Tuesday, June 23, 2009

Cinta Ilahi Bukan Sekadar Lakaran Puisi



“Cukuplah sudah aku dipermainkan selama ini. Cintaku kini hanya untuk Ilahi. Bukan untuk mana-mana lelaki!”, ungkap seorang siswi yang putus cinta.

“Cinta manusia adalah palsu belaka. Cinta Allah, itu yang utama”, kata seorang yang lain.

Termenung saya membaca ungkapan-ungkapan seperti ini. Semakin banyak kedengaran di dalam lirik-lirik nasyid. Semakin banyak kelihatan di blog tempat orang muda meluahkan kekecewaan.

Fahamkah mereka dengan apa yang mereka ungkapkan?

Cinta Ilahi?

Tiada lagi cinta lelaki?

Wanita gila harta?

Hanya Allah sahaja yang ’setia’?

Seperti yang pernah saya ungkapkan di dalam artikel Anti Slogan, saya memang tidak suka mendengar orang bercakap benda yang dia sendiri tidak faham. Mumbling… kata orang Putih.

Apakah ada konflik antara cinta Allah, cinta lelaki, dan cinta perempuan? Cinta hanya satu. Pilih sama ada buayafriend mahu jatuh hati kepada gelifriend, atau menyerahkan cintanya hanya kepada yang Esa?

Saya tidak suka orang bermain dengan kata-kata.

Jika sudah kecewa dengan si dia, tiada lagi cinta kepada penggantinya?!

BERTAPA?

Habis, mahu ke mana? Ke puncak gunung bertapa seperti rahib? Enggan berumahtangga kerana mahu mendedikasikan diri kepada Dia dan bukan dia? Fikiran apa ini? Islamkah yang mengajar kita berfikir begitu?

Tidakkah kita sudah dinasihati tentang kisah segelintir sahabat yang tersilap memahami cara melihat Ibadah Nabi SAW yang begitu sederhana?

“Sesungguhnya salah seorang daripada sekumpulan sahabat Nabi sallallahu alayhi wa sallam telah berkata, “Berkenaan dengan diriku, maka aku akan berpuasa dan tidak berbuka. Berkata seorang yang lain: Aku akan berQiyam di malam hari dan tidak akan tidur. Dan berkata lagi seorang yang lain: Aku pula, aku tidak akan mengahwini perempuan. Seorang lagi berkata: Aku pula, sekali-kali aku tidak akan memakan daging. Lalu Baginda Sallallahu alayhi wa sallam bangun dan berucap, lantas Baginda berkata, “Apa halnya dengan pemuda-pemuda yang setiap seorang mereka ini berkata begini begitu? Aku sendiri berpuasa dan berbuka, bangun malam dan aku juga seorang yang mengahwini perempuan juga aku memakan daging. Barangsiapa yang tidak ingin kepada Sunnahku maka dia bukan dari kalangan (pengikut)ku” (Dari Sunan al-Nasaa’ie, no. 3217)

Janganlah bermain-main dengan kata-kata yang kosong dari makna, jauh sekali dari yakin dan percaya. Belajarlah untuk menyelami makna dan menyebut perkara yang kita jelas tahu akan makna dan maksudnya.

Ungkapan cinta Ilahi bukan ungkapan yang kosong, jauh sekali abstrak dan penuh misteri.
Cinta Ilahi bukan inspirasi untuk mengungkapkan syair-syair yang bertepek di sana sini di blog siswa siswi.

Jangan berlakon menjadi Rabiatul Adawiyah. Tidak perlu memakai kasutnya. Rabiatul Adawiyah itu insan yang tersendiri.

Bagi kita di sini, bercintalah dengan Allah secara realiti.

CINTA ILAHI ADA CARANYA

Tidak pernahkah kita merenung ingatan dari Allah sendiri terhadap orang yang mendakwa mereka itu cinta kepada-Nya?

“Katakanlah: Jika sesungguhnya kamu itu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya kamu juga akan dikasihi oleh Allah, dan akan diampun-Nya kesalahanmu. Dan Allah itu Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Aal Imraan 3: 31)

Jika cintakan Allah, contohilah Rasulullah SAW. Hiduplah macam Rasulullah, buatlah kerja macam Rasulullah.

Sibukkan diri dengan belajar dan mengajar, berdakwah dan memberi peringatan, membela agama dan bekerja untuk ummah, sibukkan diri dengan segala kebajikan demi cinta kita kepada-Nya.

Berhentilah berpuisi, andai puisi itu datang dari sebuah khayalan tentang cinta Ilahi sambil memicit jerawat di tingkap pagi.

Jika mahu mengungkapkan Cinta pada madah dan kata, luahkan ia dari rohani dan jasmani yang bekerja untuk kekasih-Nya. Hiasilah blog kalian dengan catatan amal dan muhasabah diri, bukan retorik dan angan-angan terhadap CINTA ILAHI.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Komen Amad : Cinta Allah perlu dibuktikan dengan amali dan komitmen kita terhadap Islam, Dakwah dan Tarbiah. Bukan hanya sekadar indah dimulut, cantik dicoret diblog, hebat bersembang dengan teman, tetapi pabila panggilan jihad berkumandang enak menarik selimut dikatil bagi si lelaki, tekun melayan filem Korea bagi si perempuan.

Walk the talk!

.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.

Wednesday, June 17, 2009

Cantikkan Dirimu Dengan Kesyukuran

Bismillahirrahmanirrrahim.


“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan.” (Surah At-Tiin: 4)


“Dan membentuk kamu, lalu membaguskan rupamu.” Surah Al-Ghafir: 64)


Maha suci Allah bagiNya segala pujian. Yang telah menciptakan manusia sebagai sebaik-baik makhluk ciptaannya, malah diperelokkan lagi ciptaannya itu dengan sebaik-baik keindahan dan keelokkan rupa paras.


Akan tetapi malangnya, masih ramai manusia yang kufur dan tidak bersyukur dengan setiap ciptaan dan kurniaanNya itu. Mengapakah ini berlaku? Seperti mana firman Allah Taa'la didalam AlQuran:

"Dialah Yang telah menjadikan kamu dan membuatkan untuk kamu pendengaran, penglihatan, dan hati nurani; sedikit sekali kamu bersyukur".(Surah al-Mulk, 23)



Terlalu sedikit daripada kalangan hamba-hambaNya yang bersyukur atas nikmat kurniaanNya itu. Ternyata kesempurnaan dan keelokkan ciptaanNya itu masih lagi tidak cukup untuk memuaskan hati manusia itu sendiri. Setiap inci daripada ciptaanNya itu pasti ada sahaja yang cuba diubah dan diedit agar ia kelihatan lebih cantik dipandangan mata mereka dan orang lain kononnya.

Sedangkan telah jelas bahawa tiada penciptaan yang lebih elok dan sempurna daripada ciptaan Yang Maha Pencipta tuhan sekalian alam. Kekufuran mereka pada nikmat Alah itu telah jelas disebut di dalam Al Quran, firman Allah Taa'la:

Dan Aku benar-benar akan menyesatkan mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka ( memotong telinga-telinga binatang
ternak) lalu mereka benar-benar memotongnya lalu aku suruh mereka ( merubah ciptaan Allah ) lalu mereka benar-benar merubahnya( Surah An Nisa’ : 119 )

Inilah realiti yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita khususnya kaum wanita masa kini . Kegilaan untuk menjadi cantik, kekal remaja dan muda menjadi satu perkara yang diburu dan diimpikan bagi setiap kaum wanita. Segala yang tercipta elok diubah-ubah dan diedit sehinggakan ada yang sanggup bergolok gadai juga mengetepikan hukum agama hanya kerana untuk kelihatan cantik.

Pusat-pusat kecantikan dan pembedahan plastik juga mula menjadi tumpuan malah sentiasa dibanjiri oleh para pelanggannya yang pastinya terdiri daripada kalangan kaum wanita.untuk melakukan proses makeover. Tidak kurang juga dizaman moden ini, masih ada yang sanggup berjumpa dengan bomoh-bomoh juga dukun-dukun yang menggunakan bantuan jin dan syaitan juga unsur-unsur tahyul dan khurafat yang terkeluar daripada landasan syariat. Apakah yang sudah terjadi kepada kaum wanita ikni? Kegilaan untuk tampil cantik dan jelita telah membutakan hati dan akal mereka dalam membezakan antara yang hak dan yang batil juga yang halal dan yang haram.



Hati Itu Harus Didik

Di dalam sebuah hadith Rasullullah S.A.W bersabda:

Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya. Apabila ia rosak, rosaklah badan seluruhnya. Ketahuilah itulah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Itulah dia hati, yang jika rosak ianya, maka akan rosaklah segalanya. Apabila baik ianya, maka baiklah keseluruhannya. Betapa peri pentingnya seketul daging yang bernama hati itu di dalam diri manusia.


Hati itu juga diibaratkan seperti remote control yang memandu dan mengawal setiap tindakan manusia. Apa yang terzahir dan terlihat daripada tindakan manusia, itulah apa ada di dalam hatinya. Maka seharusnya sekeping hati itu perlu dididik dengan sebaiknya .


Malah hati yang bersih dan luhur juga membolehkan seseorang menangkis segala godaan syaitan. Bisikan syaitan memang akan sentiasa menggoda manusia. Jika syaitan berjaya menguasai hati, ia akan menguasai seluruh jiwa dan manusia menjadi tidak takut kepada Allah. Seterusnya lahirlah manusia yang ingkar, kufur dan lalai dengan perintah dan nikmat kurniaanNya.


Sebaliknya jika jiwa dikuasai dengan unsur ketakwaan, maka dengan sendirinya syaitan terhindar dan jadilah kita orang yang bertakwa kepada Allah dan sentiasa mengingati dan bersyukur kepada-Nya.


Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).” (Surah al-A’raf: 200-201).

Ketika mana hati itu berjaya dikawal dengan ketaqwaan dan terpelihara daripada hasutan syaitan, maka akan terrbentuklah sekeping hati yang sentiasa tunduk dan patuh pada perintah Allah. Sekiranya hati itu gagal di kawal dalam menangkis godaan dan hasutan syaitan, maka akan gelaplah hati itu dengan hawa nafsu dan larangan-larangan yang dilakukan tanpa rasa bersalah walau sedikit pun.

Seperti mana Firman Allah WT dalam surat Al-Kahfi 28,:

"....Janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya melewati batas."

Itulah keadaan manusia, apabila hawa nafsu menguasai diri, perintah Alalh tidak diikuti dan larangannya pula dilanggar sesuka hati. Begitu jugalah yang berlaku masa kini, kaum wanita kelihatan begitu ghairah untuk kelihatani cantik dan menarik tanpa menghiraukan segala larangan dan batsaan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Dan apabila perintah Allah diingkari, maka nantikan pula balasannya.

Firman Allah didalam surah Ibrahim ayat ke 7:

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Akhirnya kecantikkan yang tercipta atas jalan yang batil dan haram pitu astinya tidak akan kekal lama dan akan binasa jua nanti. Inilah yang telah berlaku dan sering kita lihat dan baca di media-media masa.

Ada antara mereka yang menjadi cacat, ada juga yang kelihatan lebih teruk dan buruk daripada sebelumnya, tidak kurang yang ditimpa dengan penyakit lain kesan sampingan daripada penggunaan produk-produk kecantikkan yang digunakan dan lebih malang lagi ada yang maut akibat daripada kegilaan untuk menjadi cantik ini. Dan segala mimpi dan anganan yang indah-indah berakhir dengan mimpi ngeri. Inikah dia kecantikkan dan kejelitaan yang diidam-idamkan itu?

Sesungguhnya tidaklah semua itu berlaku melainkan kerana sikap dan tindakan manusia itu sendiri sebagai balasan kekufuran keingkaran mereka atas nikmat dan perintah Allah S.W.T.

Seperti mana firman Allah di dalam Al Quran:

Mengapa Allah akan menyeksamu, jika kamu bersyukur dan beriman ?
(An-Nisaa’:ayat 147)

Oleh itu, didiklah hati kita semua agar sentiasa bersyukur di atas nikmat dan kurniaanNya yang merupakan sebaik-baik pemberian kepada hamba-hambaNya. Didiklah juga diri untuk menjadi hambaNya yang bersyukur dan redha dengan setiap anugerahnya samaada yang kita sukai ataupun tidak kita sukai. Seperti mana firman Allah Taala:

"Apa yang kamu tidak sukai barangkali itu lebih baik untuk kamu, dan apa yang kamu sukai barangkali adalah tidak baik bagi kamu...."
(Surah Al-Baqarah:216)

Benarlah sesungguhnya yang elok dan indah itu, tidak semestinya baik untuk kamu, dan yang buruk dan jelek itu tidak semestinya buruk bagi kamu. Kadangkala kecantikkan yang kita agung-agungkan,itulah yang membawa kesusahan dan kebinasan kepada diri kita. Dan kadangkala kekurangan dan keserdahanaan yang ada pada rupa paras dan diri kita, itu lah yang membawa kepada kebaikkan pada diri kita.

Sesungguhnya kecantikkan itu terlalu subjektif untuk dihuraikan dan diperjelaskan. Bukanlah kecantikkan itu pada hidung yang mancung, kulit yang putih mulus, bukan juga pada badan yang langsing.

Ternyata kecantikkan itu bukanlah apa yang terlihat pada wajah dan zahiriah semata-mata. Sebaliknya kecantikkan itu lahirnya dari dalam hati. Apabila hati bersih dan suci, maka akan terzahirlah pada ketenangan pada wajah dan kemanisan pada senyuman. Itulah kecantikkan yang sebenarnya. Maka berusahalah mencantikkan diri mu dengan kesyukuran juga ketaqwaan kepadaNya .

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

** Blog IMAN telah mengadakan ruangan khas buat insan yg bergelar muslimah..semoga bermanfaat hendaknya. Hanya klik di link MUSLIMAT di bahagian atas blog..;) insyaAllah akan terus istiqamah utk mengupdate ruangan ini..
** Jom ramai2 sertai Ekspedisi Ruhul Jadid nanti~! Terbuka utk semua

"....Seindah hiasan adalah wanita solehah :) "

Al-Faqirah, 'Abid Sakina