Sunday, May 31, 2009

Ekspedisi Ar-Ruhul Jadid

Click Gambar

Salam buat semua,hebahan awal buat pelajar-pelajar Islam Malaysia di Bandung. Insyallah pada 27-28 hb ini akan diadakan "jihad iman" dan "jihad amal" buat para pelajar sementara menunggu judicium I.Lokasinya pada awal ialah di UNPAD dan seterusnya di Pantai Garut.

Oleh itu,IMAN berharap kalian sama-sama terlihat dalam "jihad" ini. Untuk maklumat lanjut sini hubungi wakil-wakil IMAN diatas.

Jzkk..

Salam Imtihan.

Sunday, May 17, 2009

Fatwa On Swine Flu Safety



Fatwa on Swine Flu Safety

Swine Flu is spreading very fast and causing a lot of public concern in United States and other countries of the world. The World Health Organization (WHO) and Center for Disease Control in US (CDC) have already issued advisories to the general public. We urge Muslims to exercise necessary precautions in this matter.

It is an Islamic teaching that in the situation of wide spread infections, people living in infected areas should be careful not to move around in order to avoid spreading infections. Similarly those who are healthy should avoid traveling to infested areas in order to protect themselves, unless they are needed as doctors or health workers.

Allah says in the Qur’an, “Do not contribute to your destruction with your own hands…” (2:195) The Prophet –peace be upon him- said, “If you are in a land and plague breaks out there, then do not leave that place. If you are told that it is spreading in some land and you are not there, then do not go there.” (Muslim, Hadith no. 5731)

In the light of these instructions the Fiqh Council of North America emphasizes that Muslims should take CDC advisories seriously. Those who are affected by any symptoms of this flu should avoid shaking hands and coming into close contacts with others. They are allowed in this situation to pray at home and not go to the Masjid for congregational prayers, until they are healthy.

The Prophet –peace be upon him- said, “A sick person (with contagious disease) must not be brought among the healthy.” (Abu Dau’ud, Hadith 3911)

In case there is a Swine Flu pandemic, public assemblies might be curtailed. In that situation it will be allowed for the Masajid to issue special instructions regarding Jama’ah (congregational) and Jumu’ah (Friday) prayers considering the general welfare of their communities and cooperating with local authorities to maintain public health and safety.

We must also make individual and collective du’a asking Allah to remove this affliction and bless us all.

Fiqh Council of North America

Comment Amad:

1. Influenza A (H1N1) already spread to Malaysia about two cases. 1st case and 2nd case

Friday, May 15, 2009

Happy exam everybody!=)

In the exam season, many students are stressed and worried about their future and studies. In any situation, the remembrance of Allah can be a great benefit. Here are some reminders which may offer comfort and steadfastness.

Our beloved Prophet (pbuh) said: -

"Allah has commanded that everything one does, should be done with excellence (ihsan). When you sacrifice, sacrifice well. Sharpen your knife and make it easy for the animal to be slaughtered." (Sahih Muslim)

So we should know that studying, revising and aiming for good results is in itself an act of worship with the right intention. And struggling to do well in them is itself fufilling a command of Allah.


"If any adversity comes to you, do not say: 'If I had only acted in such-and-such a way, it would have been such-and-such;' but instead, say: 'Allah has decreed it, and what He willed, He has done,' for verily, if opens the way for the work of Satan." (Sahih Muslim)

So if you didn't do well in an exam don't have regrets and think of what went wrong. If you're facing difficulty or problems, don't wish them to go away but accept the will of Allah and keep on going. Look towards the future and trust in Allah.

Allah says in the Quran: -

O you who believe! Seek assistance through patience and prayer; surely Allah is with the patient. (Surah Baqarah, Verse 153)

All the best to all from IMAN...

Dedicate our exam wishes at the comment below...

Note : Article Dr Radzi, picture Dr Amad...

Thursday, May 14, 2009

Bukan Tempat Cari Jantan


“Hasrizal”, pensyarah menyebut nama saya.

“Ya, saya!”, saya menjawab.

“Munawwar!”, beliau terus mencatat kedatangan.

“Ya, saya”, balas teman saya di sebelah.

Sudah menjadi rutin, di awal kelas, Dr. Mustafa Abu Zaid akan mencatat kehadiran pelajar. Satu demi satu nama dipanggil. Inilah bagusnya sistem di Jordan, kehadiran ke kelas adalah wajib. Enam atau empat kali ponteng, akan di’haram’kan masuk ke kelas.

Malas macam mana sekali pun, sistem pengajian di Jordan akan memaksa pelajar supaya lebih berdisiplin. Mana mungkin boleh menjadi thalib al-ilm, jika proses pengajian di kelas jadi sampingan.

Semester ini kami mengambil subjek Aqidah III bersama Dr. Mustafa Abu Zaid.

GANGGUAN

Tiba-tiba, “PANGG!”

Terperanjat kami sekelas dibuatnya. Dr Mustafa Abu Zaid menghempas failnya ke atas meja.

“Siapa yang pakai minyak wangi tadi???”, bentak beliau.

Rupa-rupanya ada dua orang pelajar perempuan yang baru masuk ke kelas. Mereka memakai minyak wangi yang agak kuat baunya hingga dikesan oleh Dr. Mustafa.

“Allah! Habis la kita hari ni”, saya berbisik kepada Munawwar di sebelah.


Memang menjadi suatu pantang yang amat sangat bagi Dr. Mustafa Abu Zaid jika ada pelajar perempuan yang bertabarruj ke kelas. Apatah lagi minyak wangi, oleh pelajar Syariah.

Beliau memetik hadith Nabi Sallallahu ‘alayhi wa Sallam:

“Apabila seorang perempuan memakai minyak wangi dan kemudian melintasi sekumpulan manusia dengan maksud untuk mereka itu menghidu wangiannya, maka perempuan itu adalah penzina. Dan setiap mata itu adalah penzina jua” [Hadith riwayat al-Nasaa'ie, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban]

“Universiti adalah tempat kamu mencari ilmu, bukan mencari jantan. Kalau mahu mencari jantan, berambus kamu ke pasar”, marah benar Dr. Mustafa Abu Zaid pagi itu.

Beliau amat sedih dengan gelagat pelajar di universiti. Jordan, terutamanya di kawasan pedalaman seperti di pekan Mu’tah, umumnya masih terjaga. Apatah lagi universiti kami ini terletak bersebelahan dengan Medan Mu’tah, tempat berlakunya pertempuran tentera Islam hingga menumpahkan darah syuhada’ seperti Jaafar ibn Abi Thalib, Zaid ibn Harithah dan Abdullah ibn Rawahah, radhiyallahu ‘anhum ajma’een.

Tetapi kerenah pelajar di universiti amat menyedihkan. Pergaulan bebas dengan pakaian yang menjolok mata, amat mengganggu pemandangan.

“Kuliah Syariah pula diletakkan jauh di belakang. Untuk ke kelas, terpaksa menempuh Fakulti Undang-undang, Sains dan Kejuruteraan. Di rumah hafal satu surah, sampai fakulti, lupa sepuluh surah!”, saya berbisik ke Munawwar di sebelah.

“Universiti ini amat buruk kelakuan pelajarnya. Tetapi saya tidak boleh terima jika pelajar Syariah pun sama. Tidak boleh memakai minyak wangi untuk menarik perhatian atau hingga menarik perhatian. Itu perlakuan zina. Kamu balik ke rumah dan mandi wajib…. kamu tahu Nabi Muhammad SAW pernah memberi amaran begitu?”, Dr. Mustafa meneruskan tegurannya.

Sok sek sok sek!

Kami mendengar bunyi tangisan seorang pelajar perempuan di bahagian belakang kelas. Tidak berani untuk menoleh ke belakang.

“Kalau takut busuk, jaga kebersihan. Bukan dengan berwangi-wangian. Sudah, hari ini tiada kelas. Kita ganti semula kemudian. Saya tidak boleh mengajar dalam keadaan seperti ini. Bersurai semua”, tegas Dr. Mustafa.

Aduh! Rugi satu kelas.

“Hah, apa lagi? Bangun!!!”, Dr. Mustafa menyergah kami, pelajar lelaki yang masih tercegat di bangku masing-masing.

Sebenarnya, kami terus duduk kerana mahu mengesan siapakah pelajar perempuan yang dimarahi tadi. Tetapi Dr. Mustafa lebih cepat mengecam ‘niat jahat’ kami lalu menghalau semua pelajar lelaki agar terlebih dahulu meninggalkan bilik kuliah. Kami segera bangun hingga ada yang tercicir pen di lantai.

KEBEBASAN

Universiti adalah ‘gelanggang merdeka’ untuk pelajar-pelajar bebas dari peraturan. Tiada lagi ibu bapa, tiada lagi pengawas yang menjadi ‘kaki retot’ di sekolah. Tiada lagi warden untuk menyergah asrama. Kebebasan itulah yang menjahanamkan jati diri kebanyakan pelajar.

Seperti layang-layang yang memutuskan tali. Alasannya mahu terbang tinggi, rupa-rupanya sesat dirempuh taufan sampai jatuh binasa ke bumi.

Hingga ramai yang terlupa bahawa universiti tempat mencari ilmu, bukan jantan bukan betina!

Al-Jaami’ah, wa maa adraaka maa al-Jaami’ah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


Komen Amad : Sudah tiga article dari Ustaz Hasrizal saya kongsi sama dengan sahabat-sahabat. Ia antara article-article terbaik dari dia.Sama-sama kita ambil pengajaran dari article tersebut. Jadikan UNPAD tempat mencari ilmu bukan JANTAN mahupun BETINA.

.: Ini Amad Pesan :.

Monday, May 11, 2009

Cinta Tanpa Syarat

May 13th, 2007 by saifulislam

Emak di sisi pusara Abah

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’ 17: 24)

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

Itulah doa saya sebentar tadi, semasa bersolat zohor.

Entah kenapa, tiba-tiba hati saya terlalu tersentuh dengan doa tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali saya membaca doa yang sama. Adakah kerana rindu saya terhadap ayahanda yang sudah masuk 14 tahun meninggalkan kami. Ya, saya rindukannya, terutamanya ketika hidup saya diasak dengan pelbagai cabaran, dan saya rindukan tangan ayahanda yang sering menepuk bahu agar masalah saya mengecil dan pergi oleh senyumannya.

Apakah saya terharu kerana saya rindukan bonda di kampung. Kampung yang sunyi, bersama teman-teman berbualnya yang pulang ke pangkuan Ilahi, seorang demi seorang. Bonda memang kesepian, hanya panggilan telefon dari anak-anaknya sahajalah pengubat sunyi itu. Mujurlah bonda kuat membaca. Majalah I saya hantarkan setiap bulan, kulit ke kulit habis dibacanya. Tazkirah Untuk Orang Mengaji oleh Ustaz Sonharji, saya belikan dan cepat sekali bonda menghadamnya.

Kata bonda, “jika sunyi dan tak buat apa-apa, kenalah baca buku. Kalau dibiarkan otak beku, nanti datang jemu dan nyanyuk, jadi pelupa dan kemudian susahlah anak-anak nak melayan orang tua yang begitu.”

Saya memang rindukan emak. Emak juga rindukan suaminya. Jika diselak langsir dapur, sayup-sayup kelihatan sepasang nisan pusara abah di tepi masjid sebelah rumah. Emak sering termenung di tingkap itu, merenung kisah silam mereka, dan kenangan manis membesarkan kami berlima.

Arwah opah pernah berkata, “aku hairan tengok kamu berlima ni. Dari kecil sampai besar, tak pernah bergaduh. Walhal hero-hero belaka!” Saya juga terkenang, memang kami berlima hero-hero belaka. Semua adik beradik saya lelaki tetapi kami memang tidak pernah bergaduh.
Mungkin semua itu kerana watak abah. Dia menjadi tumpuan kami dan kami sentiasa bergelak ketawa hingga ke meja makan. Kami tiada masa untuk bergaduh kerana semua ketawa dan sedih kami adalah bersama abah. Namun selepas abah pergi mengejut oleh serangan jantung, keluarga kami sunyi hilang ketawa. Sepi..

Kucing-kucing belaan kami yang suka menjilat peluh abah semasa dia sakit terlantar, turut mati seekor demi seekor. Begitulah kami di rumah, tertumpu pada abah. Kini emak saya pula melayan sepi dan sunyi itu sendirian. Saya sangka, saya sukar menemankan emak kerana saya terhumban di hujung benua. Selepas lebih sedekad saya di luar negara, saya segera pulang ke kampung halaman. Namun selepas bekerja di KL, rupa-rupanya keadaan tidak banyak berubah.

Saya masih sukar untuk balik ke kampung, akibat Kuala Lumpur dan kehidupan saya yang amat menekan masa.

