Thursday, May 31, 2012

Hukum dan Adab Berjamaah Dalam Islam



Oleh : HAFIZ FIRDAUS ABDULLAH
Antara Penyapu Lidi Dan Vacuum CleanAntara Penyapu Lidi Dan Vacuum Cleanerer:
Hukum dan Adab Berjamaah Dalam Islam. 


“Amin! Boleh tak sebatang lidi menyapu habuk di atas permaidani?” tanya Syukri penuh semangat kepada rakan sekuliahnya, Muhammad Amin.
“Ha? Mana boleh? Sudah tentu tidak.”
“Ahaa! Tepat sekali. Bagaimana jika beberapa batang lidi diikat bersama menjadi sebatang penyapu lidi?”
“Ya! Kali ini boleh. Ehh! Engkau nak buka perniagaan sambilan menjual penyapu ke Syukri?” tanya Muhammad Amin, kehairanan mendengar soalan rakannya itu. Mereka berdua ialah pelajar tahun pertama dalam subjek ekonomi di Universiti Muamalat Malaysia. “Subjek ekonomi yang engkau pelajari sekarang ini pun macam nyawa-nyawa ikan. Takkan nak buat bisnes pulak?” lanjut Muhammad Amin.
“Bukan buat bisnes. Saja nak bagi engkau satu perumpamaan.”
“Teruskan…”


“Kita umat Islam dituntut berusaha untuk agama dan umat. Akan tetapi jika kita berusaha secara berseorangan, hasilnya amat minimum…macam sebatang lidi yang digunakan untuk menyapu habuk di atas permaidani. Entah-entah takde hasil langsung!” “Owh! Menarik ni…teruskan…” jawab Muhammad Amin sambil menyedut jus Carrot susu di depannya. Jus tembikai Syukri kelihatan masih belum disentuh.
“Akan tetapi kalau kita berusaha dalam dalam satu jamaah, hasilnya jauh lebih baik. Satu jamaah umpama beberapa batang lidi yang diikat menjadi sebatang penyapu lidi, ia lebih berhasil untuk menyapu habuk di atas permaidani” jelas Syukri. Jus tembikai mula disedutnya, kepuasan terserlah di air muka setelah melihat Muhammad Amin mengangguk-angguk.
“Nanti dulu, ada lagi!”
“Apa dia? Teruskan…” jawab Muhammad Amin dengan wajah yang berseri-seri.
“Di antara sebatang lidi dan sebatang penyapu lidi, yang mana satu mudah dipatahkan?”
“Sudah tentu sebatang lidi. Ahaa! Engkau nak cuba buat perumpamaan yang kalau kita berseorang, kita mudah gagal berbanding kalau kita berjamaah, kita sukar gagal atau patah semangat?”
“Bijak sungguh engkau ni Min. Aku belum cakap engkau dah tangkap!”
Muhammad Amin membalas sederhana: “Takdelah bijak mana, setakat itu aku tahulah”
“Owh! Jadi engkau dah tahulah tentang jamaah yang aku nak jemput engkau ni? Kalau gitu tunggu apa lagi?”
“Hmm…adalah, susah sikit aku nak cakap. Bukan semua orang boleh terima.”
“Belum cuba belum tahu. Try me, I’m open, I’m cool man” balas Syukri sambil mula menconcongkan diri kepada Muhammad Amin.
“Bukan apa…perumpamaan penyapu lidi itu memang baik. Tetapi…tetapi setakat yang aku amati, habuk di atas permaidani tak disapu. Masing-masing jamaah hanya sibuk untuk mengetatkan ikatan penyapu lidi masing-masing.”
“Maksud engkau?”
“Masing-masing jamaah banyak memberi tumpuan kepada mengkader ahli yang baru dan memagar ahli yang sedia ada. Aktiviti demi agama dan umat amat minimum. Mungkin ada tetapi aku tak nampak pun.”
“Aku rasa engkau tak nampak kut…” balas Syukri sambil mula ke belakang, bersandar di kerusi plastik warung tepi jalan itu.
“Ada lagi yang aku nampak…engkau nak dengar ke?”
“Err…apa lagi?”
“Kalau pun penyapu lidi dah berjaya diikat ketat, aktiviti seterusnya ialah berlawan pedang antara sesama jamaah. Penyapu lidi umpama pedang.”
“Isyy! Mana ada kita main pedang?”
“Ada, itu hanya kiasan. Perhatikan antara berbilang jamaah, berlaku fenomena saling mendengki, saling memfitnah dan saling bersaing secara negatif. Aktiviti ini lebih diberi tumpuan berbanding menyapu habuk di atas permaidani.”
“Ahaa! Itu aku tak setuju. Jamaah yang aku join semuanya OK. Semuanya baik, semuanya teratur lagi kemas. Yang engkau cakap itu mesti jamaah-jamaah yang lain. Mereka itu memang berterabur…samseng pun ada!”
“Inilah yang aku maksudkan. Engkau menganggap jamaah engkau yang terbaik, orang lain menganggap jamaah dia yang terbaik dan begitulah seterusnya. Akhirnya berlawan pedang siapa yang terbaik, habuk masih belum disapu.”
“Habis engkau apa beza? Engkau tidak menyertai mana-mana jamaah, engkau hanya sebatang lidi yang tidak menyapu apa-apa habuk juga!” tegas Syukri, nadanya sudah berubah sikit, lebih tinggi daripada sebelumnya. Ketulan ais dalam jus tembikainya sudah mula cair.
“Islam ini luas, Islam ini lapang, ada pelbagai sarana dan jalan. Seseorang itu bebas memilih cara yang efektif untuk dia berusaha demi kebaikan agama dan umat. Jangan memenjarakan diri dengan satu sarana aje.”
“Habis engkau guna cara apa?” tanya Syukri tidak sabar.
“Aku guna vacuum cleaner. Penyapu lidi dah ketinggalan zaman daaa…!” balas Muhammad Amin tersenyum lebar sambil menepuk-nepuk bahu Syukri.
 
Fenomena berbilang jamaah adalah sesuatu yang lazim berlaku sekarang ini di dunia Islam. Malah ia adalah sesuatu yang hangat di institut pengajian tinggi. Di sebalik kelaziman dan kehangatan ini, tidak ramai yang mengetahui apakah hukum berbilang jamaah di dalam Islam. Seterusnya jika berbilang jamaah dibolehkan, apakah adab-adab yang patut dimiliki oleh setiap ahli jamaah? Risalah ini insya-Allah akan mengupas dua persoalan di atas.

Bahagian A: Hukum Berbilang Jamaah.

Para ilmuan berbeza pandangan tentang hukum berbilang jamaah di dalam Islam. Perbezaan mereka boleh disimpulkan kepada dua pandangan:
•    Tidak boleh berbilang jamaah di dalam Islam kerana ia memecah-belahkan persatuan umat Islam. Malah istilah “jamaah” itu sendiri tidak tepat untuk digunakan kerana “jamaah” bererti persatuan yang antonim kepada perpecahan. Berbilang jamaah adalah satu perpecahan, lalu bagaimana mungkin ia digelar jamaah?
Seterusnya terdapat beberapa dalil yang secara jelas melarang perpecahan di kalangan umat Islam. Salah satu daripadanya ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ .
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi bergolongan-golongan, tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak) apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya). [al-An’aam 6:159]
Berbilang jamaah yang wujud masa kini ialah “golongan-golongan” yang dimaksudkan oleh ayat di atas. Kita tidak boleh mengikuti golongan-golongan atau jamaah-jamaah yang lain kecuali apa yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu golongan atau jamaah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
•    Boleh berbilang jamaah merujuk kepada tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menghantar para sahabat dalam jamaah-jamaah yang berasingan, setiap satu dengan misi tertentu seperti dakwah, risikan, peperangan dan sebagainya. Perkara ini boleh dirujuk dalam kitab-kitab sirah yang muktabar.

Di antara dua pandangan ini, saya cenderung kepada yang dipertengahan. Berbilang jamaah dibolehkan jika setiap satu daripadanya ditubuhkan sebagai satu sarana yang memiliki matlamat demi kebaikan agama Islam dan manusia sejagat, tanpa mengira muslim atau bukan muslim. Sekalipun wujud berbilang jamaah, setiap jamaah memiliki dasar-dasar agama yang sama seperti apa yang dibawa oleh Allah dan Rasul-Nya, iaitu apa yang dikenali masa kini sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Jika dikaji secara mendalam ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan dalil melarang berbilang jamaah, ia sebenarnya merujuk kepada jamaah-jamaah yang setiap satunya memiliki dasar-dasar agama yang tersendiri. Ini sudah tentu tidak dibolehkan. Seterusnya jika dikaji sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, setiap jamaah yang baginda utuskan – seandainya ia dapat digelar sebagai jamaah – memiliki dasar agama yang sama. Hanya misi mereka yang berbeza antara satu sama lain.

Bahagian B: Adab-Adab Berjamaah. 
Sekalipun berbilang jamaah dibolehkan, terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan oleh setiap ahli jamaah dalam semua jamaah agar masing-masing tetap berada di sempadan “yang dibolehkan”. Adab-adab yang saya maksudkan ialah:


Adab Pertama: Tidak Memiliki Dasar Agama Yang Tersendiri. 
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ .
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’aam 6:153]

Berdasarkan perintah Allah di atas, kita umat Islam hendaklah berada atas satu jalan agama, iaitu jalan Allah yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jalan inilah yang membentuk dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Kita tidak boleh mengikut jalan-jalan yang lain dengan dasar-dasar yang lain.

Pada masa kini terdapat beberapa jamaah yang masing-masing memiliki dasar yang tersendiri. Sekalipun dasar tersebut mungkin berasal dari Islam, ia hanya satu daripada keseluruhan dasar-dasar yang membentuk kesempurnaan Islam. Jamaah pertama hanya memiliki dasar “menegakkan negara Islam”, jamaah kedua hanya memiliki dasar “mendirikan khalifah”, jamaah ketiga hanya memiliki dasar “keluar empat puluh hari”, jamaah keempat hanya memiliki dasar “tidak mentakwil sifat-sifat Allah”, jamaah kelima hanya memiliki dasar “zikir berlagu” dan pelbagai lagi. Semua ini tidak dibolehkan berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ .
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [al-Baqarah 2:208]

Allah melarang kita mengikuti jejak langkah syaitan kerana antara tipudaya syaitan ke atas umat Islam ialah membanyakkan jalan-jalan dengan setiap jalan memiliki dasar yang tersendiri sehingga akhirnya umat Islam terpisah jauh dari jalan Allah yang sebenar:
قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلاَ تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17 ).

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” [al-A’raaf 7:16-17]
 
Adab Kedua: Tidak Berbangga-Bangga Dengan Jamaah Sendiri. 
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَلاَ تَكُونُوا مِنْ الْمُشْرِكِينَ (31) مِنْ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (32).
Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. [al-Rum 30:31-32]

Merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka”, maka setiap jamaah tidak boleh berbangga-bangga dengan menganggap diri mereka sebagai yang terbaik. Ini dilarang kerana sikap sedemikian akan melahirkan persaingan yang negatif antara jamaah seperti saling berburuk sangka, saling memfitnah dan saling bermusuhan. Seterusnya sikap ini akan melahirkan jamaah-jamaah yang berpuak-puak dan bersuku-suku.

Sikap yang benar ialah merasa rendah diri lagi serba kekurangan. Sikap ini seterusnya akan melahirkan budaya positif saling memahami, saling bertukar pendapat dan saling bekerja sama antara jamaah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ .
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya. [al-Maidah 5:02]

Adab Ketiga: Hanya Berpegang Kepada Tali Allah. 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا .

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. [Ali Imran 3:103]
Allah memerintahkan kita untuk hanya berpegang kepada tali-Nya, iaitu menjadikan Allah sebagai satu-satunya sumber ketaatan, arah tujuan, tempat pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan, dasar pembelaan dan sebab kemarahan.

Maka dalam rangka berjamaah, tidak boleh berpegang kepada tali jamaah. Tidak boleh menjadikan jamaah sebagai sumber ketaatan, arah tujuan, tempat pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan, dasar pembelaan dan sebab kemarahan. Justeru dalam rangka berjamaah, hendaklah diperhatikan perkara-perkara berikut:

1.    Pemimpin jamaah (amir) tidak boleh mengeluarkan syarat yang bertentangan dengan perintah larangan Allah. Seorang amir tidak boleh melarang ahlinya daripada mengikuti majlis-majlis ilmu yang di dalamnya disampaikan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah atau melarang ahlinya daripada menyertai aktiviti agama yang tidak termasuk dalam senarai aktiviti jamaahnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi amaran keras kepada orang yang melarang orang lain daripada jalan-Nya:
أَلاَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ (18) الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا .
Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim! (Iaitu) orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong. [Hud 11:18-22]

2.    Ahli jamaah tidak boleh mentaati syarat pemimpin jamaah yang bertentangan dengan perintah larangan Allah, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Mentaatinya bererti melakukan maksiat dan dalam hal ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengingatkan:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ .

Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tiada wajib mendengar dan tidak wajib taat.

3.    Perasaan gembira dan sedih, suka dan marah, redha dan benci, Wala’ (kesetiaan) dan Bara’ (tidak setia) tidak boleh dibataskan kepada hal-ehwal jamaah. Sebaliknya hendaklah didasari kepada hal-ehwal agama dan umat. Sebagai contoh:
·          Hendaklah merasa marah seandainya umat Islam diperangi, bukan marah kepada ahli jamaah yang tidak aktif (futur) atau yang ingin keluar jamaah (bughat dan mutasakitun).
·          Hendaklah merasa gembira seandainya dapat menjemput orang bukan Islam memeluk Islam, bukan sedih jika tidak dapat mengkader ahli baru ke dalam jamaahnya.
·          Hendaklah setia (Wala’) kepada seluruh umat Islam, membela mereka, mengunggulkan mereka, mencintai mereka dan membantu mereka. Sikap Wala’ tidak boleh dibataskan kepada jamaah sahaja kerana:
إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ
(55) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ (56 )

Sesungguhnya Wali kamu tidak lain hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu Walinya (maka mereka itulah golongan Allah), kerana sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang. [al-Maidah 5:55-56]
 
Adab Keempat: Tidak Memesongkan Hadis-Hadis Berkaitan Jamaah. 
Sebahagian jamaah ada yang memesongkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menyentuh perihal jamaah. Antara hadis yang dimaksudkan ialah:
فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْتَكِضُ .

Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jamaah dan sesungguhnya Syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jamaah.
Hadis di atas dan lain-lain yang semakna lazim digunakan untuk menarik ahli-ahli baru, memaksa ahli-ahli tersebut agar tetap setia dalam jamaah dan mendakwa jamaahnya sahajalah yang benar.

Ini adalah satu kesalahan besar.

al-Jamaah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah keseluruhan umat Islam. Dalam erti kata lain, hadis-hadis di atas menerangkan kepentingan untuk umat Islam bersatu (berjamaah) dan jika ada khalifah yang hak, hendaklah kita bersatu (berjamaah) dengan khalifah tersebut.

Hadis di atas tidak bermaksud jamaah-jamaah tertentu dengan amir-amirnya. Sesiapa yang menggunakan hadis-hadis di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan jamaahnya yang tersendiri, sungguh dia termasuk dalam kategori orang yang berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadis yang sudah dihafal dan diketahui oleh semua orang, Rasulullah bersabda:

لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ .

“Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas (nama)ku, maka dia akan memasuki neraka.” 

Terdapat empat kategori orang yang berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: 
1.    Orang yang mencipta sesuatu hadis lalu dia menyandarkannya kepada Rasulullah.

2.    Orang yang menyampaikan sesuatu hadis tanpa dia sendiri mengetahui sama ada ia sahih atau tidak berasal daripada Rasulullah.

3.    Orang yang mengatakan “Hadis ini sahih, Hadis itu dha’if” dan sebagainya padahal dia sendiri tidak tahu nilai darjat hadis tersebut.

4.    Orang yang menyampaikan sesuatu hadis lalu ditarik maknanya jauh daripada makna asal yang ingin disampaikan oleh Rasulullah.
Orang-orang yang menggunakan hadis-hadis jamaah seumpama di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan jamaahnya sendiri termasuk dalam kategori keempat di atas.

Adab Kelima: Membetulkan Tujuan Berjamaah. 

Telah diterangkan sebelum ini bahawa berbilang jamaah dibolehkan jika ia sekadar satu sarana yang bermatlamat demi kebaikan agama dan manusia. Perkara ini perlu sering diingat-ingatkan kerana sering kali terjadi tujuan berjamaah berpindah arah dari kebaikan agama dan umat kepada kebaikan jamaah dan ahli sendiri.

Perkara ini boleh diukur melalui aktiviti-aktiviti jamaah itu sendiri. Syaikh Muhammad Sa‘id Ramadhan al-Buti pernah mengulas tentang aktiviti jamaah-jamaah di Timur Tengah:

Sesungguhnya dakwah yang difahami dan diterapkan oleh majoriti kelompok (jamaah) Islam sekarang ini tidak lebih dari aktiviti sekitar anggota kelompok (jamaah) masing-masing.

…Jika anda perhatikan secara saksama, nescaya anda akan menyaksikan dinding pemisah yang tinggi yang memisahkan antara kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) yang melancarkan aktiviti gerakan seperti yang kami kemukakan sebelumnya. Pada dasarnya di antara mereka itu tidak terjadi proses dakwah, diskusi atau tukar fikiran. Justeru anda menyaksikan sebaliknya, iaitu muncul pelbagai macam kelompok dengan pelbagai macam aliran dan pemikiran yang merosak. Kemudian masing-masing kelompok (jamaah) berusaha mencari pengaruh, berlumba-lumba mendatangi perkampungan untuk menyebarluaskan pemikiran dan aliran mereka…

Semua ini terjadi pada saat para pemerhati Islam atau kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam sedang memberi tumpuan kepada kegiatan gerakan mereka yang khusus di kalangan mereka. Sehingga dengan demikian itu mereka sudah merasa senang dan puas hati, dimana dengan aktiviti gerakan itu mereka sudah merasa (seolah) berperanan sebagai seorang da’i (untuk kebaikan Islam dan umatnya).

Dengan penghuraian di atas, penulis tidaklah bermaksud merendahkan aktiviti kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam, …… tetapi yang penulis maksudkan adalah bahawa aktiviti gerakan ini merupakan satu hal sedangkan dakwah ke jalan Allah merupakan satu hal lain dimana masing-masing istilah tidak dapat disamakan.

Meski pun aktiviti yang dilakukan oleh kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) tersebut adalah baik dan bermanfaat, namun demikian mereka tidak memainkan peranan yang diwajibkan, iaitu mengajak manusia ke jalan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

…Layak untuk kami kemukakan di sini, bahawa masyarakat Islam, sekali pun kaya dengan pelbagai aktiviti gerakan kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam, namun sebenarnya sungguh miskin dalam aktiviti dalam bidang dakwah. Sejauh yang kami saksikan dari beberapa medan dakwah ke jalan Allah dan pengenalan Islam di beberapa tempat, kegiatan tersebut tidak lepas dari keadaan atau tindakan yang bersifat memenuhi kepentingan peribadi dan bukan untuk memenuhi kepentingan yang lebih besar atau memberi solusi (dalam menghadapi cabaran-cabaran Islam dan umatnya).

Tujuan berjamaah hendaklah sentiasa jelas dan nyata kepada setiap ahli. Disyorkan setiap jamaah menjadikan ayat berikut sebagai slogan:
إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ .

Aku tidak memiliki apa-apa tujuan melainkan melakukan pembaikan (untuk agama dan manusia) sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali. [Hud 11:88]

Adab Keenam: Saling Menasihati dan Menegur. 
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2 ) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3 ).

