Wednesday, March 7, 2012

Laporan Program Muslimah Pillar in Deen & Forum Tarbiyah di Luar Kampus

Assalamu’alaikum wbt.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izinNya, IMAN telah berpeluang menganjurkan dua buah program tarbiyah dengan jayanya pada hari Sabtu, 3 Mac lalu. Program-program tersebut adalah Program Muslimah Pillar in Deen dan Forum “Tarbiyah di Luar Kampus” yang diadakan di Fakultas Kedokteran A5.3, Universitas Padjadjaran, Jatinangor.

Muslimah Pillar in Deen – You as an Agent of Change




Program Muslimah Pillar in Deen merupakan sebuah program yang dianjurkan khas buat para muslimat. Bertemakan “You as an Agent of Change”, program ini mengupas mengenai muslimah sebagai tunjang kepada agama Islam. Siapa sangka kami di bumi Bandung ini bukan sahaja berpeluang menemui pakar perubatan kecemasan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nazhatul Muna Ahmad Nasaruddin (UmmuSaif), zaujah kepada Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, bahkan beliau menjadi speaker bagi program ini. Sepanjang program berlangsung, sangat banyak ilmu yang beliau kongsikan bersama kami, pelajar-pelajar di UNPAD ini. Alhamdulillah.

Mengikut perancangan, program ini bermula pada jam 8.00 pagi, namun terdapat hal-hal yang tidak dapat dielakkan, program ini bermula pada jam 9.00 pagi. Program ini dimulai dengan bacaan ayat al-Qur’an, surah At-Taubah ayat 71-74. Kemudian diteruskan dengan Slot 1 yang mana membincangkan mengenai “Muslimah: Siapa & Bagaimana?”. Di slot ini, Dr. Muna menerangkan mengenai muslimah solehah; ciri-ciri muslimah solehah, kepentingannya, cara-cara menjadi muslimah solehah, cabaran-cabaran dari segi luaran dan dalaman serta peranan-peranan muslimah solehah.

Without women, the world’s empty". Hal ini kerana lelaki dan perempuan memerlukan antara satu sama lain dalam kehidupan ini. Bukan lelaki sahaja mempunyai peranan dalam agama, wanita juga mempunyai peranan masing-masing. Antara keistimewaan wanita ialah sebaik-baik perhiasan dunia. Dari Abdullah bin ‘Amr r.a bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah” (Riwayat Muslim). Menjadi muslimah solehah dengan mengerjakan amal soleh pasti akan mendapat kehidupan yang baik. Malah Allah berfirman dalam al-Qur’an:

“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” [QS Al-Nahl 16: 97]

Antara input menarik lain yang kami peroleh ialah potensi manusia. Setiap  manusia berpotensi untuk menjadi baik dan buruk. Begitu juga iman kita, adakala naik dan adakalanya turun.

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya), serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.” [QS Ash-Shams: 7-8]

Muslimah solehah pasti mempunyai peranannya. Antara peranan yang paling utama ialah sebagai hamba Allah SWT.

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.” [QS Al-Dhariyat 51: 56]

Setiap amal samada kebaikan dan keburukan tidak memberi keuntungan mahupun kerugian kepada Allah, tetapi kepada diri sendiri. Allah’s our CEO! Every single thing we do, is for Him, our Boss! Jika kita seorang hamba yang taat kepada Allah, kita akan tetap lakukan walaupun sekecil-kecil pekerjaan, dan kita tidak akan berkira dengan sebarang amalan sekiranya kita lakukan keranaNya.

Kemudian, peranan sebagai ibu solehah. Dr Muna mengingatkan kami supaya membuat persiapan sebaiknya sebelum berkahwin. Hal ini kerana lelaki perlu memilih ibu kepada anak-anaknya. Memilih ibu bermaksud mencari jodoh isteri yang beriman, bertakwa dan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu solehah. Beliau juga menceritakan kepada kami mengenai sirah Saidina Umar al-Khattab didatangi seorang lelaki.


“Pada suatu hari Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa anaknya sentiasa menderhaka kepadanya. Maka anak itu dipanggil oleh Umar, seraya diingatkan agar jangan menderhakai ayahnya serta dianjurkan agar ia mentaatinya dan menjaga hak-haknya. Tiba-tiba si anak pun bertanya kepada Umar katanya: Wahai Amirul Mukminin apakah anak tiada mempunyai hak-hak atas ayahnya?