Saya jatuh rindu dan saya mohon ampun dari Allah atas dosa saya membiarkan emak kesunyian di kampung.

Tetapi tengah hari tadi, saya tidak hiba kerana itu. Ada sesuatu yang lebih halus darinya. Mungkin sebentar tadi, buat kali pertamanya saya dapat merasakan apakah sebenarnya yang saya minta dari Allah, Tuhan yang telah memberikan seorang ibu dan bapa yang pengasih kepada saya.

Mengapakah apabila saya merintih keampunan dari Allah, saya kaitkan ia dengan kasih sayang bonda dan ayah semasa saya kecil?

Hari ini saya berusaha memikirkan jawapannya.

“Rizal minta maaf emak sebab susah sangat nak balik ke Ipoh. Kerja tak habis-habis. Lagi pun ada masanya Rizal cuti, tapi Muna pula yang kerja. Saif selalu menyebut tentang opahnya. Naurah pun dah makin besar. Imad pun dah pandai meniarap”, keluhan saya kepada emak beberapa ketika yang lalu.

”Tak apa, mak pun minta maaf sebab jarang dapat ke Kuala Lumpur. Kaki mak ni asyik sakit, kepala pun berat. Tak seronok nak berjalan-jalan kalau begini. Datang rumah kamu pun nanti menyusahkan sahaja. Asalkan kamu ingat emak dalam doa, Alhamdulillah”, itulah suara dari hati emak.

Semasa berdoa tadi baru saya sedar, emak amat pemaaf. Dia memaafkan saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Paling menyerlah, pemaaf emak semasa saya kecil…

Saya pernah teringin untuk minum air sirap ros, tetapi patinya sudah habis. Semasa emak sibuk menanda buku latihan anak-anak muridnya, saya ke dapur dan cuba memasak gula di dalam periuk. Secawan gula dicampur dengan pewarna merah, dimasak di atas api. Saya baru darjah tiga dan tidak terfikir untuk menambah air. Akhirnya gula hangus dan beku, periuk berkerak dan hampir mustahil untuk dibersihkan. Kerana takut, saya simpan periuk itu di dalam kabinet dapur. Seminggu masa berlalu, apabila emak terjumpa periuk itu, dia tahu itu angkara saya. Dia tidak marah tetapi mencebikkan muka kesedihan.

“Emak tak marah?”, saya cuba memberanikan diri bertanya.

“Emak tak marah kamu cuba masak gula ni. Tapi emak sedih sebab kamu sorok periuk ni dalam kabinet”, itulah katanya.

Saya menangis kerana terasa bersalah cuba menipu emak dan dia dengan segera memujuk.
Saya pernah cuba membasuh kain sendiri, tetapi kerana lupa memasukkan getah ke bilik air, habis seluruh dapur banjir ditenggelami air sabun. Emak tidak marah.

Saya juga pernah berayun di buaian sambil berdiri walaupun ditegah. Apabila buaian terlalu laju, saya tercampak dan muka tersembam ke pasu bunga. Sampai ke hari ini saya masih dapat merasa tuam pasir panas di pipi yang sudah kebiru-biruan. Emak tidak marah.

Abah juga tiada bezanya. Dia tidak pernah memaksa saya membaca buku tetapi jika gagal mendapat tempat pertama, dia menepuk bahu saya sambil berkata, “nanti mainlah lagi ya. Jangan baca buku.”

Dia tidak marah tetapi saya sendiri yang rasa terseksa dan bersalah.

Saya pernah bergaduh dengan Pengetua di sekolah. “Maaf ustaz, kalau begitulah cakap ustaz, saya pun ‘tak hingin’ nak sekolah di sini!”, jiwa anak muda di Tingkatan 4 memberontak. Saya pulang ke asrama, mengemas beg baju dan langsung meninggalkan Negeri Sembilan untuk pulang ke kampung tanpa berfikir panjang.

Saya tiba di Ipoh selewat jam 11 malam. Abah amat terkejut dengan tindakan saya berhenti sekolah, tetapi dia tidak marah. Dia berikan saya wang RM50 sambil berkata, “ambil duit ni dan uruskan sendiri kamu nak bersekolah mana selepas ini”. Itu cara abah. Dia jarang sekali marah.

Emak dan abah amat mudah memaafkan saya. Tidak kira apa sahaja kerenah kami, mereka memaafkan kami seadanya. Mereka menerima kami sebagai anak-anak yang banyak kelemahan dan atas penerimaan itu, mereka mengasihi kami TANPA SYARAT.


Emak dan abah menerima saya atas segala yang ada pada diri ini. Saya taat atau degil, saya rajin dan saya culas, saya senyum atau saya menjerit, mereka menerima saya seadanya. Mereka terus menyayangi dan mengasihi saya tanpa syarat. Mereka tidak pernah memberitahu saya bahawa semua kebaikan yang mereka buat selama ini, mesti dibalas apabila kami telah dewasa. Kami balas atau tidak, kami ingat atau lupa, tugas mereka hanyalah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang, TANPA SYARAT.

Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan bapa kepada anaknya. Suami mengasihi isteri, sering mengharap balas. Isteri mengasihi suami, kerap juga ada sesuatu yang terselindung di sebaliknya. Apatah lagi jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk dipastikan tulus persahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat memaafkan sahabatnya tanpa syarat?

Mungkin ada, tapi sering tiada.

Apa yang pasti, hanya ibu bapa sahaja yang mampu mengasihi anak-anaknya tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas kasih itu. Jika seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sanggup berjaga malam dan berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun apabila tiba giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus menjaga, tetapi hati mudah berkata, “bilalah orang tua ini nak mati!”. Ya Allah, lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.

Hati saya amat sedih melihat kaum Cina di KL berebut-rebut menghantar ibu dan bapa mereka ke wad kecemasan Hospital UKM sehari sebelum Tahun Baru Cina. Pesakit berumur 60 tahun (kalau tak silap saya) ke atas, rawatan di HUKM adalah percuma. Maka inilah cara mudah mereka untuk get rid ibu bapa mereka di musim perayaan. Kalau hantar ke rumah orang tua-tua, mahal pulak bayarannya. Allah Allah….

Saya masih ingat dialog ayah tengah hari itu. Dia baru sahaja pulang dari menunaikan Haji.

“Abah kat Mekah doa apa, abah?”, saya bertanya.

“Abah doa supaya Allah jangan panjangkan umur abah sampai nyanyuk. Takut anak-anak tak tahan. Takut kamu jadi anak durhaka!”, kata ayah saya sambil mata redupnya merenung saya yang terkelu lidah.

“Abah, jangan cakap macam tu…”, saya sebak dan hanya mampu membiarkan air mata kering di pipi. Ayah pergi meninggalkan kami pada malam hari lahir saya yang ke-17, hanya setahun lebih selepas perbualan kami itu.

Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu dan ayah, mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu membelai, mereka mudah memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan CINTA TANPA SYARAT.

Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak hisab, tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.

Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka yang mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan Kasih-sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat…

NAMUN…

Mungkinkah semua itu, Allah kurniakan kepada saya? Siapakah saya untuk meminta pengampunan yang terus tanpa syarat? Malah jika setiap detik hidup dalam sehari itu dihitung, terasa betapa dosa sahaja yang banyak berbekas. Sedangkan tanpa saya sedar saya banyak meletakkan syarat terhadap Allah. Aku ingat kepada-Mu, dengan syarat aku sudah hilang penyelesaian. Aku sanggup lakukan apa yang Engkau suruh, tetapi selepas aku melihat apa kebaikan yang aku dapat!

Hinanya diriku. Lupa sudah pada hakikat diri sebagai hamba. Hamba yang tidak layak meminta, apatah lagi untuk meletakkan syarat kepada Tuhannya. Astaghfirullah.

Menghitung hari, padanya terpalit pelbagai dosa. Paling kurang, setiap hari saya dibelenggu rasa terkilan dan berdosa kerana bonda kesunyian di kampung. Setelah pulang ke Malaysia, saya masih belum dapat menjaganya di depan mata.

Bayangkan, jika Allah mengampunkan kita dengan syarat, binasalah diri ini. Mampukah saya lepas segala syarat itu? Jika Allah syaratkan setiap solatku mesti khusyuk, apakah ada satu solatku yang sampai kepada apa yang Allah syaratkan itu?

Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat pada amalan. Melainkan Rahmat Allah itu jualah jawapannya. Dengan kasih sayang-Nya.

Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul kita kepada sifat al-Wahhab Allah SWT. Saya baru mendengar kuliah 99 nama Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba di hati saya.

Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha Memberi. Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya lima sifat:

1. Memberi tanpa meminta apa-apa balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada Makhluk. Kerana itulah Allah SWT Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaan-Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.

2. Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.

3. Memberi tanpa diminta. Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan hidup diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.

4. Memberi sesuatu yang amat berharga. Allah Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri. Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita. Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.

5. Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan. Allah jua dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa khidmat kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.

Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti kita.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

DUHAI BONDA

Duhai Bonda
Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri memberikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Berkorban segalanya penuh rela
Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada perhentiannya, tak bertebing
Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan
Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada
Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda

Peluk cium anakanda buat bonda yang mengasihiku atas hatinya yang begitu… Ameen

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
12 Mei 2007

"Erti Hidup Pada Memberi"

Komen Amad : Saya mewakili warga IMAN ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu buat semua Ibu diseluruh dunia. Tanpamu,siapalah kami.Cinta mu,Cinta Tanpa Syarat.

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

SELAMAT HARI IBU

.: Ini Amad Pesan :.

Tuesday, May 5, 2009

Ini Sahajakah Imej Malaysia

Mar 25th, 2007 by saifulislam

Gambar Hiasan

“Alah payunglah payung, ketipang payung. Payung sutera anak raja muda, alah tolonglah tolong, cik abang tolong. Janganlah marah pada adinda!”, merdu suara Aliya, seorang pelajar kejuruteraan elektrik mendendangkan lagu klasik Melayu di Malam Malaysia itu.

Persembahan diserikan lagi dengan iringan penari yang rancak menyusun langkah. Satu depan, dua kiri, satu depan, tiga kanan. Cantik sekali tarian mereka.

Teruja penonton melihatnya. Bakal doktor, bakal akauntan, bakal jurutera, bakal pemimpin teraju negara, semuanya berbakat menari dan berdansa.
Sekejap lagu asli, sekejap lagu balada. Sekejap selembut nasyid, sekejap sekeras Rock membatu.

Malam Malaysia di mana-mana. Seluruh dunia yang ada pelajar Malaysia, mesti ada Malam Malaysia. Alasannya adalah untuk memperkenalkan budaya, mengukuh patriotik kepada negara. Tinggi falsafah indahnya warna.

Tetapi, ini sahajakah wajah Malaysia di mata dunia? Apakah Malaysia hanya ada tarian, hanya ada seni persembahan?

Saya akur bahawa jika Malaysia mahu disebut dari bahasa budaya, tentu sahaja zapin, wayang kulit, tarian dan dansa, itu yang terlintas di kepala. Akan tetapi, saya adalah seorang yang result oriented. Saya tidak melakukan sesuatu melainkan dalam keadaan penuh sedar, dengan apa yang mahu dicapai.

Apa yang mahu dicapai dari Malam Malaysia?

Asing benarkah tarian dan dansa kepada si putih di sini sana, sehingga setiap tahun dansa itu mesti diulang? Asyik-asyik menari, asyik-asyik menyanyi…

Saya telah beberapa kali cuba bertindak secara pro aktif, memberikan cadangan kepada pelajar di kampus-kampus luar negara. Jika mahu memperkenalkan Malaysia di mata dunia, janganlah hanya pada makan pakai, tari dan suara. Di mana idea Malaysia? Di mana pemikiran Malaysia?

Apabila pelajar bertanya kepada saya tentang hal ini, saya sering memberikan pandangan, mengapa tidak diadakan bersama “wacana minda”. Jika soal tari menari tidak boleh ditolak ansur, sekurang-kurangnya adakan juga sesuatu yang dapat memperkenalkan Malaysia dari sudut yang sesuai dengan imej universiti tempat ilmu dan pemikiran.

Mengapa tidak diadakan sesi, memanggil pakar-pakar ekonomi Malaysia, hadir memberikan pembentangan untuk memperkenalkan polisi pembangunan negara? Kalau rasa terlalu sensitif untuk menjemput figure yang dikaitkan dengan politik, kita ada ramai ahli akademik yang dapat menampilkan idea mereka di peringkat antarabangsa.

Tayangkan dokumentari tentang Malaysia yang tidak sukar untuk diperolehi dari pelbagai badan dan media. Didik masyarakat Barat tentang sesuatu yang boleh memperbaiki jati diri mereka. Bukan hanya hedonisma atas nama budaya.

BERALASANKAN KAUM CINA

Sesetengah pengalaman saya membabitkan alasan pelajar bahawa mereka mesti melibatkan tari menari kerana sejumlah besar tenaga penting persatuan adalah pelajar Malaysia berbangsa Cina. Sungguh pelik… apakah pelajar Cina bukan rakyat Malaysia, yang juga ada tanggungjawab sosial, politik, ekonomi, dan intelektual, sama seperti mana-mana bangsa Malaysia? Apakah hedonisma hanya salah pada harga diri Melayu tetapi tidak Cina? Apakah kaum Cina di Malaysia tiada agama untuk dipedulikan? Di mana rukun negara yang pertama?

Itu kalau benar, kaum Cina yang mahukan tari menari dan dansa.

Saya pernah berdialog dengan sebuah persatuan pelajar Malaysia yang kepimpinannya adalah daripada pelajar Cina. Subhanallah, mereka sangat terbuka.

“Saya harap peraturan-peraturan pelajar Muslim boleh sama-sama kita hormati”, saya memberi pandangan.

“Sudah tentu. Kaunter arak akan dilabelkan sebagai ‘not for Muslims‘ dan kami harap pelajar Muslim akan berpakat agar tidak bercampur jantina pada satu meja ketika dinner, dan tidak bercampur jantina dalam kumpulan bola tampar itu nanti. They need to be pro active“, kata Presiden persatuan pelajar Malaysia itu.

Sangat terbuka dan bertanggungjawab terhadap pluraliti agama dan budaya Malaysia.
Tetapi, pelajar Melayu Muslim sendiri yang suka bercampur bebas, terdesak untuk berjoget tanpa diminta oleh persatuan. Maka memberikan alasan bahawa mahu menghormati bangsa lain, hanyalah alasan untuk meneruskan budaya gersang minda dan lapar hedonisma pelajar Malaysia.

ISLAM SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA SEBUAH MALAYSIA

Saya hairan. Jika Mak Yong yang sudah pupus kerana tenggelam oleh kesedaran beragama itu, boleh diberikan nafas dan nyawa baru atas nama budaya, mengapa tidak Islam juga dipromosikan kerana ia elemen yang penting bagi sebuah Malaysia? Selain Islam, tidak salah untuk dibuka ruang agar wakil agama Kristian, Buddha dan Hindu di Malaysia, berdialog tentang kesedaran beragama di Malaysia.

Mungkin boleh dibincangkan tentang bagaimana agama berperanan membina internal strenght di dalam jati diri bangsa Malaysia.

Kalau aktiviti agama, penuh prejudis, halangan dan kekangan. Tetapi tari menari, cepat sahaja bantuan diberi. Saya tidak faham di mana rasionalnya hal ini. Seorang doktor, bukan hanya menjadi doktor. Dia akan memimpin sebuah jabatan, dia akan berurusan dengan pesakit yang insan. Maka, pelajaran tarian mana yang bakal meninggalkan kesan pada kepimpinannya di masa hadapan?

Segala peruntukan dan sokongan, hanya untuk nyanyian, tarian, fesyen dan pakaian. Itu sahaja imej Malaysia yang diulang-ulang dari zaman sebelum merdeka, sampailah menjelang milenium kedua.

Kerana kemaruk hedonisma, budaya dan jati diri Malaysia disalah guna untuk melesenkan nafsu muda yang tidak habis-habis mahu berpesta.

Di manakah masa depan Malaysia yang lebih bermakna?

Soalan itu tenggelam oleh libasan lidi Mak Yong di Barat sana.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


Komentar Amad : Sempena dengan Malam Seni Budaya yang masih dalam perancangan,ini adalah antara article yang saya rasa amat baik untuk kita sama-sama amati dan fikirkan. Idea ini pernah saya bawa dalam AGM PKPMI semasa saya tahun kedua.Tetapi dipandang lesu.

Ia bukan semata hanya Idea Ustaz Hasrizal aka Abu Saif,juga bukan idea Amad tetapi inilah tuntutan agama kita.Didalam kita berhibur,jangan sekali kita lupa bahawa kita masih HAMBA.

Sebarang idea dan pandangan amat dialukan untuk penambahbaikan Malam Seni Budaya kita nanti.

Wallahualam.

.: Ini Amad Pesan :.