Saturday, August 4, 2012

FIKAH PERUBATAN ( Bahagian ke-2 )

Assalammualaikum wbt

Apa khabar para pencinta ilmu? Anda sihat ? jadi kali ini, kita sambung pula perbincangan kita tentang Fikih perubatan dan kesihatan ini. Sebelum ini saya menyatakan ada 5 kaedah dalam fikih ini, jadi jom kita tambah ilmu kita…

Kaedah pertama

1.Setiap perkara bergantung kepada tujuannya.

Penerangan :
-          Maksud umum kaedah ini bagi segala perkara yang lahir daripada mukalaf sama ada dalam bentuk perbuatan atau pertuturan, hukum – hakam ditentukan berdasarkan maksud ataupun tujuan dia melakukan dan menuturkannya.
-          Kaedah ini sebaik-baiknya dibantu dengan kaedah :

Keharusan syarak menafikan bayaran ganti rugi

-          Contoh :

1. Doktor yang mahir dalam bidangnya tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya berlaku sebarang kerosakan yang tidak disengajakan. Ini disebabkan beliau memang mahir dalam selok – belok asas perubatan.
2. Pegawai farmasi tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya memberikan ubat-ubatan sebagaimana yang dicadangkan oleh doktor yang diperakui. Ini kerana dia sememangnya diizinkan berbuat begitu.
3. Apabila berlaku kesan sampingan ataupun kemalangan dalam pembedahan ke atas pesakit yang memberi izin dibedah, sedangkan doktor yang mengendalikan pembedahan itu sudah pun berpegang teguh dengan asas- asas operasi pembedahan, maka doktor tidak perlu membayar apa- apa ganti rugi.

Kaedah kedua

2. Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak wasangka

- Maksud kaedah ini : Perkara yang sudah diyakini tidak akan hilang dengan kedatangn keraguan ke atasnya.
- Ada beberapa kaedah yang lahir dari kaedah di atas :

a) Asal masalah adalah kekalnya perkara di atas keadaanya yang asal.
b) Pada asalnya perkara-perkara yang baru muncul itu tidak ada.
c) Asalnya setiap orang bebas daripada tanggungjawab dan tidak terikat dengan mana-mana hak.
d) Asal masalah yang baru berlaku itu perlu dianggarkan berlaku pada waktu yang terhampir
e) Asal setiap sesuatu perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan keharamannya.
f) Tidak boleh dikira syak (dalam perkara) yang telah nyata salahnya.

Kaedah ketiga

3. Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan.

Beberapa kaedah yang terbit daripada kaedah ini :

a) Suatu perkara apabila tersepit ia menjadi luas
b) Sesuatu perkara apabila menjadi luas maka ia akan sempit.

Huraian :
-          Maksud kaedah diatas, apabila seseorang itu ditimpa keadaan yang menyulitkan, sekiranya beramal dengan hukum asal yang disyarakkan, maka ISLAM memberikan keringanan dan kemudahan ke atas mereka selama darurat masih ada. Inilah yang dimaksudkan, “apabila perkara itu sempit ia menjadi luas”.
-          Selepas hilang darurat itu, ia perlu kembali kepada hukum asal sebagaimana disyarakkan. Inilah yang dimaksudkan “ sesuatu perkara apabila menjadi luas ,maka ia akan sempit.”

Kaedah keempat

4. Kemudaratan hendaklah dihilangkan.

Beberapa kaedah yang terbit daripada kaedah di atas adalah :

a) dilarang menyebabkan timbulnya kemudaratan dan dilarang memudaratkan orang lain.
Maksud : Jangan memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Jangan melakukan perkara yang berguna kepada diri sendiri tetapi mendatangkan kemudaratan ataupun kesusahan kepada orang lain.

b) Darurat mengharuskan yang dilarang
c) Perkara yang dibolehkan kerana darurat dihadkan menurut kadar darurat sahaja.
d) Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan melakukan kemudaratan (kerosakan) yang seumpama dengannya ataupun yang lebih besar daripadanya.
e) Kemudaratan yang lebih besar hendaklah dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan
f) Kemudaratan hendaklah dibendung setakat termampu
g) Menolak kerosakan diutamakan dari mengambil kebaikan
h) Melakukan mafsadah (masalah) yang kecil dibolehkan demi untuk mendapatkan maslahat (kebaikan) yang besar.
i) Melakukan mafsadah bersifat sementara dibolehkan demi mendapatkan maslahat bersifat abadi.
j) Maslahat yang diyakini kewujudannya tidak boleh ditinggalkan kerana mafsadah yang masih berupa angan-angan.
k) Keadaan darurat tidak boleh membatalkan hak orang lain.
l) Ditanggung kemudaratan khusus bagi menolak kemudaratan am.

Kaedah kelima

5. Adat (uruf) diperhakimkan.

Maksud : Adat boleh menyabitkan hukum syarak apabila tidak terdapat nas untuk hukum yang hendak disabitkan. Adat ditakrifkan oleh ulama dengan, “ Perkara yang menjadi kebiasaan oleh manusia bagi mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi perkara lumrah “

Contoh :
-          Ubat-ubatan yang biasa diberikan kepada pesakit tanpa perlu kepada penerangan terperinci daripada doktor seperti Panadol. Pada kebiasaannya, Panadol tidak memberikan kesan sampingan yang memudaratkan, sekiranya pesakit itu mengalami kesan sampingan yang teruk, doktor tidak patut disaman. Panadol tidak member kemudaratan kepada orang yang mengambilnya pada kadar dan jangka masa yang sepatutnya.


Baiklah, macam mana sahabat semua? Menarik bukan ilmu tentang fikah perubatan ini. Sebenarnya masih banyak lagi yang perlu kita pelajari tentang ilmu fikah perubatan dan kesihatan ini. Kami harap dengan adanya artikel ini dapat menggalakkan sahabat semua untuk terus gali ilmu ALLAH SWT yang sangat luas ini hanya semata-mata mencari keredhoan ALLAH SWT….. kami ucapkan semoga anda semua menjadi para professional ISLAM yang berjaya di dunia dan di akhirat….



Jazakallahu Khairan Katsiran.

Rujukan :

Fikah Perubatan Karya Dr.Harmy Mohd Yusoff,Ustaz Shamsul Kamal Abdullah,Dr.Rosediani Muhammad,Wan Nor Ainon Wan Abdullah terbitan PTS Millennia.









0 comments: