Saturday, August 4, 2012

3 TAHAP IKHLAS


Assalammuaikum wbt

Baiklah, kali ini kami cuba membawakan kepada anda semua para pembaca blog IMAN tentang apa itu 3 tahap ikhlas . Jom baca cerita yang disediakan, dan cuba menilai diri kita dimana tahap keikhlasan kita....


“Zaki, aku ada benda la nak tanya kat kau ni?” Izat, tiba-tiba bersuara. Cuma tinggal diorang berdua je dekat dalam study room, yang lain semua dah masuk bilik.
Dialihkan muka daripada buku The Romanticism yang dah dekat sebulan baca masih tak habis-habis. “Nak tanya pe?”
“Aku teringat la kan, dulu waktu lower form aku ada dengar yang kita ni tak boleh buat ibadah atas dasar sebab nak dapat pahala tu sendiri, betul ke?”
Fikir. “Jap eh.” Macam pernah dengar je benda ni. Aha… “Ehm… Haritu aku ada tengok satu program tv ni. Nama program tu tak silap aku, 30 minit bersama Ustaz Don Daniyal. Dekat situ ustaz tu ada la cerita pasal tiga tahap ikhlas. Kau ada tengok tak?”

Geleng.

“Camni… ustaz tu cakap, kalau ikut imam Ghazali, ikhlas tu ada tiga iaitu tahap seorang hamba, tahap seorang pedagang dan tahap seorang kekasih. Kalau tahap seorang hamba ni, contoh dia macam bila kita buat sesuatu sebab kita takut tuan kita marah.”

“Ooo… jadi selama ni bila aku sembahyang sebab takut kena seksa dekat akhirat nanti, kira ikhlas la ek?”
“Yup betul la tu... Yang kau tanya tadi, pasal kalau kita buat ibadah sebab nak dapat pahala, itu termasuk dalam tahap yang kedua, tahap seorang pedagang. Kita buat something untuk mendapatkan benefit kepada kita pulak. So takde masalah la kalau kau solat sebab nak dapat pahala. Itu pun dah dikira ikhlas.”
“Ooo…”Muncung je mulut Izat mendengar penjelasan Zaki. “Tahap ketiga pulak?”

“Kalau tahap ketiga ni la yang paling tinggi, sebab kita buat atas dasar sebagai seorang kekasih. Kita buat ibadah sebab kita cintakan Allah, sebab kita sayang hubungan kita dengan Allah.”
“Okeyh. Aku dah faham.” Sengih. “Hebat la kau, rilek je cerita pasal benda-benda camni.”

Senyum. “Takde la, aku pun kebetulan haritu tengok kat tv je. Kalau tak, harapan la nak jawab. Dah..dah… Pergi buat homework kau tu, esok kalau kena marah sebab tak siap jangan nak mengadu kat aku lak.” Zaki dah kembali menghadap buku The Romanticism tulisan Harun Yahya ditangan.
“Baik bos.”

“Tinggalkan amal kerana manusia adalah riya’,
buat amal kerana manusia adalah syirik,
tinggalkan kedua-duanya adalah ikhlas.” – Fudhail bin Iyadh


FIKAH PERUBATAN ( Bahagian ke-2 )

Assalammualaikum wbt

Apa khabar para pencinta ilmu? Anda sihat ? jadi kali ini, kita sambung pula perbincangan kita tentang Fikih perubatan dan kesihatan ini. Sebelum ini saya menyatakan ada 5 kaedah dalam fikih ini, jadi jom kita tambah ilmu kita…

Kaedah pertama

1.Setiap perkara bergantung kepada tujuannya.

Penerangan :
-          Maksud umum kaedah ini bagi segala perkara yang lahir daripada mukalaf sama ada dalam bentuk perbuatan atau pertuturan, hukum – hakam ditentukan berdasarkan maksud ataupun tujuan dia melakukan dan menuturkannya.
-          Kaedah ini sebaik-baiknya dibantu dengan kaedah :

Keharusan syarak menafikan bayaran ganti rugi

-          Contoh :

1. Doktor yang mahir dalam bidangnya tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya berlaku sebarang kerosakan yang tidak disengajakan. Ini disebabkan beliau memang mahir dalam selok – belok asas perubatan.
2. Pegawai farmasi tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya memberikan ubat-ubatan sebagaimana yang dicadangkan oleh doktor yang diperakui. Ini kerana dia sememangnya diizinkan berbuat begitu.
3. Apabila berlaku kesan sampingan ataupun kemalangan dalam pembedahan ke atas pesakit yang memberi izin dibedah, sedangkan doktor yang mengendalikan pembedahan itu sudah pun berpegang teguh dengan asas- asas operasi pembedahan, maka doktor tidak perlu membayar apa- apa ganti rugi.

Kaedah kedua

2. Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak wasangka

- Maksud kaedah ini : Perkara yang sudah diyakini tidak akan hilang dengan kedatangn keraguan ke atasnya.
- Ada beberapa kaedah yang lahir dari kaedah di atas :

a) Asal masalah adalah kekalnya perkara di atas keadaanya yang asal.
b) Pada asalnya perkara-perkara yang baru muncul itu tidak ada.
c) Asalnya setiap orang bebas daripada tanggungjawab dan tidak terikat dengan mana-mana hak.
d) Asal masalah yang baru berlaku itu perlu dianggarkan berlaku pada waktu yang terhampir
e) Asal setiap sesuatu perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan keharamannya.
f) Tidak boleh dikira syak (dalam perkara) yang telah nyata salahnya.

Kaedah ketiga

3. Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan.

Beberapa kaedah yang terbit daripada kaedah ini :

a) Suatu perkara apabila tersepit ia menjadi luas
b) Sesuatu perkara apabila menjadi luas maka ia akan sempit.

Huraian :
-          Maksud kaedah diatas, apabila seseorang itu ditimpa keadaan yang menyulitkan, sekiranya beramal dengan hukum asal yang disyarakkan, maka ISLAM memberikan keringanan dan kemudahan ke atas mereka selama darurat masih ada. Inilah yang dimaksudkan, “apabila perkara itu sempit ia menjadi luas”.
-          Selepas hilang darurat itu, ia perlu kembali kepada hukum asal sebagaimana disyarakkan. Inilah yang dimaksudkan “ sesuatu perkara apabila menjadi luas ,maka ia akan sempit.”

Kaedah keempat

4. Kemudaratan hendaklah dihilangkan.

Beberapa kaedah yang terbit daripada kaedah di atas adalah :

a) dilarang menyebabkan timbulnya kemudaratan dan dilarang memudaratkan orang lain.
Maksud : Jangan memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Jangan melakukan perkara yang berguna kepada diri sendiri tetapi mendatangkan kemudaratan ataupun kesusahan kepada orang lain.

b) Darurat mengharuskan yang dilarang
c) Perkara yang dibolehkan kerana darurat dihadkan menurut kadar darurat sahaja.
d) Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan melakukan kemudaratan (kerosakan) yang seumpama dengannya ataupun yang lebih besar daripadanya.
e) Kemudaratan yang lebih besar hendaklah dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan
f) Kemudaratan hendaklah dibendung setakat termampu
g) Menolak kerosakan diutamakan dari mengambil kebaikan
h) Melakukan mafsadah (masalah) yang kecil dibolehkan demi untuk mendapatkan maslahat (kebaikan) yang besar.
i) Melakukan mafsadah bersifat sementara dibolehkan demi mendapatkan maslahat bersifat abadi.
j) Maslahat yang diyakini kewujudannya tidak boleh ditinggalkan kerana mafsadah yang masih berupa angan-angan.
k) Keadaan darurat tidak boleh membatalkan hak orang lain.
l) Ditanggung kemudaratan khusus bagi menolak kemudaratan am.

Kaedah kelima

5. Adat (uruf) diperhakimkan.

Maksud : Adat boleh menyabitkan hukum syarak apabila tidak terdapat nas untuk hukum yang hendak disabitkan. Adat ditakrifkan oleh ulama dengan, “ Perkara yang menjadi kebiasaan oleh manusia bagi mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi perkara lumrah “

Contoh :
-          Ubat-ubatan yang biasa diberikan kepada pesakit tanpa perlu kepada penerangan terperinci daripada doktor seperti Panadol. Pada kebiasaannya, Panadol tidak memberikan kesan sampingan yang memudaratkan, sekiranya pesakit itu mengalami kesan sampingan yang teruk, doktor tidak patut disaman. Panadol tidak member kemudaratan kepada orang yang mengambilnya pada kadar dan jangka masa yang sepatutnya.


Baiklah, macam mana sahabat semua? Menarik bukan ilmu tentang fikah perubatan ini. Sebenarnya masih banyak lagi yang perlu kita pelajari tentang ilmu fikah perubatan dan kesihatan ini. Kami harap dengan adanya artikel ini dapat menggalakkan sahabat semua untuk terus gali ilmu ALLAH SWT yang sangat luas ini hanya semata-mata mencari keredhoan ALLAH SWT….. kami ucapkan semoga anda semua menjadi para professional ISLAM yang berjaya di dunia dan di akhirat….



Jazakallahu Khairan Katsiran.

Rujukan :

Fikah Perubatan Karya Dr.Harmy Mohd Yusoff,Ustaz Shamsul Kamal Abdullah,Dr.Rosediani Muhammad,Wan Nor Ainon Wan Abdullah terbitan PTS Millennia.