Persidangan Memecahkan Sekatan: Semangat Rachel Corrie dan Mavi Marmara anjuran Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO) yang akan berlangsung esok diharap dapat meraih sokongan negara-negara lain bagi menentang kekejaman rejim Zionis ke atas Palestin.
Jurucakap PGPO, Shamsul Akmar berkata, selain Malaysia dan Turki, sokongan padu negara lain perlu bagi mendesak rejim Israel itu menghentikan sekatan dan memutuskan hubungan Gaza dengan dunia luar.
Selain itu, kata beliau, persidangan bertujuan menyangkal propaganda Israel terhadap kejadian sebenar yang berlaku ke atas Mavi Marmara dan memupuk kesedaran mengenai sekatan tiga tahun terhadap Gaza itu juga akan menggariskan beberapa langkah bagi membantu rakyat Palestin yang kini menderita.
"Ini termasuk merumuskan langkah-langkah yang boleh diambil secara kolektif untuk menentang kekejaman sekatan Israel terhadap Gaza serta membuat satu ketetapan terbaik untuk menangani masalah Palestin secara keseluruhan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Persidangan sehari itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PGPO akan menyampaikan ucaptama pada persidangan itu dan ditutup oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Shamsul Akmar, persidangan itu meliputi tiga sesi termasuk perbincangan mengenai penderitaan rakyat Palestin di Gaza dan kisah tragedi kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie yang diserang dan ditawan oleh Israel pada 31 Mei dan 5 Jun lepas ketika mengikuti misi flotila kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Bagi sesi pertama, katanya, beberapa sukarelawan termasuk aktivis antarabangsa kapal Rachel Corrie, Jenny Graham akan menceritakan pengalaman semasa berada di atas kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie termasuk serangan kejam tentera Israel yang mengorbankan sembilan nyawa warga Turki serta mencederakan berpuluh yang lain.
Sementara sesi kedua pula adalah perkongsian pengalaman sebuah kehidupan di Gaza yang penuh penderitaan dan kemiskinan akibat sekatan Israel.
Ia akan disampaikan oleh rakyatnya, pegawai hubungan antarabangsa, Ir. Mohammed D. Radwan yang bekerja di Parlimen Gaza serta pengalaman aktivis tentang mengapa mereka mahu terus mengunjungi wilayah itu oleh ketua sukarelawan kapal Rachel Corrie, Derek Graham.
Pada sesi ketiga iaitu sesi perbincangan bersama panel bagi tajuk Langkah Seterusnya, Dr. Mahathir akan bertindak sebagai moderator dan akan disertai beberapa panel termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mengetuai usaha mengutip dana untuk Palestin; Duta Turki ke Malaysia, Serap Attay; Timbalan Duta Iran ke Malaysia, Dr. M. S. Dolatabadi dan Ketua Wakil Liga Arab di New Delhi, India, Dr Ahmad Salem Saleh Alwahishi.
Dijangkakan seramai 1,500 peserta yang terdiri daripada para aktivis, ahli po
litik, pelajar universiti dan duta-duta besar akan menghadiri persidangan itu yang turut dibuka kepada orang ramai.
Shamsul Akmar berkata, orang ramai yang ingin turut serta pada persidangan tersebut dinasihatkan supaya mendaftar seawal 8 pagi kerana tempat duduk adalah terhad.
0 comments:
Post a Comment