Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Pada tanggal 2 Disember 2010, hari khamis yang lalu satu program antara ahli Iman telah dijalankan iaitu program Iftar. Bertempat di Gedung A4.1 Fakultas Kedokteran dan acara telah bermula pada jam 6.00 malam dan tamat jam 9.00 malam.
Acara dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan seusai solat, acara yang ditunggu iaitu makan diteruskan. Alhamdulillah hidangan kali ini telah disediakan oleh Unit Ekonomi (UE) Iman sendiri dan dimakan juga secara berjemaah beralaskan daun pisang. Menu yang sederhana tapi cukup menyelerakan apabila dapat makan bersama-sama dalam satu wadah. Sambil menjamu selera, tayangan slide dan video turut dimainkan.
Setelah acara makan selesai,solat isya berjemaah pula mengambil alih. Bahagian tazkirah diisi oleh Haikal Ambri Rosle selaku amir IMAN. Tajuk yang diutarakan adalah ukhwah yang juga merupakan tema untuk iftar kali ini. Enam faktor retaknya ukhwah ditadabur beliau mengikut surah Al-Hujuraat (49) ayat 11 dan 12.
Antara larangan dariNya pada ayat tersebut adalah dilarang sesama kita saling memanggil nama yang buruk, saling berprasangka, mengumpat, membuka keaiban dan banyak lagi. Sebaik-baik teladan adalah meniru Rasulullah SAW, yang juga turut memberi gelaran baik lagi menyenangkan kepada para sahabat serta isteri baginda sendiri. Kelembutan dan empati baginda cukup baik untuk ditiru demi menjaga hubungan baik sesama semua makhluk Allah.
Aktiviti untuk menguatkan lagi ukhwah telah dilakukan. Setiap orang diminta menulis apa yang ingin diluahkan yang semestinya kata-kata indah lagi memotivasikan kepada seorang sahabat. Setelah masing-masing mendapat selembar kertas yang sarat dengan kata-kata luahan hati itu, peserta diminta menyimpannya dan hanya dibenarkan membaca setelah pulang. Hasilnya, sangat memberangsangkan kerana mampu menyentuh emosi dan ramai yang mengharapkan aktiviti seperti ini dilakukan pada lain kalinya.
Ukhwah ditekankan kerana dengan ukhwah kita akan bergabung, menguatkan silaturahim malah percikan kasih sayang dek ukhwah itu jugalah dapat menyentuh hati mereka yang lain, bahwa betapa indahnya hubungan saudara seagama dan seakidah itu. Ukhwah juga penting dalam sesebuah organisasi apatah lagi bergabung kerana ingin melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah, amanah Allah kepada manusia.
Segala puji dan syukur dipanjatkan kepadaNya kerana telah melancarkan program ini dan diharapkan semua ahli IMAN dapat mengambil ibrah,pengajaran daripada aktiviti tersebut serta mengaplikasikannya. Insyaallah.
Wallahuaklam, sekian terima kasih.
Untuk melihat lebih banyak gambar sila klik di sini.
Dipost oleh unit UDI IMAN.
1 comments:
harapnya bermanfaat :)
Post a Comment