Saturday, January 16, 2010

Bismillahirrahmanirrahim.

Ini sedikit perkongsian. Di ambil dari blog saudara Hilal Asyraf yang sedang menuntut di Timur Tengah. Bolehlah bertemu dengan beliau dengan klik di sini.


Ini cerita seminggu lepas. Pada hari Jumaat yang lalu, Dr Jamal, pensyarah yang mendalami ilmu Al-Quran di dalam University of Yarmouk, Irbid, Jordan telah menjadi khatib di Masjid Universiti Yarmouk.


Beliau membicarakan perihal ummah dan masa hadapan masyarakat Islam dalam mengharungi kehidupan masa kini. Diceritakan kelemahan dan juga kekurangan yang menghinggapi ummah di dalam khutbahnya.


Kemudian dia menyebut negara Islam yang patut dijadikan contoh.


Dan dia menyebut Malaysia.


Bersama wawasan 2020.


Kata seorang arab kepada kita


Apa kata Dr Jamal?


Lebih kurang, kata-katanya begini:


“Mari kita lihat satu negara Islam contoh yang membangun, itulah dia Malaysia. Negaranya maju dan membangun, kemas dan teratur, bersih. Malaysia mempunyai wawasan untuk menjadi negara yang hebat pada 2020. Kalau kamu bertanya kepada rakyatnya, hatta anak-anak kecil dan pemandu teksi, semuanya memahami wawasan 2020 itu. Kita lihat di sini, semua rakyat Malaysia faham dan bersatu untuk bergerak mencapai matlamat itu. Tidak lama dahulu, mereka tidak maju. Tetapi sekarang, mereka berjaya menjadi antara negara yang membangun di alam ini. Hal ini kerana mereka mempunyai perancangan dan matlamat yang jelas, untuk mengubah diri mereka. Mereka kemas, berwawasan, beradab, bersatu. Kita warga Jordan sepatutnya mencontohi Malaysia dan membuat perancangan kita. Di mana perancangan kita?”


Itu yang saya terjemahkan mengikut makna la. Kata-katanya secara kalimah per kalimah sudah saya lupa.


Dan perlu diingat, kata-kata ini bukan disebut di dalam dewan kuliah yang hanya menempatkan 75 orang – 100 orang. Tetapi kata-kata ini dilaungkan di atas mimbar yang paling terkenal di Irbid, di Masjid Universiti Yarmouk yang paling menjadi tumpuan ramai orang di daerah Irbid Jordan.


Selepas usai solat Jumaat, ramai orang memandang pelajar-pelajar Malaysia. Ada yang bersalaman dan menyambung pujian. Lebih-lebih lagi mereka yang pernah belajar atau mempunyai saudara-mara di Malaysia. Bagi yang tidak pernah melihat Malaysia pun akan menepuk dan memuji. Kagum dengan pencapaian Malaysia yang didengari mereka tadi.


Pandangan masyarakat arab amnya


Guru saya, Dr Muhammad Faleh, antara ulama’ dari mazhab As-Syafi’e yang terkenal di Jordan pernah memujid pelajar Malaysia yang berjaya menjawab soalannya dengan berkata:


“Orang Malaysialah yang akan menjatuhkan Yahudi, meruntuhkan Israel dan mengembalikan Palestin”


Malaysia di Jordan memang terkenal lebih-lebih lagi pada orang akademik. Pensyarah-pensyarah di Yarmouk yang pernah datang, atau belajar di Malaysia akan amat mengihtiram pelajar-pelajar melayu kerana kekaguman mereka pada Malaysia. Mereka semua merasakan betapa Malaysia itu adalah negara Islam contoh kepada semua.


Memang kalau dikira dari aspek pembangunan, Jordan ketinggalan sekitar 10 tahun daripada Malaysia. Sebab itu, Malaysia, negara Islam yang kecil dan dahulunya langsung tidak pernah didengari, dapat meningkat naik dalam masa sekitar beberapa dekad adalah amat mengkagumkan. Lebih-lebih lagi, Malaysia bukan negara berbangsa arab.


Pandangan mereka, kepercayaan mereka


Saya yang mendengar khutbah Dr Jamal, tersenyum-senyum. Namun, di dalam selitan rasa kagum, saya mengingatkan diri saya untuk menghargai pandangan mereka yang merupakan satu kepercayaan itu.


Ya, mereka mempercayai kita. Ya, mereka tidak melihat sisi-sisi buruk yang kita ada.


