Sunday, May 22, 2011

Mengumpat Harus?

“Saya bukan nak mengumpat, tetapi perkara yang saya sebut ni, memang benar-benar berlaku! Saya lihatnya sendiri.”
“Malaslah nak dengar ceramah ustaz tu, asyik mengumpat orang je.”
“Hari ni saya puasa, jadi tidak mahu join kamu mengumpat.”
Dan pelbagai lagi ungkapan yang sering didengari berkaitan mengumpat.
Apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan mengumpat?
Adakah dikira mengumpat sekiranya apa yang diceritakan benar-benar berlaku?
Adakah wujud mengumpat yang DIHARUSKAN?
Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 2589), Rasulullah s.a.w. bertanya para sahabat: “Adakah kamu tahu apa makna mengumpat?”
Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Rasulullah s.a.w menjelaskan yang bermaksud: “Kamu menyebut sesuatu tentang saudaramu yang ia marah (sekiranya dia mengetahuinya).”
Sahabat bertanya:Sekiranya  apa yang kamu sebut itu benar-benar wujud (berlaku), maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa kamu sebut itu tidak benar, maka kamu telah memfitnahnya.”
TAKRIF MENGUMPAT

Mengumpat ialah perbuatan menyebut sesuatu yang memang benar-benar wujud tentang seseorang yang sekiranya ia mengetahuinya, ia pasti akan marah,
Dalam kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi menyediakan maksud yang terperinci mengumpat iaitu:
“Kamu menyebut tentang saudaramu yang ia memarahinya samada berkaitan tubuh badan, agama, dunia, diri, fizikal, akhlak, harta, anak, ayah, pasangan, khadam, hamba, serban, baju, cara berjalan, bergerak, senyuman, masam wajah dan segala-galanya yang berkaitan dengan dirinya, sama ada cara menyebut, menulis, isyarat mata, kepala dan sebagainya.”
Mungkin juga menulisnya di blog, Facebook dan pelbagai lagi mekanisme moden sekarang.
Imam al-Nawawi juga mengingatkan bahawa mendengar umpatan juga hukumnya haram.

BURGER DAGING MANUSIA
 “…Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.”
(Surah Al-Hujurat, 49:12)

Bahkan ketika peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah s.a.w. diperlihatkan suatu situasi yang mengerikan, di mana satu kaum yang memiliki kuku dari tembaga sedang mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri.
Baginda bertanya kepada Jibrail: “Siapakah mereka itu?”
Jibrail menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang lain.”
(Riwayat Abu Daud no. 4235)

6 MENGUMPAT YANG DIHARUSKAN

Dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, setelah Imam al-Ghazali menyatakan 6 situasi yang mengharuskan mengumpat, iaitu:
1.      Mengadu kezaliman dan pengkhianatan yang berlaku.
2.      Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran yang berlaku, maka didedahkan kemungkaran tersebut.
3.      Meminta fatwa daripada mufti seperti isteri menceritakan perbuatan jahat suami atau sebaliknya, berdasarkan aduan isteri Abu Sufyan kepada Rasulullah s.a.w. tentang suaminya yang kedekut.
4.       Menyelamatkan saudaranya daripada kejahatan seseorang. Contohnya, jika ada seseorang yang ditanya tentang perempuan atau lelaki yang bakal dikahwini, maka harus mendedahkan keburukannya jika ada. Terdapat 3 golongan manusia yang seandainya diceritakan keburukan mereka, tidak dikira sebagai mengumpat, iaitu pemimpin yang zalim, ahli bidaah dan seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan.
5.     Memperkenalkan seseorang yang memang terkenal dengan gelaran tertentu. Atau hanya dikenali apabila disebut sifat cacatnya seperti tempang, buta dan sebagainya.
6.     Seseorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan. Seperti lelaki atau perempuan yang mengubah jantinanya, peminum arak, penzina dan sebagainya. Tetapi jika mereka melakukannya secara sembunyi, maka tidak harus menyebut tentang mereka.

Walaubagaimanapun, situasi-situasi di atas mestilah dikawal dengan kaedah “al-dararu tuqaddaru bi qadariha” yang bermaksud, setiap perkara darurat hanya mengharuskan sesuatu yang dilarang sekadar yang diperlukan untuk mengatasi masalah darurat itu saja.
Jika tidak disebut nama seseorang, itu lebih baik.
Perbuatan itu masih dikira mengumpat, tetapi hukumnya harus.


Sekian.


Dipetik dan diubahsuai dari Solusi Isu No.30

0 comments: