Thursday, September 6, 2012

Semut pun sedar...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

(Petikan yang diambil dari majalah Solusi ed 43)
 


Bahkan apabila berbaring sekalipun terdapat makna yang mendalam bagi seorang ulama sehebat Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari.

Kisah ini diceritakan oleh Muhammad bin Abi Hitam yang merupakan murid bagi Imam al-Bukhari.
Beliau berkata,
"Suatu hari, aku melihat Imam al-Bukhari sedang baring terlentang. Pada hari itu kami berada di kota Firabr untuk menulis kitab tafsir dan sebab itulah beliau berasa sangat penat"

Aku berkata padanya:
"Aku pernah mendengar kamu berkata 'Aku tidak pernah melakukan sesuatu tanpa ilmu sejak aku baligh'. Lalu, apa ilmu yang ada ketika baring terlentang yang sedang engkau lakukan ini?"

Al-Bukhari menjawab;
"Aku sangat penat hari ini. Kota ini ialah benteng dan sempadan negeri kaum muslimin. Aku khuatir musuh akan menyerang pada bila-bila masa. Oleh sebab itu, aku berniat berehat sekejap untuk mengembalikan kekuatanku"
Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Tajuddin Abdul Wahab bin Ali al-Subki dalam kitabnya, Tabaqat al-Shafiyyah al-Kubra.

INSAN EFEKTIF.

Kisah  di atas menggambarkan betapa para ulama salaf merupakan insan-insan yang sangat efektif. Setiap kali melakukan sesuatu perbuatan walaupun kecil, mereka selalu melakukannya berasaskan ilmu. Mereka sedar hukum perbuatan tersebut dan matlamatnya.

Ulama Kufah bernama Zabid bin al-Harith al Yami berkata:
"Aku suka memulakan setiap aktivitiku dengan niat, bahkan sebelum makan ataupun tidur"

Misalnya apabila makan, mereka berniat bukan untuk memuaskan nafsu dan menghilangkan lapar semata, tetapi agar lebih kuat untuk beribadah kepada Allah dengan asbab lebih bertenaga selepas makan.
Maka, dengan niat seperti ini, makan pun akan mendapat pahala.
Begitu juga dengan tidur, rehat dan semua aktiviti lain. 
Segala aktiviti rutin ini akan ditulis sebagai ibadah di sisi Allah apabila ia diniatkan untuk meraih REDHA ALLAH.


Berniat kerana Allah sebelum makan misalnya akan menyedarkan hakikat diri kita yang selalu fakir kepada rahmat Allah. Sesungguhnya, setiap nikmat yang kita miliki adalah kerana sifat Maha Pemurah Allah swt. Dan kita akan malu untuk melakukan maksiat padaNya.

Sheikh Abdul Wahab al-Sha'rani berkata:
"Sesiapa yang terbiasa menghadirkan hatinya kerana  Allah ketika makan dan minum, Allah akan memberinya sifat qanaah dan zuhud. Allah juga akan menjaganya dari pada kejahatan nafsunya"

SEMUT PUN SEDAR!

Jika sesiapa yang biasa menonton Animal Planet, banyak jenis haiwan yang dipaparkan, jika diamati amat sedikit (malah mungkin tidak ada) haiwan yang melakukan suatu aktiviti tanpa sedar dan tahu apa yang mereka sedang lakukan.

Seekor haiwan tidak akan keluar dari sarangnya kecuali untuk makan atau mengawan. Mereka tidak menyerang haiwan lain kecuali apabila berasa lapar atau terancam. Bahkan, seekor semut apabila melangkah keluar dari lubangnya, ia tahu apa yang dicari.

Sesetengah pemuda menghabiskan usianya dengan belajar, namun tidak tahu apa matlamatnya dalam menuntut ilmu. Pemuda lain pula sibuk bekerja siang dan malam namun tiada matlamat ketika bekerja.

Malah, jika ditanya pada pemuda Islam tentang rencana hidup masa hadapan, ada yang berkata,
"saya tidak tahu..." "saya belum terfikir..." atau seumpamanya.

SEDARKAH AKU?
 Melalui penjelasan diatas, kita dapat fahami ucapan Iman Al-Ghazali:
"Semakin dekat gerakan dan pemikiran seseorang kepada aturan,
semakin jauh kedua-duanya daripada kebetulan, maka semakin dekat darjat orang tersebut kepada darjat anbia dan awliya', malah semakin dekat juga dirinya kepada Allah swt"
Demikian ucapan beliau dalam Ihya' Ulum al-Din.
Apa pun yang anda lakukan saat ini, berhenti sejenak dan ajukan soalan pada diri anda,
"Apa yang sedang aku lakukan ini? Apa niat dan matlamat aku?"

Wallahua'lam.

0 comments: