Wednesday, June 29, 2011

Iftar Jam'ie & Israk Mikraj


Assalamualaikum w.b.t

      Alhamdulillah, semalam iaitu Selasa, 28 Jun 2011 telah dijalankan sebuah program iaitu Iftar Jam'ie dan Isarak Mikrah sempena peristiwa Israk mikraj, 27 Rejab di Masjid As-Syifaa'. Program bermula dengan ketibaan pelajar-pelajar dan seterusnya majlis berbuka puasa atau iftar jam'ie. Seterusnya, dilanjutkan dengan solat maghrib berjamaah dan sedikit tayangan video. Setelah itu, solat isyak berjamaah dan diteruskan dengan ceramah oleh Ustaz Rofiqi.

         Ceramah yang disampaikan amat menarik dan berkisarkan tentang kejadian semasa Israk Mikraj itu sendiri dan bagaimana Rasulullah menyaksikan sebahagian kehidupan akhirat yang boleh dijadikan pengajaran kepada. Selain itu, ia membuktikan kekuasaan Allah yang boleh disaksikan melalui peristiwa yang dianggap mustahil untuk berlaku kecuali dengan kuasa Allah s.w.t. dan seharusnya kita dapat menilai keimanan kita dengan keyakinan kita terhadap kebesaran Allah seperti tema Israk Mikraj kali ini. Sesungguhnya banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa bersejarah dan penting ini.

          Setelah itu, program di akhiri dengan penyampaian cenderamata kepada ustaz. Halaqah kecil tidak dapat dijalankan seperti yang dijadualkan kerana kekangan masa. Walaupun begitu, diharapkan setiap yang hadir mendapat sedikit sebanyak manfaat daripada program yang dijalankan ini.




gambar klik sini

Saturday, June 25, 2011

Cara Bersuci Ketika Punya Anggota Tubuh Yang Dibalut



Soalan: Seorang yang tercedera akibat kemalangan atau apa sahaja, lalu anggota dibalut, apakah yang dia perlu lakukan untuk berwuduk atau mandi wajib?



Jawapan:
 Dalam masalah ini, kebanyakan ulama menyatakan: Dia hanya perlu menyapu air pada balutan berkenaan. Dia tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan tersebut. Bab ini dipanggil al-Mash ‘ala al-Jabirah wa al-‘Isabah iaitu menyapu di atas balutan patah dan luka.
Namun begitu oleh kerana hadith-hadith dalam masalah ini kesemuanya tersangat daif, ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama hadith seperti al-Baihaqi, dan tegaskan lagi oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah, maka berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam masalah ini.
Apa yang dapat dirumuskan dari perbahasan para ulama fekah, ialah dua pendapat yang mudah diikuti;
Pertama: Hanya perlu sapu di atas balutan tersebut. Dia tidak diwajibkan berwuduk sebelum memakai balutan tersebut. Ketika berwuduk atau mandi wajib dia hanya perlu sapu air di atas balutan tersebut, tanpa perlu membasuhnya, atau melalukan air di bawahnya, atau menanggalkannya. Inilah pendapat terpilih daripada kebanyakan ulama Fekah. (‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah, jld 1, m.s. 140, Beirut: Muassasah al-Risalah 1994).
Kedua: Disebabkan hadith-hadith dalam perkara ini terlalu daif, maka terdapat ulama fekah yang berpegang kepada tidak wujud hukum sapuan atas balutan patah atau luka. Sebaliknya anggota yang cedera, atau dibalut tersebut tidak perlu sebarang sapuan atau basuhan kerana telah gugur kewajipan syarak ke atas anggota tersebut. Ini pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (wafat 456H). Kata beliau ketika memberikan alasan pandangannya : “Dalilnya firman Allah:
(maksudnya) “Allah tidak bebankan kepada seseorang kecuali apa yang dia terdaya”.
Juga sabda Nabi s.a.w:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُم
“Apabila aku perintah kamu dengan sesuatu perintah, maka datangilah ia dengan kadar kemampuan kamu” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah, sesuatu kewajipan gugur apabila yang seseorang tidak mampu. Maka gantian kepada yang gugur itu hendaklah berasaskan syarak. Syarak pula tidak wajib diikuti kecuali adanya dalil daripada al-Quran atau sunnah. Namun, tiada dalil al-Quran atau sunnah yang menggantikan basuhan dengan sapuan atas balutan patah atau ubat bagi anggota yang tidak mampu dibasuh”.( Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla, jld 1, m.s. 316, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah t.t)
Salah satu pendapat atas boleh untuk diamalkan dan lebih mudah dari seseorang terikat dan taksub kepada mazhabnya sehingga akhir meninggalkan solat. Pendapat al-Imam Ibn Hazm lebih praktikal secara hujah dan perbandingan. Memudahkan hal ini adalah baik dari memberikan pendapat mazhab yang lemah lagi menyusahkan pesakit sehingga kemungkinan mereka meninggalkan solat.
ALLAH LEBIH MENGETAHUI...



Friday, June 24, 2011

Program Israk Mikraj

Assalamualaikum wbt.

261332_3064327326281_1206424169_101789292_6037841_n

 

Pada 28 Jun 2011, IMAN akan mengadakan satu program sempena Isra' Mikraj 

Berikut adalah tentatif program yang telah diatur:

Tarikh: 28 Jun 2011, Selasa
Masa: 5.30pm
Tempat: Masjid Asy Syifa(InsyALLAH)


5.30pm: Kehadiran pelajar
5.45pm: Iftar Jam' ie, Solat Maghrib Berjamaah
6.15pm: Tayangan video, (selami jiwa, selami hati, tingkatkan ketaqwaan)
7.00pm: Solat Isyak
7.15pm: Tilawah, bacaan doa, Ceramah
9.00pm: Halaqah kecil(perbincangan dalam kumpulan), tajuk: peranan individu dalam pembangunan ummah
9.30pm: Bersurai.

Dengan bertemakan Israk Mikraj disini keyakinan bermula, kami menjemput kalian semua untuk hadir dan mengutip kebaikan yang ingin disampaikan.

Jzkk.

Friday, June 17, 2011

Larangan Amalan Sunat Ketika Khutbah Jumaat


“Jika engkau berkata kepada temanmu, ‘Diamlah’ ketika mana imam atau khatib menyampaikan khutbahnya, maka engkau melakukan perkara sia-sia, maka tidak ada Jumaat baginya.” Hadis ini diriwayatkan oleh enam ulama hadis daripada seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah r.a.

Hadis ini difahami majoriti ulama sebagai anjuran untuk mendengar khutbah dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ketika khatib sedang menyampaikan khutbah.
Namun, ia bukan bermakna batalnya kewajipan Jumaat apabila seseorang Muslim itu melakukan perkara yang dilarang. Ini kerana makna “tidak ada Jumaat baginya” adalah bermaksud tidak ada pahala Jumaat, bukan tidak sah Jumaatnya.

Memang benar segala bentuk amalan sunnah seperti membaca tasbih, al-Quran dan sebagainya hendaklah dihentikan sebaik saja khatib naik mimbar untuk menyampaikan khutbahnya.

Ini berdasarkan kepada hadis daripada seorang sahabat Nabi, iaitu Tsa’labah Abi Malik yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafi’I dalam kitabnya al-Umm yang menyatakan: Duduknya Imam di atas mimbar memutuskan segala tasbih [amalan sunnah], dan khutbahnya memutuskan segala macam perbicaraan.”

Akan tetapi, perlu dinyatakan di sini bahawa larangan di sini adalah larangan yang bermaksud makruh bukan haram.

Dalam buku al-Majmu’, karangan Imam an-Nawawi disebutkan bahawa ulama yang bermazhab as-Syafi’I berpandangan bahawa mereka sepakat melarang siapa saja yang berada di masjid untuk melakukan apa saja ketika imam atau khatib sudah duduk di atas mimbar.

Imam al-Ghazali seperti yang dikutip oleh an-Nawawi rhm berpandangan, “Jika khatib sudah duduk di atas mimbar, maka tidak dibenarkan lagi melakukan amalan sunnah. Kerana itu, sesiapa yang tidak dalam keadaan menunaikan solat, maka dia tidak boleh mengerjakan solat. Manakala sesiapa yang mengerjakan solat, maka hendaklah dia mempercepatkan solatnya.”

Ini berlaku bagi jemaah yang sudah berada atau duduk di dalam masjid. Mereka yang masuk ke masjid dan belum duduk sewaktu imam duduk di atas mimbar atau sedang berkhutbah, maka dia dianjurkan untuk mengerjakan solat sunat tahiyyah al-masjid sebanyak dua rakaat yang ringkas atau singkat.

Makruh hukumnya meninggalkan solat sunnah ini, kerana Nabi SAW bersabda bermaksud: Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, maka janganlah dia duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.”

Tetapi jika ia masuk ke masjid di akhir khutbah dan menduga bahawa bila dia melakukan solat tahiyyah al-masjid, dia tidak dapat mengikuti imam dalam takbir pembukaan [takbiratul ihram], maka dia tidak perlu menunaikan solat.

Namun dia tidak boleh duduk melainkan berdiri menunggu khutbah berakhir agar tuntutan Nabi SAW supaya tidak duduk dapat dilaksanakan. Wallahua’lam.

Wednesday, June 8, 2011

Promosi Buku Fiqh Ibadah di Hospital

Khas kepada para pelajar di Bandung, Indonesia, dan pelajar Muslim umumnya, IMAN PKPMI Bandung, sedang mempromosikan Buku Fiqh Ibadah Di Rumah Sakit.Tempahan telah dibuka kepada semua

 

Bagaimana cara solat, bersuci, puasa, berdoa dan ibadah lain bagi mereka orang sakit dan bakal doktor??

Ayuh tempah!

Silakan menghubungi penanggungjawab, saudari Farhain Amir (087827714613)

Buku Fiqh Ibadah Di Hospital dengan harga Rp 5000 sahaja (RM 3). ~Islam itu mudah. Ayuh ambil tahu dan sebarkan~ =D

Wednesday, May 25, 2011

Laporan BWB ( Brothers without Borders)

Assalamualaikum wbt….

Page1

      Alhamdulillah selesai sudah satu program Brothers without Borders (BWB) yang telah diadakan pada tanggal 21.5.2011 yaitu pada hari sabtu yang lalu.

       Program ini adalah kerjasama antara Biro Agama Islam KUBI (BAIK) dengan IMAN sendiri. Program yang berlangsung di FK UNPAD A.4.1 itu telah bermula pada jam 8 pagi sehingga jam 11.30 pagi.

       Ustaz suherman telah dijemput untuk memberikan ceramah yang berkisar tentang isu dunia islam kini dan apakah peranan kita sebagai mahasiswa.

      Ceramah ustaz yang berkisar mengenai gambaran pada abad 20, dan kondisi umat Islam pada abad ini. Selain itu, perkongsian keadaan dunia menuju abad ke 21, yaitu zaman kita sekarang dan apa saja tantangan yang umat harus hadapi juga turut diperjelaskan.

Namun, yang paling penting Ustaz Suherman juga telah melengkapi ceramahnya dengan menyampaikan apa saja peranan kita sebagai mahasiswa Muslim pada saat ini. Terasa jelas dan lebih dekat dengan apa yang Ustaz telah sampaikan kerana para hadirin semua adalah  mahasiswa sendiri.  Ustaz turut berpesan untuk membawa Islam, kita harus mulakan dengan diri kita dahulu, yaitu dengan menjadi muslim sebenar. Dari segi luaran apatah lagi dalaman.

Untuk kefahaman yang lagi jelas silakan menekan gambar dibawah untuk  men’download’ bahan perbincangan ustaz suherman mengenai program ini:

Earth-Download-icon

 

Sempena program ini juga, satu group facebook BWB telah ditubuhkan bertujuan untuk menyampaikan segala isu mengenai berita-berita dunia Islam kini. Sila tekan gambar dibawah untuk ke page group BWB di facebook ini. 

Sepanjang seminggu sebelum program bermula, setiap hari telah dikongsikan juga video-video yang telah dibuat khas sempena program ini.

Capture

      Disamping itu antara aktiviti yang telah diisi sepanjang program ini adalah jualan makanan Malaysia, jualan baju T-shirt BWB, jualan buku dan tidak lupa juga sesi persembahan kumpulan nasyid DIWANI daripada Malaysia.

Alhamdulillah, program ini telah berjalan dengan lancar. Semoga kebaikan dan info yang ingin disampaikan sepanjang program ini dapat dicapai dan difahami hendaknya.Jika tidak sekarang manfaatnya terlihat, insyaAllah pada masa akan datang.Page2

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu SALING MENGENAL. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"
(Al-Hujurat,49:13)

Untuk melihat lebih banyak gambar program BWB ini boleh tekan disini atau tekan di tab galeri IMAN diatas.

Sekian. Terima Kasih.

Sunday, May 22, 2011

Mengumpat Harus?

“Saya bukan nak mengumpat, tetapi perkara yang saya sebut ni, memang benar-benar berlaku! Saya lihatnya sendiri.”
“Malaslah nak dengar ceramah ustaz tu, asyik mengumpat orang je.”
“Hari ni saya puasa, jadi tidak mahu join kamu mengumpat.”
Dan pelbagai lagi ungkapan yang sering didengari berkaitan mengumpat.
Apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan mengumpat?
Adakah dikira mengumpat sekiranya apa yang diceritakan benar-benar berlaku?
Adakah wujud mengumpat yang DIHARUSKAN?
Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 2589), Rasulullah s.a.w. bertanya para sahabat: “Adakah kamu tahu apa makna mengumpat?”
Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Rasulullah s.a.w menjelaskan yang bermaksud: “Kamu menyebut sesuatu tentang saudaramu yang ia marah (sekiranya dia mengetahuinya).”
Sahabat bertanya: “Sekiranya  apa yang kamu sebut itu benar-benar wujud (berlaku), maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa kamu sebut itu tidak benar, maka kamu telah memfitnahnya.”
TAKRIF MENGUMPAT

Mengumpat ialah perbuatan menyebut sesuatu yang memang benar-benar wujud tentang seseorang yang sekiranya ia mengetahuinya, ia pasti akan marah,
Dalam kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi menyediakan maksud yang terperinci mengumpat iaitu:
“Kamu menyebut tentang saudaramu yang ia memarahinya samada berkaitan tubuh badan, agama, dunia, diri, fizikal, akhlak, harta, anak, ayah, pasangan, khadam, hamba, serban, baju, cara berjalan, bergerak, senyuman, masam wajah dan segala-galanya yang berkaitan dengan dirinya, sama ada cara menyebut, menulis, isyarat mata, kepala dan sebagainya.”
Mungkin juga menulisnya di blog, Facebook dan pelbagai lagi mekanisme moden sekarang.
Imam al-Nawawi juga mengingatkan bahawa mendengar umpatan juga hukumnya haram.

BURGER DAGING MANUSIA
 “…Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.”
(Surah Al-Hujurat, 49:12)

Bahkan ketika peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w. diperlihatkan suatu situasi yang mengerikan, di mana satu kaum yang memiliki kuku dari tembaga sedang mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri.
Baginda bertanya kepada Jibrail: “Siapakah mereka itu?”
Jibrail menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang lain.”
(Riwayat Abu Daud no. 4235)

6 MENGUMPAT YANG DIHARUSKAN

Dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, setelah Imam al-Ghazali menyatakan 6 situasi yang mengharuskan mengumpat, iaitu:
1.      Mengadu kezaliman dan pengkhianatan yang berlaku.
2.      Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran yang berlaku, maka didedahkan kemungkaran tersebut.
3.      Meminta fatwa daripada mufti seperti isteri menceritakan perbuatan jahat suami atau sebaliknya, berdasarkan aduan isteri Abu Sufyan kepada Rasulullah s.a.w. tentang suaminya yang kedekut.
4.       Menyelamatkan saudaranya daripada kejahatan seseorang. Contohnya, jika ada seseorang yang ditanya tentang perempuan atau lelaki yang bakal dikahwini, maka harus mendedahkan keburukannya jika ada. Terdapat 3 golongan manusia yang seandainya diceritakan keburukan mereka, tidak dikira sebagai mengumpat, iaitu pemimpin yang zalim, ahli bidaah dan seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan.
5.     Memperkenalkan seseorang yang memang terkenal dengan gelaran tertentu. Atau hanya dikenali apabila disebut sifat cacatnya seperti tempang, buta dan sebagainya.
6.     Seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan. Seperti lelaki atau perempuan yang mengubah jantinanya, peminum arak, penzina dan sebagainya. Tetapi jika mereka melakukannya secara sembunyi, maka tidak harus menyebut tentang mereka.

Walaubagaimanapun, situasi-situasi di atas mestilah dikawal dengan kaedah “al-dararu tuqaddaru bi qadariha” yang bermaksud, setiap perkara darurat hanya mengharuskan sesuatu yang dilarang sekadar yang diperlukan untuk mengatasi masalah darurat itu saja.
Jika tidak disebut nama seseorang, itu lebih baik.
Perbuatan itu masih dikira mengumpat, tetapi hukumnya harus.


Sekian.


Dipetik dan diubahsuai dari Solusi Isu No.30