Wednesday, December 29, 2010

Pagi Beriman, Petang Kafir


Salah satu hadits yang menggambarkan era penuh fitnah di akhir zaman tampaknya sangat sesuai dengan kondisi dunia dewasa ini. Di dalamnya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan bahawa pada masa itu sukar menemui orang yangistiqomah. Yang ada ialah orang-orang yang di pagi hari masih beriman kemudian di waktu petang ia menjadi kafir. Demikian pula ada yang di waktu petang beriman namun keesokan hari di waktu pagi ia telah menjadi kafir.
بَادِرُوا فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْي
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Bersegeralah beramal sebelum datangnya rangkaian fitnah seperti sepenggalan malam yang gelap gulita, seorang lelaki di waktu pagi mukmin dan di waktu petang telah kafir, dan di waktu petang beriman dan pagi menjadi kafir, ia menjual agamanya dengan kesenangan dunia." (HR. Ahmad No. 8493)
Sikap tidak istiqomah kata Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam disebabkan kerana orang pada masa itu lebih mengutamakan kepentingan atau kemaslahatan dunia daripada memelihara keutuhan dien-nya (agama) alias imannya. Orang seperti ini telah tenggelam ke dalam fahaman bahkan ideologi materialisme.
Berdasarkan hadits ini bererti kita dapat simpulkan bahawa seseorang yang telah mengucapkan dua kalimah syahadat atau mengaku muslim haruslah bersikap sangat waspada ketika ia menjalani era penuh fitnah di Akhir Zaman. Ia harus memahami bahawa bentuk pelanggaran terhadap Allah dapat berakibat kepada dua macam akibat. Pertama, ada yang berakibat seseorang menjadi berdosa, namun di mata Allah dosanya itu tidak menyebabkan dirinya keluar dari Islam. Ertinya Allah masih tetap mengakui eksistensi iman pelaku dosa tersebut. Ia masih tetap dipandang sebagai seorang muslim atau seorang yang beriman.
Namun yang kedua, ada pula jenis dosa yang bukan saja pelakunya dipandang telah bermaksiat kepada Allah, tetapi bahkan mengakibatkan pelakunya tidak lagi dilihat masih beriman di mata Allah. Ertinya perbuatan dosa yang dilakukannya telah membatalkan imannya. Allah menilai pelaku dosa tersebut telah keluar dari Islam alias menjadi kafir. Inilah yang sangat perlu kita khwatirkan. Dan hadits di atas jelas mengindikasi fenomena ini. Jadi, di era penuh fitnah kita akan dengan mudah melihat adanya orang-orang yang di pagi hari masih beriman, namun kerana satu dan lain hal, tiba-tiba di waktu petang ia telah menjadi kafir, copot imannya. Demikian pula ada mereka yang di waktu petang masih beriman, namun entah apa yang terjadi di malam harinya, tiba-tiba keesokan paginya ia telah menjadi kafir.
Di dalam kitabnya berjudul Dhawabith At-Takfir ‘inda Ahlis-Sunnah wa Al-Jama’ah, Mas’ud bin Faisol menghuraikan sembilan Pembatal Keimanan yang disepakati oleh para ulama:
  1. Sombong dan menolak beribadah kepada Allah subhaanahu wa ta’ala, walaupun membenarkan dan mengakui kebenaran Islam
  2. Syirik dalam beribadah kepada Allah subhaanahu wa ta’ala
  3. Membuat perantara dalam beribadah kepada Allah subhaanahu wa ta’ala dan meminta pertolongan kepada selain Allah subhaanahu wa ta’ala
  4. Mendustakan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam atau membenci sesuatu yang beliau bawa walaupun ia melakukannya.
  5. Tidak mengkafirkan orang-orang musyrik atau ragu terhadap kekafiran mereka atau membenarkan mazhab (faham/keyakinan) mereka.
  6. Memperolok-olok Allah subhaanahu wa ta’ala, Al-Qur’an, Al-Islam, pahala dan siksa, dan yang sejenisnya, atau mengolok-olok Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallamatau salah seorang Nabi ‘alaihimus-salam, baik ketika bergurau atau serius.
  7. Membantu orang musyrik atau menolong mereka untuk memusuhi orang Islam.
  8. Meyakini bahawa ada sebahagian orang yang boleh keluar dari ajaran Rasulullahshollallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak wajib mengikuti ajaran beliau.
  9. Meyakini ada petunjuk yang lebih sempurna dari petunjuk Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam atau meyakini ada hukum yang lebih baik daripada hukum beliau yang berlandaskan syariat Allah subhaanahu wa ta’ala
Kita semua berlindung kepada Allah dari perbuatan dosa, baik yang menyebabkan diri kita dipandang “sekadar” bermaksiat kepada Allah, apalagi yang sehingga menyebabkan diri kita tidak lagi dipandang Allah masih merupakan seorang beriman.Na’udzubillahi min dzaalika.

Thursday, December 23, 2010

IFTAR

Page4 Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…

    Pada tanggal 2 Disember 2010, hari khamis yang lalu satu program antara ahli Iman telah dijalankan iaitu program Iftar. Bertempat di Gedung A4.1 Fakultas Kedokteran dan acara telah bermula pada jam 6.00 malam dan tamat jam 9.00 malam.

 

   Acara dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan seusai solat, acara yang ditunggu iaitu makan diteruskan. Alhamdulillah hidangan kali ini telah disediakan oleh Unit Ekonomi (UE) Iman sendiri dan dimakan juga secara berjemaah beralaskan daun pisang. Menu yang sederhana tapi cukup menyelerakan apabila dapat makan bersama-sama dalam satu wadah. Sambil menjamu selera, tayangan slide dan video turut dimainkan.

Page5

   Setelah acara makan selesai,solat isya berjemaah pula mengambil alih. Bahagian tazkirah diisi oleh Haikal Ambri Rosle selaku amir IMAN. Tajuk yang diutarakan adalah ukhwah yang juga merupakan tema untuk iftar kali ini. Enam faktor retaknya ukhwah ditadabur beliau mengikut surah Al-Hujuraat (49) ayat 11 dan 12.

 

   Antara larangan dariNya pada ayat tersebut adalah dilarang sesama kita saling memanggil nama yang buruk, saling berprasangka, mengumpat, membuka keaiban dan banyak lagi. Sebaik-baik teladan adalah meniru Rasulullah SAW, yang juga turut memberi gelaran baik lagi menyenangkan kepada para sahabat serta isteri baginda sendiri. Kelembutan dan empati baginda cukup baik untuk ditiru demi menjaga hubungan baik sesama semua makhluk Allah.

Page6

   Aktiviti untuk menguatkan lagi ukhwah telah dilakukan. Setiap orang diminta menulis apa yang ingin diluahkan yang semestinya kata-kata indah lagi memotivasikan kepada seorang sahabat. Setelah masing-masing mendapat selembar kertas yang sarat dengan kata-kata luahan hati itu, peserta diminta menyimpannya dan hanya dibenarkan membaca setelah pulang. Hasilnya, sangat memberangsangkan kerana mampu menyentuh emosi dan ramai yang mengharapkan aktiviti seperti ini dilakukan pada lain kalinya.

 

    Ukhwah ditekankan kerana dengan ukhwah kita akan bergabung, menguatkan silaturahim malah percikan kasih sayang dek ukhwah itu jugalah dapat menyentuh hati mereka yang lain, bahwa betapa indahnya hubungan saudara seagama dan seakidah itu. Ukhwah juga penting dalam sesebuah organisasi apatah lagi bergabung kerana ingin melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah, amanah Allah kepada manusia.

  Segala puji dan syukur dipanjatkan kepadaNya kerana telah melancarkan program ini dan diharapkan semua ahli IMAN dapat mengambil ibrah,pengajaran daripada aktiviti tersebut serta mengaplikasikannya. Insyaallah.

Wallahuaklam, sekian terima kasih.

Untuk melihat lebih banyak gambar sila klik di sini.

                                                         Dipost oleh unit UDI IMAN.

Monday, December 20, 2010

Bedah Siasat atau Autopsi Jenazah


Soalan : Apakah hukum melaksanakan kaedah autopsy/bedah siasat ke atas mayat dan berikan dalil yang mengesahkan pernyataan tersebut..
Jawapan :
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;
“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan;
“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.”
Jenis-jenis Bedah Siasat Mayat
i. Bedah siasat Clinical
Bedah siasat mayat dijalankan bagi mengesahkan punca kematian, kesan sesuatu penyakit atau kecederaan serta bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan. Kes-kes kematian ini tidak berkait dengan kes Polis seperti kes penyakit mudah berjangkit atau kematian di wad. Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat keizinan dari waris sebelum membuat bedah siasat. Dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan umum seperti kes di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bedah siasat mayat dibolehkan tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.
ii. Bedah siasat Medicolegal
Bedah siasat ke atas mayat yang dikaitkan dengan kes Polis seperti kemalangan, mati lemas, kebakaran, pembunuhan dan kematian yang disyaki/tidak pasti sebabnya. Majistret atau Polis akan mengeluarkan arahan (Borang Pol. 61) kepada Pegawai Perubatan Kerajaan untuk menjalankan bedah siasat mayat tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.
Keperluan Bedah Siasat Mayat
i. Bedah siasat mayat dilakukan kerana ia keperluan undang-undang untuk membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan bagi si mati dan waris.
ii. Bedah siasat mayat dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini yang timbul di masa hadapan setelah mayat dikebumikan.
iii. Hasil bedah siasat mayat dapat digunakan bagi menyelamatkan dan melindungi orang ramai daripada penyakit berjangkit yang berbahaya pada masa akan datang.
iv. Bedah siasat mayat dapat menambah ilmu dan ke-pakaran dalam m bidang perubatan.
v. Kajian daripada hasil bedah siasat mayat dapat meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat.
Kematian yang perlu bedah siasat
Selain bedah siasat mayat yang dibenarkan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, terdapat juga kematian yang perlu kepada bedah siasat mengikut peruntukan undang-undang dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia yang selaras dengan kehendak syarak (dharuriyyat dan hajiyat)
ETIKA BEDAH SIASAT MAYAT MENURUT ISLAM
Kaedah melakukan bedah siasat mayat bukanlah sesuatu yang mutlak. Individu atau kumpulan yang terlibat dalam urusan bedah siasat mayat perlu memenuhi etika yang digariskan oleh syarak antaranya;
1. Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia
Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup.Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Israa‘ ayat 70 yang bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
2. Menyegerakan urusan bedah siasat mayat
Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Segeralah penyelesaian pengurusan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu”. (Riwayat Muslim)
3. Kebenaran Waris
i. Bagi kes-kes bedah siasat clinical, Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.
ii. Bagi kes-kes bedah siasat medicolegal kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.
4. Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar)
Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
Dari Aisyah r.a. Raslululllah s.a.w. bersabda; “Memecahkan/mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya/mematahkannya sewaktu hidupnya”. (Riwayat Abu Daud)
5. Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja
Bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenalpasti sebab-sebab kematian. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya.
Sumber : disunting dari soal Jawab Agama JAKIM, http://baheis.islam.gov.my, Nombor Rujukan – PANEL SJAI 160608

Thursday, December 16, 2010

Kenyataan PACE sempena Ulangtahun HAMAS

Assalamualaikum,

hamas_svg_2

PACE mengucapkan tahniah kepada Harakat-ul-Muqawwamat al Islamiyah (HAMAS) atas ulangtahun kelahirannya pada 14 Disember. HAMAS muncul secara rasmi di persada tanah air Palestin pada tarikh tersebut pada tahun 1987 sempena tercetusnya Intifadhah pertama yang bermula pada 9 Disember tahun tersebut. Intifadah telah mengambalikan perjuangan Palestin di atas landasannya yang sahih iaitu jihad tanpa kompromi untuk membebaskan seluruh bumi Palestin dari cengkaman dan pendudukan haram Zionis israel semenjak tahun 1948.

Perdana Menteri Ismail Haniyeh di dalam ucapan sambutan ulang tahun penubuhan HAMAS menegaskan bahawa mereka sekali-kali tidak akan mengiktiraf bahkan tidak mengakui kewujudan Israel sebagai entiti haram di atas bumi palestin. Pendudukan haram israel tidak akan berlanjutan di masa hadapan dan seluruh bumi palestin dari laut (Mediterranean) ke sungai (Jordan) akan dibebaskan. "from the sea to the river; from 'Rosh haNikra to Rafah'. Sehubungan dengan itu beliau memuji jihad bersenjata yang diterajui oleh sayap ketenteraan HAMAS iaitu Brigade al-Qassam yang sehingga kini telah berjaya membunuh 1,349 tentera zionis. Beliau juga memberi pujian kepada usaha penentangan di Iraq dengan menegaskan bahawa jalan perjuangan bagi umat Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya hanyalah dengan jihad fi sabilillah. Sanjungan juga dikalungkan kepada Syeikh Raed Salah, pemimpin gerakan Islam palestin 1948, yang mengambil tanggungjawab jihad mempertahankan Masjid al-Aqsa dan al-Haram As-Syarif al-Quds, yang dibebaskan dari penjara Israel. Beliau juga merakamkan ucapan penghargaan kepada rakyat Palestin yang hidup di wilayah palestin 1948 yang disifatkan hidup di dalam 'perut raksasa' (Levathian - biblical sea monster)

Dalam semangat yang sama beliau menyeru kepada Mahmud Abbas dan kelompok Fatah supaya tidak lagi bersekongkol dengan regim Zionis Israel dengan mengadakan kerjasama keselamatan dan mengadakan rundingan damai yang ternyata sia-sia dan merugikan perjuangan rakyat Palestin. Mereka diajak supaya kembali kepada usaha sebenar yang akan membebaskan bumi Palestin dan rakyatnya iaitu jihad atau penentangan.

Ismail Haniyeh juga menegaskan bahawa hak rakyat Palestin untuk pulang adalah hak asasi yang tidak bolih dipertikaikan oleh sesiapa. ia adalah hak mutlak rakyat Palestin yang terusir untuk kembali ke tanah air dan kampung halaman mereka.

PACE dengan ini menyokong penuh seruan dan saranan Perdana Menteri Ismail Haniyeh untuk tidak mengiktiraf Israel, meneruskan jihad ke arah pembebasan palestin dan hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka di bumi palestin.

PACE dengan ini mengiktiraf bahawa setiap inci bumi palestin yang terjajah semenjak tahun 1948 adalah bumi Palestin yang sah dan wajib dikembalikan kepada rakyat Palestin.

PACE menolak penubuhan negara Palestin berdasarkan sempadan tahun 1967 seperti yang diistiharkan oleh Mahmud Abbas. bagi PACE, pendirian kami adalah selaras dengan HAMAS iaitu negara Palestin berdasarkan sempadan tahun 1967 boleh diterima sebagai status sementara negara Palestin (berdasarkan resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB 1967) dengan mewujudkan gencatan senjata bersama negara haram Israel untuk satu tempoh yang disepakati.

PACE menyeru semua pihak terutama kelompok Fatah yang menerajui PNA (Pihak Berkuasa Palestin) supaya berhenti meletak sebarang harapan kepada rundingan damai yang ternyata tidak memberikan apa-apa faedah kepada perjuangan pembebasan Palestin. PACE mengingatkan 'rundingan damai' hanyalah perangkap yang dipasang oleh zionis dan sekutunya US untuk terus meredam bumi Palestin dalam pendudukan dan cengkaman yahudi zionis secara berterusan.

PACE menyeru umat islam seluruh dunia supaya bersatu di atas kalimah Lailahaillah dan melaungkan slogan 'al-jihad fi sabiluna' - jihad adalah jalan kami demi mempertahankan tanah suci umat Islam dan Masjid al-Aqsa.