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [al-‘Asr 103:1-3]

Dalam konteks berjamaah, saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, yakni saling menasihati dan menegur, berlaku dalam dua sudut:
·          Di dalam jamaah, yakni sesama ahli jamaah yang saling menasihati, menegur ke arah kebenaran dan kesabaran. Perkara ini berlaku dalam semua tingkatan. Ahli biasa menegur ahli jawatankuasa, ahli muslimat menasihati ahli muslimin dan begitulah sebaliknya.Jangan pula wujud budaya kasta dalam jamaah sehingga ahli biasa tidak boleh menasihati ahli jawatankuasa dan ahli muslimat tidak boleh menegur ahli muslimin.Demikian juga, ide yang cemerlang serta pemikiran yang bernas perlu diterima secara terbuka sekali pun yang mengemukakannya ialah seorang yang baru seminggu menjadi ahli.
·          Di antara jamaah, yakni di antara pelbagai jamaah yang berbeza, hendaklah tetap saling menasihati dan menegur ke arah kebaikan dan kebenaran.Jangan pula wujud tembok pemisah yang tinggi lagi tebal di antara jamaah sehingga masing-masing tidak tegur menegur, apatah lagi untuk nasihat menasihati.
Adab Ketujuh: Menyertai Jamaah Bukan Satu Kewajipan. 
Apabila berbicara tentang jamaah, akan ditemui sebahagian umat Islam yang tidak menyertai mana-mana jamaah. Terdapat beberapa sebab di sebalik tindakan ini:

1.    Mereka berpendapat pandangan yang melarang berbilang jamaah adalah pandangan yang kuat (rajih) sehingga dengan itu mereka menahan diri daripada menyertai mana-mana jamaah.

2.    Mereka tidak menemui mana-mana jamaah yang memiliki adab-adab berjamaah yang baik.

3.    Mereka pernah menyertai satu atau lebih jamaah dan mendapati jamaah-jamaah tersebut tidak memiliki adab-adab berjamaah yang baik. Maka dengan itu mereka keluar dan berhenti daripada menyertai mana-mana jamaah.

4.    Mereka berpandangan usaha demi kebaikan agama dan manusia dapat dicapai secara lebih berkesan tanpa menyertai mana-mana jamaah.

Di antara yang menyertai jamaah dan yang tidak menyertai, perlu wujud sikap saling menghormati antara satu sama lain. Tidak boleh satu pihak mencerca atau memandang rendah pihak yang lain. Ini kerana yang diwajibkan oleh agama ialah berjamaah – yakni bersatu – manakala menyertai jamaah hanya satu pilihan yang terbuka kepada kecenderungan masing-masing.


Mewajibkan setiap individu menyertai jamaah bererti mensyari‘atkan satu hukum agama yang baru dan ini adalah salah satu perkara yang menyalahi tauhid. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنْ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ .
 
Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyari‘atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah? [al-Syura 42:21]
Demikian tujuh adab berjamaah yang perlu diperhatikan oleh para ahli jamaah dan mereka yang berhajat menyertai jamaah.


Nasihat Kepada Para Pelajar. 
Memandangkan kebanyakan yang menyertai jamaah-jamaah ialah para pelajar institut pengajian tinggi, saya ingin merebut peluang ini untuk berkongsi dua nasihat.

1.    Tujuan anda di institut pengajian tinggi ialah menuntut ilmu dalam jurusan masing-masing. Maka fokus anda ialah menuntut ilmu hingga lulus cemerlang. Jangan berlebih-lebihan dalam aktiviti jamaah hingga terganggu aktiviti pembelajaran anda. Ingat! Jurusan yang sedang anda pelajari itu adalah juga penting demi kebaikan agama dan manusia. Justeru bahagilah masa dan tenaga secara adil antara pembelajaran dan aktiviti jamaah.

2.    Sama ada menyertai jamaah atau tidak, berusaha demi kebaikan agama dan manusia adalah sesuatu yang dituntut ke atas kita sepanjang hidup. Oleh itu jangan sekadar bergiat aktif ketika di institut pengajian tinggi tetapi kemudian mengabaikannya setelah tamat pengajian. Sebaliknya hendaklah sentiasa berusaha sehingga ke akhir hayat. Agama Islam dan manusia, sama ada yang muslim atau bukan muslim, amat memerlukan anda

Thursday, May 10, 2012

Islamic Photo Contest


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

IMAN membawakan anda satu pertandingan foto islamik.

Syarat penyertaan:

1. Terbuka kepada semua Muslim yang berada di Indonesia mahupun Malaysia. 

2. Gambar yang dihantar harus beserta huraian islamik (Alquran, hadis,  atau kata-kata hikmah)

3. Gambar tidak mengandungi gambar personal dan bersaiz besar.

4. Upload hasil anda di wall Facebook IMAN

5. Pemenang berdasarkan 'like' di facebook dan penilaian juri. (keputusan adalah muktamad).

6. Foto anda berhak diedit dengan apa jua software atau medium pun.

7. Masa pertandingan berlaku dari bulan Mei 2012- Jun 2012.

Pemberitahuan:

Hadiah menarik menanti anda bagi tempat Pertama, Kedua dan Ketiga! 

12 gambar yang terpilih akan dimasukkan ke pembikinan PLANNER IMAN 2013. Contoh: Planner IMAN 2012. Planner IMAN sudah terjual beratus unit dan meliputi dua negara Malaysia dan Indonesia.


Penyertaan anda sangat dialu-alukan dan kami hargai!

Ketahuilah, kami hanya merancang, dan hanya dengan rahmatNya semua ini mampu kami lakukan.
Semoga usaha kecil kami mendapat redhaNya dan ada kebaikan buat kita bersama.

Sekian... wallahua'lam =)

Wednesday, May 9, 2012

Al Quran dan Sains: AwaN

Bismillahirrahmanirrahim…

                Jom fikir sejenak!! InsyaAllah, entry blog IMAN kali ini bertujuan ingin mengajak kita semua untuk berfikir sebentar mengenai ciptaan dan kejadian alam yang sudah dikalamkan oleh ALLAH swt dalam kitab sucinya, Al  Quranul Kareem.   

1) Apakah definisi awan?
Awan adalah wap-wap air yang terapung di udara.
Apakah kamu tidak memperhatikan, bahwa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, maka diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi kemudian ditumbuhkan-Nya dengan air itu tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya, lalu menjadi kering lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.” (39:21)

2)      2) Bagaimanakah proses pembentukan awan?
Allah swt telah menjadikan matahari yang memancarkan cahaya kepanasan, lalu air laut bertukar menjadi wap-wap air yang mengewap naik ke langit dalam bentuk wap air yang tawar.
"Tidaklah kamu melihat bahwa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bagian-bagian)nya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah (juga) menurunkan (butiran-butiran) es dari langit, (yaitu) dari (gumpalan-gumpalan awan seperti) gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya (butiran-butiran) es itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan-Nya dari siapa yang dikehendaki-Nya. Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan. " (24:43)


3)      3) Apakah yang dimaksudkan oleh dengan system ini (sunnatullah)??
Allah swt menjadika kepanasan sinaran matahari dan tiupan angin sebagai wap air yang dapat naik dari laut sehingga melepasi ketinggian bukit.
Maka terangkanlah kepadaku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya atau Kamikah yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, niscaya Kami jadikan dia asin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur? (56:68-70)

Allah swt yang mengutuskan angin, menjadikan awan dan menurunkan hujan.
Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran”. (7:57)

4)      4) Kenapakah kesejukan bertambah apabila berada di kedudukan yang lebih tinggi?
Logiknya kita di puncak gunung yang tinggi kita semakin dekat dengan matahari tentulah kita berasa panas tetapi sebaliknya kita berasa sangat sejuk. Kerana Allah menjadikan udara sejuk yang mencapai ketinggian lapan batu dari aras laut. Oleh itu, suhu kepanasan semakin rendah supaya wap air yang keluar dari laut akan kekal di atmosfera dan tidak berterusan naik sehingga di langit lepas.
Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran; lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.” (23:18)

Sumber: Kitab Tauhid karangan Syeikh Abdul Aziz Az Zindani