Saya tidak akan memilih untuk melemahkan diri kita dengan berkata:


“Ala, diorang tak tengok lagi mat rempit kita, yang kena tangkap khalwat dan sebagainya”


Tetapi saya memilih untuk meletakkan kepercayaan masyarakat arab ini di dalam jiwa saya. Satu kata-kata saya – Jangan Khianati Kepercayaan Mereka. Di situ, kepercayaan mereka menjadi antara pacuan saya untuk mengubah diri dan mempertingkatkan diri pada tahap yang lebih baik. Sebab saya tahu, pujian itu tidak layak sebenarnya untuk kita. Terlalu melambung. Namun, bukanlah mustahil untuk merealisasikannya.


Maka, kita perlu bergerak merealitikan kepercayaan mereka.


Tidakkah cukup untuk menyatakan bahawa kita ini pengkhianat, jika ada sekumpulan masyarakat mempercayai kita dan kita menghancurkan harapan mereka dengan merosakkan diri kita?


Pesanan kepada kalian di Malaysia


Pesanan saya, ketahuilah ada masyarakat yang meletakkan harapan tinggi kepada anda. Ketahuilah ada masyarakat yang mempercayai anda. Apakah pantas kkita mewarnai kepercayaan-kepercayaan ini dengan sikap buruk kita, sikap tidak ambil endah kita, sikap rosak akhlak kita?


Kalau di Jordan, berita kemajuan sampai. Tahukah di Korea, berita apa yang sampai berkenaan Malaysia?


Berita rakyat Malaysia ditangkap khalwat. Keluar dalam surat khabar terkenal Korea. Sudahlah negara Korea bukannya negara Islam.


Saya tidak bersetuju sangat melekatkan Islam pada bangsa. Tetapi dunia sekarang memandang begini – Malaysia=Negara Islam. Melayu=Orang Islam. Kalau saya tidak setuju pun, dunia tetap memandang begitu. Dan saya tidak anggap ini satu tasyrif(kemuliaan). Saya anggap ini satu taklif(tanggungjawab).


Maka adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga nama baik negara kita, diri kita, untuk menjaga nama baik Islam yang wujud pada diri kita.


Adakah pantas wahai rakyat Malaysia, sedang dunia melihat kepada anda, dan anda mencemarkan bukan sahaja diri anda, tetapi nama baik keluarga anda, imej bersih negara anda, dan sekaligus mengheret kesempurnaan agama anda dalam lumpur yang busuk?


Sekarang saya bertanya kepada diri saya dan anda.


Sudah di tahap manakah kita?


Ketahuilah, kemajuan material sahaja tidak cukup untuk mengisi kehidupan manusia dengan baik. Kemajuan material itu perlu dipandukan oleh manusia-manusia yang mempunyai komposit rohani yang stabil. Barulah kemajuan material itu boleh bergerak dengan sepenuh potensinya, dan membawa kebaikan kepada penggunanya.


Sudah di tahap manakah kerohanian kita?


Penutup: Jangan rosakkan kepercayaan manusia kepada anda



Jangan. Ketahuilah bahawa ini adalah tanggungjawab. Pujian hanya datang dalam tiga bentuk sahaja. Memuji untuk menyindir, memuji untuk menghancurkan, memuji kerana mempercayai. Dan saya tidak rasa Dr Jamal memuji Malaysia untuk menyindirnya. Juga tidak logik bagi Dr Jamal untuk memuji Malaysia di tengah orang ramai hanya untuk menghancurkan pemimpin-pemimpinnya(biar tenggelam dalam riak, takabbur dan bongkak). Jelas bahawa, Dr Jamal memuji Malaysia kerana mempercayainya, dan merasakan bahawa Malaysia adalah negara Islam contoh kepada semua.


Maka, di mana kita dalam merealisasikan kepercayaan seorang arab, suku sakat Rasulullah SAW dan para sahabat, penduduk bumi anbiya dan pakar pula dalam ayat-ayat Allah SWT. Di mana kita dalam merealisasikan kepercayaannya?


Di mana kita?


Wahai rakyat Malaysia, di mana kita?


Jangan sesekali anda merosakkan kepercayaan manusia kepada anda.


Sebab mereka amat mempercayai anda kerana Islam yang ada pada anda.


Jika tidak, saya yakin Dr Jamal akan mengambil contoh Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya.


Jangan anda jadi fitnah kepada Islam, dengan merosakkan kepercayaan mereka ini.


Semoga bermanfaat...insya Allah.

0 comments: