklah dihilangkan

Kaedah kelima :
Adat (uruf) diperhakimkan




Menarik bukan? Ok, untuk keterangan setiap kaedah ini akan diperjelaskan pada entry seterusnya, teruskan membaca dan update Blog IMAN ye….

Jazakallahu Khairan Katsiran….

Rujukan :
Fikah Perubatan Karya Dr.Harmy Mohd Yusoff,Ustaz Shamsul Kamal Abdullah,Dr.Rosediani Muhammad,Wan Nor Ainon Wan Abdullah terbitan PTS Millennia.