Thursday, May 23, 2013

MUKTAMAR DAN MAJLIS PERPISAHAN IMAN 2013 - DALAM DEKAPAN UKHUWAH

Pada 7 April 2013 bersamaan 26 Jamadil Awal 1434 H, IMAN PKPMI - CB telah mengadakan muktamar IMAN kali ke - 5. Bertempat di Aula Bale Padjadjaran 4, Universitas Padjadjaran, bertujuan membentangkan laporan aktiviti dan kewangan IMAN sepanjang sesi 2012/2013. Ia dihadiri lebih kurang 50 orang ahli IMAN. Bermula pada pukul 8 pagi, majlis muktamar dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Farez Fitri dari angkatan TWP12. Selepas itu, ucapan pembukaan oleh Amir IMAN 2012/2013, saudara Muhammad Taupek bin Ahmad

Ucapan oleh saudara Muhammad Taupek, Amir IMAN 2012/2013
Seterusnya majlis muktamar diteruskan lagi pembentangan laporan dari Setiausaha 1, saudari Nur Ajjrina 
binti Abdul Rahman. Di sambung pula dengan pembentangan laporan dari Bendahari 1, saudara Muhammad 
Fikri bin Idrus dan ikuti dengan pembentangan laporan dari ketua - ketua Unit IMAN 2012/2013. Akhir sekali, Amir IMAN mengumumkan pembubaran organisasi IMAN 2012/2013 dan juga pengumuman organisasi IMAN yang baru bagi sesi 2013/2014. Saudara Muhammad Shafiq Aidi bin Amaran telah dilantik sebagai Amir IMAN bagi sesi 2013/2014 manakala saudari Nur Ajjrina binti Abdul Rahman telah dilantik sebagai Amirah IMAN untuk sesi 2013/2014. Semoga dengan dibawah kepimpinan yang baru ini dapat memantapkan lagi perjalanan dakwah dan tarbiyah.


Sesi soal jawab oleh ahli IMAN
Sesi pembentangan laporan

Ucapan oleh Amir IMAN bagi sesi 2013/2014, saudara Shafiq Aidi


Sesi taaruf oleh ahli IMAN yang baru
Seterusnya majlis telah diambil alih oleh ahli IMAN yang baru untuk diteruskan ke majlis perpisahan 
ahli IMAN. Bertemakan 'Dalam Dekapan Ukhuwah', objektif majlis ini untuk menjalinkan ukhuwah sesama ahli IMAN sendiri.  Ini kerana terdapat beberapa ahli IMAN yang kembali ke Malaysia. Pertama sekali, majlis 
perpisahan ini dimulakan dengan sesi taaruf bersama ahli IMAN yang baru. Ahli - ahli IMAN yang baru 
amat bersemangat dalam sesi taaruf ini dan semoga kekal bersemangat bersama - sama dalam IMAN



MC untuk majlis perpisahan IMAN
Selepas sesi taaruf, pergi ke agenda utama iaitu sesi makan - makan. Tetapi sebelum itu, terdapat sesi 
quiz yang telah disediakan oleh ahli - ahli IMAN yang baru ini. Hadiah juga telah disediakan oleh mereka
Selesai makan, ada satu lagi aktiviti yang disediakan oleh mereka iaitu permainan mencari puzzle. Ahli - ahli IMAN dipecahkan beberapa kumpulan dan mereka dikehendaki mencari serpihan puzzle berdasarkan klu 
yang mereka ada. 

Sesi makan dalam talam


salah satu kumpulan dalam game mencari puzzle


"Semua orang yang ada dalam hidup kita, masing-masingnya bahkan yang paling menyakiti kita, diminta untuk ada disana agar cahaya kita dapat menerangi jalan mereka" - Salim A. Fillah


Ayat diatas merupakan jawapan puzzle yang mereka cari. Semoga kita dapat mencari maksud tersirat ayat tersebut.



Dengan berakhirnya permainan itu tadi, maka berakhirnya majlis Muktamar & majlis Perpisahan IMAN 2013 yang bertemakan 'Dalam Dekapan Ukhuwah'. Semoga ukhuwah yang kita bina kekal sampai ke akhir hayat. In shaa Allah

Dalam dekapan ukhuwah



MAJLIS MUKTAMAR DAN PERPISAHAN  ISLAMIC MALAYSIAN ASSOCIATION 2013

Saturday, March 9, 2013

"All Is Well"- Semuanya Baik Belaka


Pernah saya katakan, kita akan diuji melalui apa yang kita sayangi dan dengan apa yang selalu kita katakan. Inilah hakikat yang saya alami semasa cuba berdakwah dalam rangka untuk mendidik diri disamping mendidik orang lain. Saya cuba memujuk hati dengan berkata, “ketika Allah menguji kita dengan apa yang kita sering dakwahkan kepada orang lain, itu petanda Allah mengingatkan kita ketika kita mengingatkan orang lain.” Agar kita tidak memperkatakan apa yang tidak amalkan…

Namun, suara hati juga mengingatkan, supaya terus melakukan kebaikan (berdakwah)… bukan kerana kita sudah baik tetapi itulah cara kita hendak menjadi orang yang baik. Ya Allah, berilah petunjuk kepada kebimbangan hati ini… kerana ujian di jalan dakwah ini kekadang dirasakan terlalu berat berbanding iman yang begitu tipis. Hati sering dipujuk untuk mengakui satu hakikat: Allah tidak akan menguji di luar kemampuan seorang hamba untuk menghadapinya.

Sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku, aku sedang diuji. Begitu juga dengan kamu, dan kita semua. Lalu untuk memujuk hati ketika menerima tarbiah Ilahi ini saya nukilkan tulisan ini untuk saya dan kita semuanya… Tajuknya: ALL IS WELL – semuanya baik belaka.    

“Ustaz kata kecemerlangan dunia itu bayangan kecemerlangan akhirat?”

“Ya, “akui saya pendek.

“Atas dasar apa?”

“Berdasarkan kata Imam Syafei, dunia itu adalah tanaman untuk akhirat.”

“Maksudnya?”

“Dunia tempat kita menyemai, akhirat tempat kita menuai. Jika kita hendak merasai buah yang manis dan banyak , sudah sewajarnya pokok yang kita tanam baik dan subur.”

“Saya belum faham…”

Saya merenung wajah pelajar yang sebaya dengan anak saya itu. Dia benar-benar inginkan penjelasan. Terasa masih jauh pendekatan dakwah saya berbanding ulama-ulama silam – yang bercakap dengan jelas, tepat dan lemah lembut.

“Begini nak… jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan cemerlang.”

“Kalau begitu malanglah kalau kita jadi orang miskin, pekerjaan kita buruh, pangkat kita rendah dan kita jadi orang yang biasa-biasa sahaja di dunia.”

“Mengapa begitu?” saya bertanya kehairanan.

“Ya, bukankah orang miskin, marhein dan orang yang biasa-biasa itu dianggap tidak cemerlang di dunia?”

Saya mengurut dada. Mujur dia bertanya.

“Perspektif Islam mengenai kejayaan berbeza dengan takrifan majoriti masyarakat hari ini. Menjadi miskin, seorang buruh dan marhein setelah berusaha bersungguh-sungguh,  bukan bererti gagal. Itu hanya ujian dalam kehidupan.”

Di dalam hati saya bertekad ingin menjelaskan konsep hidup di dunia sebagai ujian terlebih dahulu. Setelah itu baru saya ingin menerangkan erti kejayaan dalam Islam. Ya, lulus ujian baru berjaya.

“Apa maksud dengan ujian kehidupan?” tanyanya lagi. Alhamdulillah, dia membuka ruang untuk saya memberi penjelasan.  Memang benar seperti yang selalu dikatakan, pertanyaan itu kunci kepada ilmu.

“Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… Allah baru menguji kita. Begitu juga apabila Allah berikan kemiskinan buat kita… itu bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita. Bukan itu sahaja, apabila Allah kurniakan kuasa, menarik kuasa, rupa yang cantik, rupa yang buruk, ternama atau biasa-biasa sahaja, semuanya ujian untuk kita.”

“Ujian untuk apa ustaz?”

“Ujian sama ada kita mengingati-Nya atau tidak, mentaatinya atau tidak, “ jawab saya.

Melihat dia terdiam, saya menyambung penjelasan, “ orang miskin boleh berjaya jika dalam miskinnya dia mengingati Allah dengan kesabarannya. Orang kaya, mengingati Allah dengan kesyukurannya. Yang berkuasa, menegakkan keadilan kerana Allah. Yang marhein, patuh dan setia kerana Allah juga. Situasi dan kondisi yang kita hadapi dan alami  bukan penentu kejayaan kita tetapi respons kita terhadap kondidi itu yang lebih penting. Apakah kita bertindak balas dengan apa yang kita hadapi seperti selayaknya seorang hamba Allah? Seorang hamba Allah sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan, positif mahupun positif…”

“Maksudnya, yang negatif pun jadi positif?”

“Ya, semuanya baik, bergantung pada tindak-balas diri kita. ‘All is well’ – semuanya baik. Ya, semua yang datang dari Allah adalah baik belaka kerana semua itu hanya ujian buat kita. Jika kita menghadapinya dengan hati yang sabar, syukur atau redha… ya kita berjaya!”

“Jadi ada orang kaya, berkuasa dan ternama di dunia ini boleh dianggap gagal?”

“Bukan boleh dianggap gagal tetapi  mereka memang gagal. Sekiranya dengan ujian kesenangan, kekuasaan, kenamaan dan kecantikan itu mereka tidak bersuyukur, zalim, kufur,  malah takbur kepada Allah dan sesama manusia.  Sebaliknya orang miskin, marhein dan melarat itu hakikatnya berjaya sekiranya mereka mengingati Allah dalam kesabarannya.”

“Tetapi kalau mereka miskin kerana malas… tidak gigih mencari ilmu, menambah kemahiran  dan ilmu, lalu mereka sabar, apakah itu juga boleh dikatakan berjaya?”

Kritikal betul cara berfikir pelajar ni, bisik hati saya.

“Orang malas bukan orang yang ingat Allah. Sabar itu bukan pasif dan tidak produktif. Sabar itu aktif dan produktif.  Orang yang ingat Allah, akan ingat akhirat. Orang yang ingat akhirat akan sentiasa sibuk di dunia…”

“Orang yang ingat akhirat akan sibuk di dunia?”

“Ya, sebab dia sedar dia hendak menuai di akhirat, jadi sibuklah dia menanam di dunia. Dunia ini jadi kebunnya… Lihat orang berkebun, dia akan  sibuk menebas, menggempur, menyemai benih, memberi baja, mengairi, menjaga tanamannya dari serangga dan macam-macam lagi… Begitulah orang yang hendak menuai di akhirat, akan sibuk di dunia.”

“ Agaknya inilah yang dimaksudkan orang yang paling bijak ialah orang yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya…”

“Benar. Benar sekali. Sebaliknya, sipemalas ialah orang yang dungu, bukan orang yang sabar. Dia tidak akan dapat pahala sabar… sebaliknya mendapat dosa kerana kemalasannya.”

“Malas itu satu dosa?”

“Ya, malas itu satu dosa. Cara bertaubat dari dosa malas ialah dengan gigih bekerja. Kita adalah khalifah di muka bumi. Seorang khalifah wajib memberi kebaikan kepada diri, orang di sekelilingnya dan alam seketiranya. Untuk itu dia mesti rajin. Bagaimana seorang pemalas boleh melaksanakan tugasnya sebagai khalifah?”

Saya teringat khutbah yang baru saya dengar bulan lalu. Yang boleh saya simpulkan daripada kata khatib itu ialah, keadaan yang kita hadapi atau apa yang kita miliki, bukan pengukur kejayaan kita. Sebaliknya, kejayaan kita terletak kepada sejauh mana diri kita mengingati Allah ketika memiliki sesuatu atau semasa kita menghadapi suatu situasi.

