Tuesday, December 7, 2010

Tidak Bertambah Kerana Pujian, Tidak Berkurang Kerana Kejian



Apabila kita melakukan kebaikan yang terlihat oleh orang lain, pasti ada yang mengatakan : 
"Wah! Baguslah awak."
" Awak memang baik."
"Jarang jumpa orang macam awak."
" Hebatnya!"
Paling tidak pun, akan ada yang tersenyum menandakan sebuah penghargaan kepada kita. Lantas kira menjadi termotivasi dan bersemangat untuk terus melakukan kebaikan.
Kita merasakan ada nilainya kebaikaan tersebut pada pandangan mata manusia. Bagaimanakah pula keadaannya apabila ada yang mengatakan :
"Eleh, tu nak tunjuk baik la tu."
"Buang masa awak saja buat macam tu."
" Jangan buat macam tu lagi lain kali!"
Apakah kesannya kepada diri kita?
Adakah kita masih terus melakukan kebaikan tersebut atau kita meninggalkannya?
Kesan yang berlaku atas diri kita daripada respons positif dan negatif orang lain ini menjadi indikator kepada keikhlasan kita dalam beramal.
Nilai sesebuah amal itu tidak dapat ditentukan berdasarkan kepada pujian manusia. Apa yang lebih penting adalah penilaian Allah SWT.
Apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah SWT dan Rasul SAW, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi sama ada orang lain memuji atau mengeji.
Dalam ertikata lain, orang yang ikhlas tidak akan berganjak sedikitpun daripada sebuah amal yang baik, bahkan dia sentiasa istiqamah dengan kebaikan. Tidak bertambah kerana pujian, atau berkurang kerana kejian.
Berbeza dengan seseorang yang mengejar pengiktirafan manusia, bila dipuji dia berbangga dan menambah lagi kebaikan, bila dikeji dia merasakan seolah-olah azab Allah menimpanya lalu dia meninggalkan amal baik tersebut. Konsistensi amalannya bergantung kepada respons manusia terhadapnya.
Seseorang yang saya maksudkan tersebut boleh jadi kita sendiri, termasuk saya yang menulis.
Pernahkah kadang-kadang kita merasa kagum dengan mujahid Islam yang syahid lantas kita juga bercita-cita untuk syahid sepertinya?
Namun jauh di sudut hati kecil kita bersuara, "Tentu aku akan dikenang orang."
Pernahkan kita membaca karya agung ulama-ulama silam lantas kita ingin berkarya seperti mereka?
Hati kecil kita masih lagi bersuara, "Tentu orang akan menyanjung aku."
Tatkala kita melayani perasaan tersebut dan berusaha mengejar pengiktirafan manusia, maka amal kita telah dicemari dan tidak lagi ikhlas. Namun apa yang boleh kita usahakan ialah menentangnya dan melawannya.
Oleh itu, matlamat yang jelas perlu ditentukan sejak kita berniat melakukan sebuah amal sehinggalah kita habis melaksanakannya.
Keikhlasan itu perlu dijaga – sebelum, ketika, dan setelah melakukan sebuah amal. Susah memang susah, sebab itulah perlunya mujahadah.
Sampai bila? Sampai kita bertemu Allah SWT. Saya masih ingat pesan Ustaz Che; Abdul Majid yang pernah saya kenali di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya dulu;
Berbuat baik ayuhai teman,
Ke dalam laut engkau campakkan,
Kalau tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iyakah, bukan
Bait syair di atas menyeru supaya kita ikhlas melakukan sesebuah amal hanya untuk keredhaan Allah SWT dan hanya untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah SWT.
Amal yang baik itu takkan sekali-kali disiarkan oleh Allah. Bahkan yang terdetik di sudut hati kita juga tak pernah terlepas daripada pandangan Allah SWT. Biarlah Allah yang menilai kebaikan kita dan memberikan ganjaran di akhirat. Firman Allah:
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedangkan Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (At-Taubah : 16)

Bahkan dalam memuji juga kita harus berhati-hati. Boleh jadi pujian kita itu akan menghancurkan saudara seagama kita. Pujilah sekadar yang perlu dan kembalikanlah hak menilai itu kepada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berpesan;

"Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah dari bapanya r.a katanya : Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi, lalu Nabi berkata kepadanya : " Celaka kamu. Bereti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu baginda ucapkan banyak kali). Apabila seseorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata, "Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilai selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu." (Hadis Riwayat Muslim)

Jika ada yang memujimu, katakalah "Alhamdulillah" dengan sebenar-benarnya


0 comments: