Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun [Shahih Muslim, no: 1164]
Puasa sunat enam hari bulan Syawal paling awal dimulakan pada dua Syawal. Ini kerana tarikh satu Syawal adalah Hari Raya Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa'id al-Khudri radhiallahu 'anh berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [Shahih al-Bukhari, no: 1991].
Syarat dan adab bagi sunat enam hari bulan Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan. Adapun perbezaannya, maka ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Oleh itu, puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada satu Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.
Walaubagaimanapun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan sunat enam hari bulan Syawal berdasarkan keumuman firman Allah: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan ) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. [Ali Imran 3:133]
Tidak ada hari raya selepas puasa sunat enam hari bulan syawal. Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada satu Syawal dengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam hari bulan Syawal.
Ini adalah satu bid'ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyariat oleh Tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1134] Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tidak ada hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam hari bulan Syawal.
Antara Puasa Sunat Dan Puasa Qhada
Jika kita merenung semula hadis berikut: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringainya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun. [Shahih Muslim, no: 1164], akan didapati bahawa Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari bulan selepas puasa bulan Ramadan disempurnakan. Namun, bagi sesiapa yang ada meninggalkan puasa Ramadan kerana sakit, haid, musafir, kerja berat dan lain-lain, hendaklah dia menggantikan (qadha) semula puasa-puasa yang ditinggalkan, kemudian diikuti dengan puasa sunat enam hari bulan Syawal. Ini juga merupakan sikap yang benar iaitu hendaklah diutamakan membayar hutang yang wajib berbanding memberi sedekah yang sunat.
Ada sebahagian orang yang tetap berpuasa sunat enam hari bulan Syawal tanpa menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkannya berdasarkan kenyataan A'isyah, isteri Rasulullah: Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu menggantikannya (qadha) kecuali pada bulan Sya'ban karena sibuk (melayani) Rasulullah. [Shahih Muslim, no: 1146]
Sebenarnya jika dihalusi kenyataan A'isyah di atas, beliau tidak menyatakan bahawa dirinya telah berpuasa sunat enam hari bulan Syawal sebelum menggantikan puasa Ramadannya. Bahkan wujud kemungkinan bahawa beliau tidak melaksanakan puasa tersebut kerana sibuk membantu Rasulullah dalam urusan-urusan yang lebih besar dan penting seperti dakwah, jihad dan menghafal hadis.
Ibadah Puasa Bukan Syampu Rambut Dua Dalam Satu
Terdapat pandangan masyhur di Malaysia yang membolehkan puasa dua dalam satu, iaitu puasa qadha Ramadan dan puasa sunat enam hari bulan Syawal dilaksanakan dalam satu hari. Ramai agamawan yang menyampaikan petua ini tanpa mengemukakan apa-apa dalil al-Quaran dan al-Sunnah yang sahih. Tidak kurang pula, ramai orang bukan agama yang menerima petua ini tanpa bertanya apakah dalil al-Quran dan al-Sunnah yang sahih yang membolehkannya. Mereka menjadikan persoalan ini semudah syampu rambut dua dalam satu. Padahal sudah jelas bahawa Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari bulan Syawal selepas disempurnakan puasa wajib bulan Ramadan.
(Sumber: Majalah DARA.com keluaran september 2011)
0 comments:
Post a Comment