Jawab Umar: Bahkan ada! Berkata si anak, "Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Berkata Umar: Memilih ibu yang baik, memberikan nama yang baik serta mengajarnya membaca Al-Qur'an. Berkata si anak: Wahai Amirul Mukminin sesungguhnya bapa saya tiada membuat satu pun dari ketiga-tiga perkara itu. Ibu saya berbangsa Afrika dahulunya isteri seorang majusi. Saya pula diberi nama Khunfusak (bermaksud 'lipas') dan juga tidak pernah mengajar saya satu huruf pun dari Al-Quran. Lalu Umar berkata kepada ayahnya: “Jika demikian, kamu telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepadamu.”                

                Antara peranan lain adalah sebagai isteri solehah yang mana menjadi penyejuk mata dan pakaian buat pasangan dan sebagai ujian kepada suami; sebagai anak solehah hal ini kerana anak yang soleh merupakan asset buat kedua ibubapa; dan juga sebagai seorang sahabat yang soleheh. Syurga adalah untuk orang-orang yang hebat. Oleh itu, jika Syurga menjadi matlamat kita, sudah seharusnya kita perlu menjadi orang yang hebat. Menjadi seorang yang hebat bukan pilihan akan tetapi satu kemestian. Hebat dari segi ibadah dan peranan kita sebagai khalifah di bumi Allah ini… demi Islam! “Muslimah yang hebat merupakan seorang yang flexible, versatile dan tidak rigid”, kata Dr Muna. Muslimah solehah pasti mempunyai quality control (conscious + self-control) untuk membuahkan ketakwaan. Quality control bermaksud kita sedar akan sesuatu dan bertindak atas kesedaran.          

                Di penghujung Slot 1, kami diingatkan menjadi muslimah solehah perlukan maintenance iaitu dengan terus beristiqamah. Slot ini tamat pada jam lebih kurang 11 pagi, sebelum disambung dengan Slot 2 pada sebelah petangnya.              

                Selepas Slot 1, kami mengadakan sebuah permainan mengenai fesyen muslimah. Semua  muslimat yang hadir dibahagikan kepada 6/7 kumpulan kecil. Setiap kumpulan dibekalkan dengan beberapa helai tudung dan sehelai kertas untuk melukis pakaian muslimah. Semua saling bekerjasama dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Pada akhir permainan, seorang atau dua orang model dari setiap kumpulan akan memperagakan pakaian yang direka dan para pereka menerangkan keistimewaan pakaian tersebut dihadapan para juri, Dr Muna salah satu antaranya, dan para muslimat yang lain. Permainan ini bukan saja-saja diadakan akan tetapi ada message yang ingin disampaikan iaitu dengan mengingatkan kami akan kepentingan menutup aurat dengan sempurna dan dengan menjadi seorang muslimah tidak membataskan diri daripada berfesyen akan tetapi haruslah bersesuaian dengan hukum syara’.                

                Kemudian, kami diberikan rehat selama sejam sebelum diteruskan dengan Slot 2. Kami diberi nasi ayam yang sangat enak untuk makan tengah hari. Kira-kira jam 1:30 petang, kami teruskan dengan Slot 2 yang bertajuk “Muslimah Solehah dan Kerjaya”. Antara perkara yang dibincangkan dalam slot ini ialah pandangan Islam tentang wanita bekerjaya, contoh kerjaya wanita dalam al-Quran dan Sunnah serta kelebihan bekerjaya.                        

                Wanita mempunyai tanggungjawab kepada Allah, diri, keluarga dan masyarakat.

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong buat sebahagian yang lain”  [QS At-Taubah 9: 71]. 
             
                Wanita mempunyai tugas yang tersendiri dalam agama. Dr Muna memberikan contoh-contoh wanita bekerjaya dalam sirah Islam. Antaranya adalah Ummu Atiyah (bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawat pejuang-pejuang lelaki yang cedera di medan perang dan menyediakan makanan untuk mereka), Rufaydah al-Aslamiyyah (doktor wanita Islam pertama) dan As-Shifa’ binti Abdullah (guru yang mengajar wanita-wanita Islam membaca dan menulis).

Dr Muna berkongsi mengenai perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk memaksimumkan ‘pro’ sebagai muslimah solehah yang berkerjaya iaitu menambahkan ilmu pengetahuan, pelbagaikan bahan bacaan, perbanyak perbincangan dengan rakan muslimat, pelbagaikan kenalan dan juga kerjasama dan kefahaman dengan suami. Slot pada petang tersebut lebih santai dan Dr Muna banyak berkongsi mengenai pengalaman hidupnya sebagai seorang doktor, isteri, ibu, anak dan pelajar. Terlalu banyak perkara baru yang kami peroleh daripada perkongsian beliau, terasa seakan masa sangat singkat. Pada jam 3 petang, program Muslimah Pillar in Deen sampai ke penghujungnya. Sebelum bersurai, kami sempat merakamkan kenangan istimewa kami bersama Dr Muna. Kami berharap agar dapat bersama dengan beliau lagi di masa akan datang. InsyaAllah.


Forum ‘Tarbiyah di Luar Kampus’




Pada sebelah malam hari yang sama, kira-kira jam 8:30 malam, sebuah forum bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan zaujah, Dr Muna, serta Md Asyraf As’ari sebagai moderator forum yang bertajuk ‘Tarbiyah di Luar Kampus’. Sebelum memulakan perbincangan, forum bermula dengan ta’aruf dengan ustaz dan zaujahnya. Forum ini terbahagi kepada tiga slot, pada Slot 1, Ustaz menerangkan apa yang dimaksudkan dengan ‘Tarbiyah di Luar Kampus’. Tarbiyah di luar kampus bukanlah bermaksud tarbiyah di luar kawasan universiti akan tetapi tarbiyah selepas alam kampus (selepas menamatkan pengajian di universiti).

“Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat)” [QS Al-Hasyr 59: 18]

Ustaz menerangkan kepada kami mengenai apa itu tarbiyah dan konsep asas tarbiyah. Tarbiyah bermaksud seni yang membentuk manusia atau pendidikan dan pembentukan diri dengan agama Islam. Terdapat tiga unsur-unsur tarbiyah iaitu menyampaikan, menyucikan (memasukkan apa yang dibaca kepada manusia) dan mengajar. Kemudian, Dr Muna memberitahu kita kena sentiasa upgrade diri kita dan tarbiyah tidak terhad hanya dengan usrah dan program akan tetapi apa-apa yang dapat membentuk kita menjadi lebih baik. Tarbiyah juga perlu berterusan supaya dapat menjadi bekalan kita di akhirat kelak.

Kemudian diteruskan dengan Slot 2 yang mana membincangkan mengenai ‘Tarbiyah vs Hiburan’. Masjid merupakan rumah Allah dan ramai yang datang ke masjid bukan sahaja untuk beribadah kepada Allah tetapi juga mencari ketenangan. Apabila mereka gagal untuk mencari ketenangan di masjid, mereka mula mencari hiburan untuk memberi ketenangan. Tarbiyah sepatutnya dapat memotivasikan diri dan memberi ketenangan terutamanya kepada mereka yang dibelenggu masalah, akan tetapi sesetengah tarbiyah gagal untuk memberi ketenangan apabila disertai dengan nasihat dan tarbiyah yang bernada tinggi dan lari daripada topik asal dan seterusnya tidak memberi ketenangan kepada para pendengar. Ustaz juga menyatakan bahawa tarbiyah merupakan makanan ilmu dan makanan akal. Malah ia merupakan salah satu latihan untuk melembutkan nafsu.

Slot 3 pula membincangkan mengenai 'bagaimanana tarbiyah boleh menghasilkan manusia yang berkualiti’. Ustaz menerangkan kepada kami untuk menghasilkan manusia yang berkualiti dengan tarbiyah, pendakwah perlu berada di tempat yang ramai dan tarbiyah offline (directly) adalah lebih baik berbanding tarbiyah online.

Pada akhir forum, antara rumusan yang dibuat oleh ustaz dan Dr Muna adalah kita perlu sentiasa mendapat tarbiyah to remain casual, tidak terlalu formal dan skema, kita juga kena remain close to reality, lagi dekat kepada realiti, lagi kurang culture shock dan yang paling penting kita perlu sentiasa mendampingi dan dekatkan diri dengan al-Qur’an dan tadabbur ayat-ayatNya.

“Maka tidakkah mereka menghayati al-Qur’an, ataukah hati mereka sudah terkunci?” [QS Muhammad 47: 24]

Sebelum keberangkatan ustaz dan zaujah, sebahagian pelajar sempat mengambil gambar bersama bagi menjadikan ia sebagai kenangan indah di UNPAD.



Alhamdulillah, dengan izinNya, program-program ini dapat diadakan dengan jayanya. Terlalu banyak ilmu yang ustaz dan zaujah kongsikan bersama kami. Semoga ilmu-ilmu yang diperoleh bermanfaat. Terima kasih kepada semua yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak. Jazakumullahu khairan. Semoga kita bertemu lagi di program-program yang akan datang. InsyaAllah.

1 comments:

ummusaif said...

http://drmuna.wordpress.com/2012/03/11/kekalkan-dirimu-sentiasa-teachable-2/