Akan saya sampaikan semula apa yang saya terima kepada pelajar itu, insyaAllah. Ya, saya masih ingat ketika khatib itu menegaskan:” Kejayaan Nabi Ibrahim AS bukan kerana baginda tidak terjejas oleh api yang dinyalakan oleh Namrud tetapi kerana ketika di dalam nyalaan api itu Nabi Ibrahim mengingati Allah, kerana kalau kejayaan itu diukur pada tidak terjejas jasad baginda oleh api, apakah kita mengatakan bahawa ‘ashabul ukhdud’ yang terbakar kerana mempertahankan tauhid itu tidak berjaya? Apakah Masyitah dan anaknya yang terkorban apabila dihumban ke dalam api oleh Firaun itu tidak berjaya? “

Khatib itu menambah lagi:” Jika kita katakan, kejayaan itu kepada keadaan Nabi Ismail yang tidak jadi disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS dengan digantikan dengan seekor kibyas… apakah  Nabi Zakaria AS yang syahid dan terbelah dua kerana digergaji oleh musuh Allah itu tidak berjaya? Apakah Sumayyah yang mati ditusuk lembing oleh kafir Quraisy itu tidak berjaya?”

Tanpa disedari air mata mengalir apabila Khatib itu berkata, “tuan-tuan, Nabi Ibrahim, Nabi Zakaria, Sumayyah dan Asyhabul Ukhdud semuanya berjaya… walaupun situasi ujian yang mereka hadapi berbeza. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan  bukan situasi tetapi respons hati mereka ketika menghadapi  situasi itu. Respons hati mereka tetap sama, walaupun situasi yang mereka hadapi berbeza.”

“Respons hati mereka hanya mengingati Allah,” ujar pelajar itu.

“Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita tetapi reaksi atau respons kita terhadap ujian itulah yang memuliakan atau menghinakan kita. Yang sabar dan syukur, jadi mulia… lalu mereka berjaya. Yang putus asa dan takbur, jadi hina… lalu mereka gagal. Sering diungkapkan oleh bijak-pandai, jika dapat limau manis, bersyukurlah. Sebaliknya jika dapat limau masam, jangan kecewa… buatlah air limau!”

“Jadi berjaya di dunia itu letaknya pada hati?” rumus pelajar yang bijak itu.

“Ya. Terletak pada ‘qalbun salim’ – hati yang sejahtera. Hati yang boleh dimiliki oleh sikaya, simiskin, ternama, marhein, sicantik, yang hodoh, pemerintah mahupun rakyat. Hati itulah yang dinilai oleh Allah di Padang Mahsyar kelak ketika semua anak-pinak dan harta-benda tidak berguna lagi…”

Saya menambah lagi,“ Hati yang ingat Allah pada setiap masa, ketika dan keadaan apa pun jua. Itulah kejayaan! Allah Maha adil tidak meletakkan kejayaan kepada yang lain kerana ujian hidup manusia yang ditakdirkan berbeza-beza. Namun berbeza-beza ujian itu matlamatnya sama… sejauh mana kita merasakan kita hamba Allah dan kepadaNya kita akan dikembalikan!”

“Bukankah itu makna ucapan istirja’ -  innalillah wa in na ilaihi rajiun? – kami milik Allah, kepadaNya kami akan kembali,” balas pelajar itu.

Saya mengangguk perlahan, seraya berkata, “hati itulah anakku… yang perlu kita miliki sebelum kembali. Itulah ‘syurga’ di hati kita. Itulah kecemerlangan di dunia yang menjadi petanda kecemerlangan akhirat. Jika di hati kita belum ada syurga itu ketika hidup di dunia… maka sukarlah kita mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat nanti!”

“Apa yang perlu kita lakukan ustaz?”

Saya terdiam. Di dalam hati terlalu sebak. Masih jauh hati ini dengan ‘syurga’ dunia. Dan alangkah jauhnya dengan syurga  akhirat.

“Anakku, kita akan terus diuji. Beruntunglah kerana ujian ini masih ada. Allah masih sudi menguji kita. Hidup masih berbaki. Kalau gagal, kita masih berpeluang untuk mengulang. Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia… kerana ada ‘syurga’ di sini, yang wajib kita miliki sebelum layak menikmati syurga di sana.”

“Syurga di hati kita…”

“Yang ditempa oleh setiap hamba Allah yang sejati… dengan keringat, dengan air mata dan sesetengahnya dengan darah. “

“Hidup di dunia untuk menderita?”

“Tidak anakku… hidup di dunia untuk diuji. Kita akan tenang, berjaya dan bahagia selagi Allah ada di hati kita. Ingat, ‘all is well’, kerana semuanya dari Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Bila diuji, jangan katakan.” ya Allah, ujian-Mu sangat besar. Tetapi katakan, wahai ujian, aku ada Allah yang Maha besar.”

‘Allah is bigger than your problems… insyaAllah, all is well!’ . Tetap adalah lautan kasihNya di sebalik ujianNya yang setitis.

Sumber: Ust.Pahrol Mohd Juoi, http://genta-rasa.com/2012/12/31/all-is-well-semuanya-baik-belaka/

Friday, January 25, 2013

Lemah Iman dan Terapi Mengubatinya


Tidak samar bagi setiap Muslim tentang kedudukan dan posisi tinggi yang dimiliki Iman. Kerana merupakan misi paling penting dan kewajipan yang paling wajib secara mutlak, paling agung dan paling mulia. Setiap kebaikan di dunia dan akhirat terpaut pada keberadaan dan kesahihan Iman serta kesuciannya. Berapa banyak faedah dan buah segar serta kebaikan berkelanjutan yang dimiliki Iman.

Dari sini, orang-orang yang bersemangat berlumba-lumba dalam merawat Iman, dari segi perealisasian dan penyempurnaan. Perhatian seorang Muslim yang mendapat taufik kepada Imannya akan lebih daripada perhatiannya kepada segala sesuatu yang lain. Demikianlah Salaful Ummah. Mereka sentiasa memantau Iman mereka, menyemak amal-amal mereka, serta paling berwasiat di antara mereka.

Umar al-Khattab ra berkata kepada sahabat-sahabatnya, "Kemarilah, nescaya kita bertambah Iman." (Syarh ath-Thahawiyah).

Ibnu Mas'ud ra berkata, "Duduklah bersama kami, nescaya kita bertambah Iman."

Abu ad-Darda' ra berkata, "Termasuk kecerdasan hamba adalah dia mengetahui apakah dia menambah atau mengurangi (Iman)." (Syarh ath-Thahawiyah)

Umair bin Habib al-Khathmi ra berkata, "Iman bertambah dan berkuran." Ditanyakan kepadanya, "Apa yang menambah dan yang menguranginya?" Dia berkata, "Jika kita menyebut Allah dan memujiNya, maka itulah tambahannya, dan jika kita mengabai dan melupakanNya, maka itulah kekurangannya."

Ahmad bin Hanbal berkata, "Iman adalah ucapan dan perbuatan, bertambah dan berkurang. Jika kamu melakukan kebaikan maka ia bertambah, dan jika kamu melalaikan maka ia berkurang."

Mereka, orang-orang baik itu, tahu bahawa Iman memiliki sebab-sebab yang banyak yang dapat menambah, menguat dan menumbuhkannya, serta bahawa ia mempunyai sebab-sebab lain yang banyak pula yang mengurangi dan melemahkannya, maka sikap hati-hati mereka terhadap setiap yang melemahkan dan mengurangi Iman pun semakin besar, sehingga jadilah mereka orang-orang yang baik dan soleh.

Maka, wajib bagi hamba Muslim yang prihatin terhadap dirinya, bersemangat terhadap kebahagiaan di dunia dan akhirat, agar gigih untuk mengetahui fenomena dan gejala-gejala lemahnya Iman, lalu menguatkan hingga darjatnya terangkat di dunia dan akhirat.

Al-Allamah Ibnu Sa'di berkata, "Hamba Mukmin yang mendapat taufik akan sentiasa mengusahakan dua perkara:
  • Pertama, merealisasikan dan mengaktualisasikan Iman dan cabang-cabangnya, dari segi ilmu, amal, dan penampilan.
  • Kedua, berusaha menepis setiap sesuatu yang menguranginya, seperti fitnah-fitnah yang zahir dan batin."
(Dari kitab at-Taudhih wa al-Bayan li Syajarah al-Iman, hal. 38)

Dari sini, ia mengandungi keterangan dan penjelasan untuk point-point berikut:
  • Fenomena dan gejala lemah Iman
  • Sebab lemah Iman
  • Terapi pengubatan lemah Iman
Fenomena dan gejala lemah Iman
  1. Mudah jatuh dalam maksiat dan terjerumus kepadanya sehingga biasa melakukannya.
  2. Tidak terpengaruh dengan ayat-ayat Allah jika dia mendengar atau membacanya.
  3. Sempit dada, mudah berkeluh kesah dan merungut, berasa sempit dari kelakuan-kelakuan manusia, tidak toleransi sehingga tidak tahan menghadapi perilaku saudara-saudara seislam, dan kadang membuat masalah dengan mereka.
  4. Keras hati, tidak merasakan manisnya ketaatan dan rasa nikmat ibadah.
  5. Tidak melakukan ibadah dengan baik.
  6. Tidak merasakan beban tanggungjawab terhadap agama ini, tidak mahu berkorban dengan harta dan waktu untuk membela Islam dan mendakwahnya serta sabar di jalannya.
  7. Malas melakukan amalan-amalan taat dan ibadah serta lalai padanya.
  8. Lalai dari berdzikir kepada Allah, kecuali sikit saja.
  9. Tidak tergerak dengan nasihat, mengingat mati, menghadiri jenazah dan melihat mayat.
  10. Bergantung kepada dunia, cenderung dan mencintainya.
  11. Tidak berasa marah jika larangan-larangan Allah dilanggar, tidak melakukan amar ma'ruf nahi mungkar.
  12. Jatuh dalam syubhat, perbuatan-perbuatan yang dimakruhkan, dan meremahkan dosa dan maksiat.
  13. Banyak melakukan perkara yang menyebabkan kerasnya hati, dan tersebarnya penyakit-penyakit hati seperti hasad, terpedaya, dan lain-lain.
  14. Menganggap remeh perbuatan baik.
  15. Rasa cemas dan takut ketika ditimpa musibah atau dilanda masalah.
"Orang yang beriman akan melihat dosa-dosanya, seakan-akan dia (duduk) di kaki gunung, khuatir (dosa-dosanya) akan jatuh menimpanya. Sementara seorang pendosa akan melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya, ia menepisnya begini, maka ia pun terbang."
[Sahih Bukhari]

Faktor-faktor penyebab lemah Iman
  1. Meninggalkan ketaatan
  2. Kejahilan, kurangnya ilmu agama
  3. Melakukan maksiat dan berbuat dosa
  4. Jiwa yang ammarah bi as-Su' (memerintahkan yang buruk)
  5. Sibuk dengan dunia dan lari di belakang kenikmatan, fitnah dan tipu dayanya.
  6. Bergaul dan berteman dengan rakan-rakan yang buruk perangainya dan orang-orang yang lemah Iman.
  7. Jauh dari suasana Imani seperti majlis-majlis ilmu, rakan-rakan yang baik, solat jemaah, dan sebagainya.
  8. Berada dalam suasana atau lingkungan maksiat.
  9. Berlebihan dalam makan, minum, tidur, bergaul, dan berketawa.
Terapi mengubati lemah Iman
  1. Belajar ilmu yang bermanfaat
  2. Melakukan amalan-amalan soleh
  3. Memikirkan akhir kehidupan dan su'ul khatimah (dalam kematian)
  4. Mengingat mati, alam barzakh, kubur serta azab dan nikmatnya, kiamat, syurga dan neraka.
  5. Zuhud di dunia dan memikirkan nikmat syurga.
  6. Sedikit makan, bicara, dan tidur.
  7. Mempunyai teman baik dan selalu menghadiri majlis-majlis ilmu.
Sumber: Buku Kumpulan Ceramah Pilihan, Menggugah Jiwa Menyentuh Kalbu oleh Ibrahim Abdullah bin Saif al-Mazru'i.

Fitrah manusia ada kala Iman naik, ada kalanya Iman turun. Namun apa yang penting, bagaimana kita menghadapi saat-saat tersebut, dan bagaimana cara untuk menanganinya. Sentiasalah mengikut manual hidup kita, iaitu al-Qur'an dan hadith Rasulullah SAW. Semoga kita sentiasa mendapat keampunanNya dan tergolong dalam kalangan mereka yang beriman, kelak di pengakhiran kehidupan. Insha'Allah.

"Having Iman is like riding a plane, the higher you go, the smaller the things on Earth appear."
— Sheikh Safi Khan

Tuesday, December 18, 2012

Mengingati Mati


Mengingati Mati!!
Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara."

Huraiannya
Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini.

Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.

Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup, terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah...

Manusia hari ini enggan bercakap tentang mati 

Ia terjadi kerana manusia pada hari ini tidak berapa mahu meletakkan urusan agama itu lebih penting daripada segala-galanya. Sebagai contoh, terkadang-kadang kita dapat lihat seorang Muslim itu dari agenda hariannya sebagai seorang yang beragama Islam, tetapi tidak berusaha untuk menampilkan diri dengan Islam itu sendiri.

Sejak mencelikkan mata bangun daripada tidur, paling tidak menunaikan solat Subuh, itupun bukan dalam keadaan berjemaah, sama ada di masjid, surau ataupun menjadi imam di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Kalau pada hujung minggu, lepas solat tidur semula, tidak berapa terikat dengan kuliah subuh, pembacaan al-Quran, membaca zikir Ma’thurat, kaunseling diri, isteri dan anak-anak, atau apa sahaja yang boleh meningkatkan peristasi iman kepada Allah SWT.

Bangun selepas itu bersarapan pagi, kemudian ke pasar atau berjalan-jalan bersama keluarga ke tempat yang boleh menghilangkan rasa gundah seminggu di pejabat.

Tetapi persoalannya di sini, kenapa elemen-elemen agama tidak termuat dalam diari atau agenda harian hidup seseorang Muslim.

Apakah kita sudah rasa cukup dengan ilmu yang ada di dada mengenai ilmu-ilmu yang boleh mengingatkan kita kepada alam kematian?

Ilmu agama terakhir yang dipelajari mungkin semasa menduduki peperiksaan SPM beberapa tahun lalu di sekolah menengah, kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat M.A. atau PhD.

Selepas daripada itu, menjawat jawatan mantap dengan gaji yang lumayan, sibuk dengan tugas harian yang akhirnya menjadikan diri teramat sibuk. Kuliah di pejabat pun tidak boleh hadir dan begitulah kuliah-kuliah yang disediakan di surau atau masjid berdekatan di rumah.

Hati menjadi keras 

Rasulullah s.a.w. pada penghujung hayatnya, pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepadanya: Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardu ‘Ain), maka orang itu akan menghadapi dua akibat buruk. Pertama hatinya menjadi keras (sukar untuk menerima petunjuk llah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar.

Ihsan bernama Muslim hari ini tidak berapa mempedulikan persoalan agama mereka sendiri. Sudahlah tidak mahu jadi orang yang faham agama, melakukan dosa-dosa pula. Si suami membiarkan isteri keluar rumah tanpa berhijab (tudung kepala). Si ayah pula membiarkan anak gadis tidak berhijab dan menampakkan pusat-pusat mereka. Anak lelaki tidak mengnal huruf-huruf al-Quran dan ada yang tidak tahu mandi junub (hadas besar atau mandi wajib).

Kesemua itu adalah implikasi daripada tidak hadir dan duduk dalam majlis-majlis ilmu.

Ada antara para ibu bapa Muslim seronok melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang hiburan, daripada menyertai bidang nyanyian peringkat dewasa hinggalah ke peringkat bakat bintang kecil. Apa yang pasti penampilan anak-anak ini dengan pakaian yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh mereka yang bernama Islam.

Seolah-olah Islam tidak boleh dicakap-cakap jika hendak maju dalam pelbagai bidang dalam kehidupan dunia. Tetapi mereka lupa, bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya, “Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu.”

Apabila ilmu agama tidak menjadi teras dan sandaran dalam kehidupan orang Islam pada zaman ini. Maka mereka sebenarnya telah mengundang pelbagai masalah seperti terlibat dengan rasuah, keruntuhan moral serta harga diri, tidak berakhlak, meninggalkan solat, penagihan dadah, mentadbir negara bukan dengan hukum Allah, dan semua masalah itu tidak akan dapat diselesaikan kecuali menerima penyelesaiannya daripada Allah juga, iaitu pelaksanaan hukum-hukum Islam dan Sunnah (hadis) Nabi Muhammad s.a.w.

Tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam itu menandakan bahawa manusia menolak Allah yang telah menawarkan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka.

Mereka tidak akan bercakap mengenai mati, bekalan untuk hari akhirat, persoalan alam kubur apatah lagi mengenai nasib di penghujung hayat, sama ada boleh mengucap dua kalimat syahadah atau pun tidak, semua ini tidak ada dalam kamus kehidupan manusia hari ini, kerana mereka sudah semakin jauh daripada Allah walaupun mereka dilahirkan sebagai seorang muslim.

Penyelesaian masalah

Justeru bagi menyelamatkan diri selagi terdaya untuk dilakukan, maka renungilah empat perkara di bawah ini seperti yang pernah diperingatkan oleh Imam Al-Ghazali:

Pertama: Berurusanlah dengan Allah sepertimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu dengan cara yang terbaik.

Kedua: Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain, perbuatlah sepertimana kamu mahu diperbuat ke atas diri kamu. Kerana tidak sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya.

Ketiga: Jika kamu mahu mempelajari sesuatu, pilihlah untuk mempeljari ilmu yang dapat memperbaiki hati dan memperbaiki jiwa dan sanubarimu.

Sekiranya kalau kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi, sudah pasti kamu tidak akan memilih untuk mempelajari ilmu fiqh, tahudid, sirah, akidah dan sebagainya.

Dan mungkin juga kamu akan mengawasi hatimu dan berusaha melepaskannya dari belenggu dunia.

Kamu akan memperbaiki akhlakmu dan sibuk untuk beribadat kepada Allah SWT (selaku Penciptanmu) setiap saat.

Justeru, kamu mestilah sentiasa berakhlak mulia, kerana sesungguhnya kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja.

Begitulah cuba kamu bayangkan, jika seorang pemimpin negara akan datang menziarahimu, sudah tentu kamu akan lakukan persiapan yang mantap, menghias rumah, memperbaiki mana-mana yang tidak betul dan bermacam-macam lagi.

Keempat: Janganlah mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk satu tahun.

Rasulullah s.a.w. sendiri menyediakan bekalan yang sebanyak itu sahaja untuk isteri-isteri baginda yang lebih kukuh imannya hanya dengan disediakan bekalan untuk sehari setengah sahaja. Bagi orang yang suka mengumpul harta hingga tidak sempat untuk menjenguk rumah Allah tujuan untuk beribadat kepada-Nya, maka orang itu akan disibukkan Allah SWT.

Renung-renungkanlah wahai saudara-saudaraku sekalian!

Wednesday, November 21, 2012

Dakwah Itu Seni, Da'ie Itu Penyeri


Sebagai manusia yang mempunyai kelemahan dan kekurangan, adakalanya pada satu saat kita merasai diri tidak diperlukan. Walhal sebagai manusia yang beragama islam, dipenuhi dengan iman, seharusnya tidak boleh merasai demikian kerana berputus asa di dalam diri adalah sifat syaitan.

Sifat berputus asa wajar dijauhkan terutama ke atas dai'e atau pendakwah itu sendiri agar amanah menarik minat manusia ke jalan tuhan sentiasa teguh.

Hari ini, sebahagian pendakwah merasakan diri mereka disisihkan. Mengajak manusia ke jalan tuhan sudah tiada sambutan. Tetapi sebenarnya untuk menyeru manusia melakukan "amal makruf, nahi mungkar" bukanlah dengan melihat sambutan yang menggalakkan. Tetapi perlu dilihat sifat yang berterusan juga istiqamah di dalam perjuangan.

Ingatlah, buka natijah yang Allah tanyakan, tetapi Allah akan tanya adakah kita laksanakan atau tinggalkan. Justeru, sebagai seorang dai'ie perlulah mengatur beberapa strategi dalam dakwah kerana dakwah itu sendiri penuh dengan cabaran yang tersedia.

Bukankah matlamat dakwah itu mengajak dan menyeru manusia agar mengesakan Allah SWT dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah?  Maka, sudah pastilah ada yang menentang, buat tidak endah dan tidak kurang juga ada yang cuba mensabotaj.

Mengambil Ibrah Dari Sirah Nabi

Sebagai umat nabi Muhammad SAW, kita perlu mencontohi bagaimana dakwah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda berdakwah dari Mekah hingga ke Madinah membentuk manusia, untuk menjadi insan yang bertaqwa disisi Allah SWT. Bertahun-tahun lamanya Nabi Muhammad berdakwah barulah manusia pulih sepenuhnya. Membentuk umat islam yang kuat dan utuh, disamping pengabdian kepada Allah SWT.

Dakwah yang dimulakan pula bukan mengambil masa sehari atau dua hari. Bermulanya dakwah secara sembunyi, kemudian secara terangan. Tetapi pada ketika itu umat islam hebat ditentang. Akhirnya baru umat islam memperoleh kemenangan. Begitu juga pendakwah sekalian, masa untuk membentuk manusia bukannya singkat, ianya lama dan perlu mempunyai proses yang bertingkat-tingkat.

Bagaimana strategi dakwah baginda yang mula secara sembunyi, tetapi akhirnya di terangkan untuk menegakkan syiar islam. Jadi berperingkat-peringkat dalam berdakwah perlu ada, jangan tergopoh gapah dalam usaha memperbaiki manusia dan diri sendiri juga.

Kerana mengambil ibrah dari sirah nabi sendiri yang berdakwah bertahun-tahun. Menunjukkan kesabaran di dalam dakwah itu perlu tinggi, untuk pendaie' tempuhi. Selain itu, menyusun strategi dengan mantap, memberi implikasi dalam diri untuk mengenal pasti sasaran sebenar pendakwah perlu tujui.

Dakwah Itu Seni

Seni adalah satu bentuk subjektif, sebagaimana juga dakwah. Dengan dakwah perlukah menyangka bahawa, hanya berceramah sahaja? Sememangnya tidak! Sesungguhnya, dakwah itu terlalu banyak cabangnya. Justeru, bukan hanya bercakap sahaja, dakwah juga boleh digunakan dengan pelbagai cara.

Misalnya, berdakwah dengan nyanyian, penulisan, perfileman, ataupun dengan akhlak yang baik, dan lain-lain lagi. Yang penting semuanya menjurus kita supaya kembali kepada islam. Segala apa kebaikkan yang dilakukan semuanya dikirakan dakwah, yang penting dasarnya kembali kepada islam.

Signifikannya, usahlah kita melihat dakwah itu hanya dengan skop yang kecil. Teliti dan perhalusi, dalam usaha membentuk manusia bukannya dengan berbicara sahaja, hatta dengan akhlak juga boleh mendorong orang lain tertarik dengan islam.

Islam itu hakikatnya indah, di make up lagi dengan dakwah yang kreatif dan menarik akan menampakkan lagi betapa keindahan islam itu benar-benar indah dan suci.


Da'ie Itu 'Penyeri'

Walaupun sinonim dan kebiasaannya yang berdakwah itu di anggap ustaz/ustazah atau imam, namun hakikatnya kita semuanya adalah dai'e. Islam agama yang mengajak manusia bertuhankan satu iaitu menyeru umat manusia akan mengesakan Allah SWT dan menyakini hanyasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah di bawah panji "La Ilaha Illah Muhammadar Rasulullah". Oleh itu, seorang pendakwah perlulah membawa imej islam dengan sebaiknya bagi menjaga kebenaran dan keindahan islam.

Tanpa da'ie dakwah itu tidak beerti. Justeru, dai'e itu umpama 'penyeri' di dalam dakwah itu sendiri. Untuk menyantuni manusia mengajak ke jalan kebenaran. Bersikap kreatif dalam menyerikan dapat menyumbangkan idea pembentukkan sahsiah di dalam diri manusia.

Selain itu, pendakwah yang menjadi pernyeri perlu memecah tradisi, dengan melemparkan segala kejumudan yang ada, melihat dengan penuh kondisi dan sisi. Bagi mencari ruang yang ada untuk memenuhi hati manusia mengajak kembali kepada tuhan yang Maha Esa.

Jangan hanya kejumudan yang ada sehingga tidak melihat uslub (cara) dakwah yang betul, dan waqi' (sesuai pada sesuatu keadaan, tempat dan masa) menyebabkan manusia yang mahu berjinak-jinak kembali dengan islam, ataupun yang mahu mencari kebenaran islam  memandangan serong pada sesetengah pendakwah yang syadid pada tempat yang tidak sepatutnya.

Hal ini kerana adanya kepelbagaian mad'u iaitu orang yang di dakwah, mempunyai fikrah dan latar belakang yang berbeza-beza.  Justeru, sudah tentulah pelbagai respon dan reaksi yang akan diterima oleh seorang da'ie. Telah berkata Al Marhum Hasan Al-Hudhaibi, mursyid kedua Ikhwan Muslimin, "kita adalah pendakwah bukan penghukum!"

Maka marilah kita koreksi kembali, pendakwah yang berstyle itu juga perlu ada bagi menyerikan lagi dakwah yang sediakala. Kreativiti dalam berdakwah dapat menarik minat manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran dan menerima keindahan islam itu tanpa sedikitpun ada rasa terpaksa.


Siapa Pendakwah?

Namun sebagai umat manusia, adakalanya merasakan diri tidak layak dan belum cukup sempurna di dalam melaksanakan dakwah. Kita akan melaksanakan dakwah itu hanya apabila diri kita cukup dengan ilmu agama. Justeru, dalam kehidupan itu kita hanya membiarkan dakwah dilakukan oleh mereka yang bergelar imam, ustaz atau ustazah.

Mungkin kita terlupa dengan ayat yang berbunyi;

"Sesiapa yang mengucap tiada tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu persuruh Allah, dan dia adalah dai'e"

Daripada ayat ini, jelas menunjukkan setiap muslim itu adalah pendakwah, yang menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah, menyakini Muhammad Kekasih Allah, yang mengajak manusia mengerjakan kebaikan dan menyeru meninggalkan larangan Allah SWT.

Lantaran itu, untuk berdakwah usah tunggu sempurna. Teruskan usaha, mencari ilmu dan tingkatkan iman kepada Allah SWT. Sentiasalah merasai diri ini penuh dengan noda dosa dan merasa kurang di hadapan Allah SWT. Sesungguhnya dengan hadirnya rasa kerendahan diri kepada Allah SWT akan mendorong kita untuk lebih berusaha untu memperbaiki diri seterusnya berlumba-lumba di dalam melakukan amal kebaikan.

Sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/5022-dakwah-itu-seni-daie-itu-penyeri.html

Wednesday, November 14, 2012

2 mata yang tidak akan disentuh api neraka









قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “عَيْنَانِ لاَ تَمَسُّهَمَا النَّارُ أَبَداً : عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ”.

Rasulullah SAW bersabda: “Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya : mata yang menangis karena takut kepada Allah dan mata yang berjaga malam di jalan Allah”.    
                                                                                                                          [HR: Tirmidzi]


Menangis adalah fitrah yang mana juga adalah muara kepada sebuah perasaan. Allah tidak menciptakan air mata tanpa fungsi. Namun, apakah tangisan yang hadir itu tulus kerana-Nya? Banyak tangisan atau titisan air mata yang bernilai sia-sia, hampa, tanpa pahala, bahkan terkadang bernilai dusta dan dosa yang akan mengakibatkan pelakunya mendapatkan murka Allah SWT.   

Daripada petikan hadis di atas, tangisan atau mata yang akan terlepas dari nyala api neraka selama-lamanya adalah :

Pertama : Mata yang menangis kerana takut kepada Allah

Jenis mata yang pertama ini tidak dimiliki oleh kebanyakan orang. Orang yang memiliki mata ini  tidak akan mampu menitiskan air matanya, kecuali pabila jiwanya bersih, roh dan hatinya jernih diiringi dengan rasa takut kepada Allah SWT, yang demikian ini akan memudahkan mengalirnya air mata taqwa, bukan air mata palsu yang penuh dengan kepura-puraan.

Menangis kerana  takut kepada Allah adalah di antara sifat orang-orang Mukmin. Dan orang yang tidak mampu untuk mengalirkan air matanya karena takut kepada Allah adalah pemilik hati yang sangat keras, hati yang sangat keras ini disebabkan banyaknya dosa, dan banyaknya dosa di antaranya disebabkan dari makanan yang dimakan dengan cara yang tidak halal, makan makanan yang haram kerana  lupa akan kematian, lupa akan kematian kerana terlalu jauh berangan-angan, panjangnya angan-angan kerana cinta dunia, dan cinta dunia pula adalah pangkal dari segala kekeliruan.

Allah SWT memuji orang-orang suka menangis karena takut kepada-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam Al-Quran :

“إِنَّ الذِّيْنَ أُوْتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّوْنَ لِلأَذْقَانِ سُجَّدًا. وَيَقُوْلُوْنَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُوْلاً. وَيَخِرُّوْنَ لِلأَذْقَانِ يَبْكُوْنَ وَيَزِيْدُهُمْ خُشُوْعًا”.
“Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkurkan wajah mereka sambil bersujud, dan mereka berkata: “Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi”. Dan mereka menyungkurkan wajah mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu”. [ Al-Isra : 107-109]

Menangis kerana takut kepada Allah SWT memiliki keutamaan yang sangat agung di sisi Allah SWT :
Rasulullah SAW bersabda :

لاَ يَلِجُ النَّارَ رَجُلٌ بَكَى مِنْ خَشْيَةِ اللهِ تَعَالَى حَتَّى يَعُودَ اللَّبَنُ فِي الضَّرْعِ…”.

“Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah, hingga susu kembali ke payudara”. [HR : Tirmidzi dan Nasa’i]

Abdullah bin Umar RA berkata : “ Menangis kerana takut kepada Allah lebih aku sukai daripada aku berinfaq sebesar seribu dinar”.

Ada banyak jenis tangisan, diantaranya seperti yang di sebutkan oleh Yazid bin Maisarah rahimahullah, beliau berkata : “Menangis itu ada tujuh macam : Menangis kerana bahagia, menangis kerana sedih, ketakutan, riya, kesakitan, syukur dan menangis kerana takut kepada  Allah ta’ala, menangis kerana takut kepada Allah inilah yang akan dapat memadamkan api yang besarnya seluas lautan”.

Rasulullah SAW bersabda :

“لَيْسَ شَيْءٌ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ قَطْرَتَيْنِ وَأَثَرَيْنِ : قَطْرَةٌ مِنْ دُمُوْعِ خَشْيَةِ اللهِ ، وَقَطْرَةُ دَمٍ تَهْرَاقُ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ…”.