PACE juga mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada masyarakat sipil (madani) yang terdiri dari kalangan NGO dan palbagai inisiatif lain yang diterajui oleh warga dunia, samada di kalangan muslim dan bukan Islam yang telah menyumbang tenaga, kewangan bahkan meletakkan nyawa mereka dalam keadaan terancam melalui misi-misi penghantaran bantuan makanan, ubat-ubatan dan lain-lain keperluan asas yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza yang terkepung dan dikenakan sekatan oleh regim kebinatangan zionis (Laknat Allah atas mereka semuanya). Usaha-usaha ini yang dijelmakan oleh VP (Viva Palestina), IHH (Turki), yang turut disertai oleh VPM, Aqsa Syarif, Haluan Palestin di Malaysia baik melalui Flotila LL4G (Lifeline for Gaza) di atas kapal Mavi Marmara, LandConvoy VP5 yang diterajui oleh VPM dan Aqsa Syarif (Aqsa2Gaza).

PACE juga mengucapkan tahniah kepada Muasassah al-Quds Malaysia yang rasmi penubuhannya pada 12 Disember 2010, sebagai cawangan kepada Muasassah al-Quds pusat yang diterajui oleh as-Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi. Penubuhan Muassasah al-Quds yang berjaya menggabungkan parti-parti politik baik parti politik pemerintah mahupun parti-parti bukan pemerintah dan juga pelbagai NGO seperti IKRAM, Aqsa Syarif, Syura, Haluan Palestin, PGPF, Aman Malaysia dan banyak lagi pertubuhan yang bakal bersama adalah petanda jelas bahawa rakyat Malaysia akan menyertai warga dunia dalam satu keluarga antarabangsa yang bersiap sedia untuk membebaskan bumi palestin dan cengkaman zionis israel.

Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
Palestine Centre of Excellence
14 Disember 2010

Wednesday, December 15, 2010

LPS: Masjid al-Aqsa Hampir Runtuh

Selasa, 14/12/2010 – Liga Ulama Palestin (The League of Palestinian Scholars: LPS) telah memberi amaran kepada Arab dan Negara Islam tentang aktiviti Israel tentang pemusnahan, penempatan haram, dan judaisasi di kawasan Jurusalem yang dijajah terutamanya di al-Aqsa.

Mereka berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu bahawa Pegawai Penjajah Israel telah membuat skema pemusnahan al-Aqsa dan kawasan sekelilingnya.

Aran dan negara Islam seharusnya sedar sebelum ia sudah terlambat, kata LPS.

Liga itu juga memberi amaran bahawa Masjid al-Aqsa hampir runtuh, dan mempersoalkan bilakah Umat Islam akan bangun membantah jika kemusnahan al-Aqsa tidak langsung membangkitkan semangat.

Kredit: http://palestinkini.info/

Tuesday, December 14, 2010

Pertunangan 'aku' dan si 'dia'


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! " Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

............ ......... ......... .........

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. "

"Ya Allah, tenangnya... "

"Moga Allah memberkatinya. ..."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar. .." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan.. ."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

******************

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Friday, December 10, 2010

Pendatang Israel akan membina 130 unit rumah baru di O. Baitulmuqaddis

 

Jumaat , 10/12/2010 – Beberapa jam selepas pihak berkuasa pendudukan haram Israel (tentera penjajah Israel) menyatakan keinginannya untuk membina lebih daripada 652 unit perumahan di penempatan Ze’ev Pisgat di bahagian timur Baitulmuqaddis yang diduduki minggu lepas, kini mereka menyetujui pula rancangan untuk membina 130 unit lain di penempatan Gilo.

Ia dilaporkan dalam kegiatan penempatan Israel dan pelanggaran di Jerusalem dan Tebing Barat yang dikeluarkan oleh biro nasional untuk membela tanah dan menolak penempatan haram.

Laporan itu juga mengatakan bahawa tentera penjajah Israel yang menghancurkan tiga rumah Palestin di Baitulmuqaddis minggu lalu dan memaksa warga Palestin untuk meruntuhkan rumahnya sendiri.

kredit: http://palestinkini.info/

Tuesday, December 7, 2010

Tidak Bertambah Kerana Pujian, Tidak Berkurang Kerana Kejian



Apabila kita melakukan kebaikan yang terlihat oleh orang lain, pasti ada yang mengatakan : 
"Wah! Baguslah awak."
" Awak memang baik."
"Jarang jumpa orang macam awak."
" Hebatnya!"
Paling tidak pun, akan ada yang tersenyum menandakan sebuah penghargaan kepada kita. Lantas kira menjadi termotivasi dan bersemangat untuk terus melakukan kebaikan.
Kita merasakan ada nilainya kebaikaan tersebut pada pandangan mata manusia. Bagaimanakah pula keadaannya apabila ada yang mengatakan :
"Eleh, tu nak tunjuk baik la tu."
"Buang masa awak saja buat macam tu."
" Jangan buat macam tu lagi lain kali!"
Apakah kesannya kepada diri kita?
Adakah kita masih terus melakukan kebaikan tersebut atau kita meninggalkannya?
Kesan yang berlaku atas diri kita daripada respons positif dan negatif orang lain ini menjadi indikator kepada keikhlasan kita dalam beramal.
Nilai sesebuah amal itu tidak dapat ditentukan berdasarkan kepada pujian manusia. Apa yang lebih penting adalah penilaian Allah SWT.
Apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah SWT dan Rasul SAW, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi sama ada orang lain memuji atau mengeji.
Dalam ertikata lain, orang yang ikhlas tidak akan berganjak sedikitpun daripada sebuah amal yang baik, bahkan dia sentiasa istiqamah dengan kebaikan. Tidak bertambah kerana pujian, atau berkurang kerana kejian.
Berbeza dengan seseorang yang mengejar pengiktirafan manusia, bila dipuji dia berbangga dan menambah lagi kebaikan, bila dikeji dia merasakan seolah-olah azab Allah menimpanya lalu dia meninggalkan amal baik tersebut. Konsistensi amalannya bergantung kepada respons manusia terhadapnya.
Seseorang yang saya maksudkan tersebut boleh jadi kita sendiri, termasuk saya yang menulis.
Pernahkah kadang-kadang kita merasa kagum dengan mujahid Islam yang syahid lantas kita juga bercita-cita untuk syahid sepertinya?
Namun jauh di sudut hati kecil kita bersuara, "Tentu aku akan dikenang orang."
Pernahkan kita membaca karya agung ulama-ulama silam lantas kita ingin berkarya seperti mereka?
Hati kecil kita masih lagi bersuara, "Tentu orang akan menyanjung aku."
Tatkala kita melayani perasaan tersebut dan berusaha mengejar pengiktirafan manusia, maka amal kita telah dicemari dan tidak lagi ikhlas. Namun apa yang boleh kita usahakan ialah menentangnya dan melawannya.
Oleh itu, matlamat yang jelas perlu ditentukan sejak kita berniat melakukan sebuah amal sehinggalah kita habis melaksanakannya.
Keikhlasan itu perlu dijaga – sebelum, ketika, dan setelah melakukan sebuah amal. Susah memang susah, sebab itulah perlunya mujahadah.
Sampai bila? Sampai kita bertemu Allah SWT. Saya masih ingat pesan Ustaz Che; Abdul Majid yang pernah saya kenali di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya dulu;
Berbuat baik ayuhai teman,
Ke dalam laut engkau campakkan,
Kalau tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iyakah, bukan
Bait syair di atas menyeru supaya kita ikhlas melakukan sesebuah amal hanya untuk keredhaan Allah SWT dan hanya untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT.
Amal yang baik itu takkan sekali-kali disiarkan oleh Allah. Bahkan yang terdetik di sudut hati kita juga tak pernah terlepas daripada pandangan Allah SWT. Biarlah Allah yang menilai kebaikan kita dan memberikan ganjaran di akhirat. Firman Allah:
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedangkan Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (At-Taubah : 16)

Bahkan dalam memuji juga kita harus berhati-hati. Boleh jadi pujian kita itu akan menghancurkan saudara seagama kita. Pujilah sekadar yang perlu dan kembalikanlah hak menilai itu kepada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berpesan;

"Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah dari bapanya r.a katanya : Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi, lalu Nabi berkata kepadanya : " Celaka kamu. Bereti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu baginda ucapkan banyak kali). Apabila seseorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata, "Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilai selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu." (Hadis Riwayat Muslim)

Jika ada yang memujimu, katakalah "Alhamdulillah" dengan sebenar-benarnya