“Tidak ada sesuatu yang lebih Allah sukai selain dua titis dan dua jejak, titisan air mata kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang mengalir di jalan Allah”
                                                                                                                     [HR :Tirmidzi]

Kedua : Mata yang berjaga malam di jalan Allah

Jenis mata yang kedua ini juga tidak akan disentuh api neraka, kerana sanggup mengorbankan sisa malamnya dengan mendekatkan diri kepada Allah, di mana pada waktu sama orang lain masih pulas tidur di pembaringan. Demikian sebagaimana di sebutkan dalam hadis di atas.
Dua mata ini pula yang pada hari kiamat kelak akan mendapatkan suatu naungan yang tidak akan ada naungan melainkan hanya naungan Allah SWT.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim disebutkan bahawa ada tujuh golongan manusia yang Allah SWT naungi dengan naugan-Nya di hari yang tidak ada lagi naungan melainkan hanya naungan-Nya, diantaranya adalah : “…dan seseorang yang mengingat Allah saat menyendiri lalu kedua matanya menitiskan air mata”. [HR : Bukhari & Muslim]




                                                             

Sunday, November 4, 2012

Laporan I-Give.


Alhamdulillah... Alhamdulillah.. Alhamdulillah.

Selesai sudah acara korban, berjaya sudah program I-Give untuk sesi Korban 1433H.

Bermula dari pengasas yang mulai mendapat ilham, akhirnya setelah setahun menabung dengan Rp 100.000 (RM 40) setiap bulan, seramai 43 orang yang menyertai berhasil menunaikan ibadah korban kali ini, serta kerjasama dari beberapa orang ajk program yang terdiri dari pelajar perubatan Malaysia di UNPAD itu sendiri.

Alhamdulillah kerjasama dengan Pak Fery, pembekal daging korban juga telah membenarkan kami membeli dengan banyak dan secara pukal ibaratnya. Jadi, harga yang kami peroleh lebih murah berbanding tempat lain, dan wang lebihan telah digunakan untuk membuat sijil, cenderamata, kos pengangkutan dan segala kos 'mantainance' demi memperlancarkan program ini.


Pak Fery, merupakan seorang aktivis dakwah yang merupakan ahli gizi, namun juga mengusahakan perniagaan menternak lembu dan kambing di Rancakalong, Sumedang, Bandung, Indonesia.

Beliau sengaja menternak di Rancakalong, dan membiarkan warga kampung mengelola penternakan binatang tersebut demi mencipta satu lagi peluang pekerjaan.

Yang lebih mulia, beliau mahu membina dakwah dan tarbiyah di kampung itu, selain katanya pihak kami secara tidak langsung telah membawa pengajaran yang baik bagi penduduk kampung untuk turut serta menunaikan ibadah korban.
Jika sebelum ini, mungkin beberapa warga kampung mempunyai haiwan penternakan, namun belum pernah menunaikan ibadah korban, kerana kebanyakan haiwan itu hanya untuk dijual.

Proses penyembelihan haiwan korban dilakukan di tiga tempat:
1. Di Panorama, Jatinangor, 1 ekor lembu telah dikorbankan.
2. Di Maulana, Jatinangor. 2 ekor lembu dan 4 ekor kambing telah dikorbankan dan sebagian digunakan untuk majlis makan pada malamnya bagi pelajar Malaysia di UNPAD.
3. Di Rancakalong, Sumedang, Bandung. 2 ekor lembu dan 2 ekor kambing dikorbankan.

Setiap peserta mendapat 1,5kg daging dan selebihnya telah dibahagikan ke penduduk kampung yang tak berkemampuan serta digunakan sebagiannya untuk pelajar muslim Malaysia di UNPAD itu sendiri.

Pengarah program Ahmad Zulfahmi menekankan beberapa perkara:
1. Bagi kami ajk, kami patut berkerja 'as profesional as can'. Makanya segala pengeluaran kos demi program ini oleh kami harus dilapor dan ada pengembaliannya. Selain menguar-uarkan berita baik ini kepada semua. Bukan isu ikhlas menjadi persoalan, tapi menunjukkan Islam dari segala hal.

2. Mengingatkan peserta, moga usaha kecil kita dipandang Allah dan ketahuilah bukan darah daging binatang yang disembelih itu menjadi tuntutan Allah, namu taqwamu... Peringatan juga buat ajk yang bekerja, moga usaha-usaha ini mengajar kita untuk lebih bertaqwa. Dengan izinNya.

Lihat video dokumentari hari penyembelihan haiwan korban:



Video penyembelihan haiwan di Maulana oleh pelajar muslim Malaysia di Universitas Padjadjaran, Bandung, Indonesia. Kali ini, bertemakan 'Pengabdian tanda Keimanan'


Seperti biasa, bagi tahun-tahun sebelumnya, acara korban dilakukan oleh pelajar muslim Malaysia di UNPAD bagi memeriahkan lagi suasana hari kemenangan islam yang disambut bersama. Kerjasama panitian korban dan seluruh pelajar yang terlibat sangat mengagumkan.
Disinilah kami berukhwah, saling mengenal, saling mentaburi erti tema korban kali ini insyaAllah.
Acara bermula dari pagi hingga ke malam dan menerima kunjungan dari pelajar Malaysia di universiti di Bandung yang lain seperti Institut Teknologi Bandung (ITB) dan UIN. Serta kunjungan pihak TV3.
Segala penat lelah kami dibayar dengan kemanisan ukhwah dan doa sahabat semua.
Syabas buat kalian semua!

Akhir sekali, harapannya semoga usaha seperti program baik ini diteruskan.
Terima kasih dan mohon maaf juga dari pihak pengarah buat semua, terutama buat peserta dan ajk yang terlibat.
Semoga Allah membalas setiap dzarah kebaikan kalian.


“Tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha, Ibrahim berkata; ‘Hai anakku,
sesungguhnya aku melihat dalam mimpi menyembelihmu. Maka bagaimana
pendapatmu?’ Ia menjawab;’Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan
kepadamu, Insya ALLÁH kamu akan mendapatiku termasuk orang yang sabar’.” (QS.
As Shaffat; 102)
Begitulah nabi Ibrahim  diuji cintanya kepada Allah setelah memperoleh Nabi Ismail, yang menjadi simbol anugerah Allah setelah lamanya dipohon untuk mendapat cahaya mata oleh Nabi Ibrahim.
Ya, itulah cinta.. Cinta pada Allah.
'wallazi na aamanu, asyaddu hubban lillah" (sesungguhnya orang beriman, sangat cinta kepada Allah) surah albaqarah: ayat 165.

Lebih banyak gambar, mohon lawat Facebook IMAN.