Thursday, May 14, 2009
Bukan Tempat Cari Jantan
Posted by
IMAN - PKPMICB
“Hasrizal”, pensyarah menyebut nama saya.
“Ya, saya!”, saya menjawab.
“Munawwar!”, beliau terus mencatat kedatangan.
“Ya, saya”, balas teman saya di sebelah.
Sudah menjadi rutin, di awal kelas, Dr. Mustafa Abu Zaid akan mencatat kehadiran pelajar. Satu demi satu nama dipanggil. Inilah bagusnya sistem di Jordan, kehadiran ke kelas adalah wajib. Enam atau empat kali ponteng, akan di’haram’kan masuk ke kelas.
Malas macam mana sekali pun, sistem pengajian di Jordan akan memaksa pelajar supaya lebih berdisiplin. Mana mungkin boleh menjadi thalib al-ilm, jika proses pengajian di kelas jadi sampingan.
Semester ini kami mengambil subjek Aqidah III bersama Dr. Mustafa Abu Zaid.
GANGGUAN
Tiba-tiba, “PANGG!”
Terperanjat kami sekelas dibuatnya. Dr Mustafa Abu Zaid menghempas failnya ke atas meja.
“Siapa yang pakai minyak wangi tadi???”, bentak beliau.
Rupa-rupanya ada dua orang pelajar perempuan yang baru masuk ke kelas. Mereka memakai minyak wangi yang agak kuat baunya hingga dikesan oleh Dr. Mustafa.
“Allah! Habis la kita hari ni”, saya berbisik kepada Munawwar di sebelah.
Memang menjadi suatu pantang yang amat sangat bagi Dr. Mustafa Abu Zaid jika ada pelajar perempuan yang bertabarruj ke kelas. Apatah lagi minyak wangi, oleh pelajar Syariah.
Beliau memetik hadith Nabi Sallallahu ‘alayhi wa Sallam:
“Apabila seorang perempuan memakai minyak wangi dan kemudian melintasi sekumpulan manusia dengan maksud untuk mereka itu menghidu wangiannya, maka perempuan itu adalah penzina. Dan setiap mata itu adalah penzina jua” [Hadith riwayat al-Nasaa'ie, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban]
“Universiti adalah tempat kamu mencari ilmu, bukan mencari jantan. Kalau mahu mencari jantan, berambus kamu ke pasar”, marah benar Dr. Mustafa Abu Zaid pagi itu.
Beliau amat sedih dengan gelagat pelajar di universiti. Jordan, terutamanya di kawasan pedalaman seperti di pekan Mu’tah, umumnya masih terjaga. Apatah lagi universiti kami ini terletak bersebelahan dengan Medan Mu’tah, tempat berlakunya pertempuran tentera Islam hingga menumpahkan darah syuhada’ seperti Jaafar ibn Abi Thalib, Zaid ibn Harithah dan Abdullah ibn Rawahah, radhiyallahu ‘anhum ajma’een.
Tetapi kerenah pelajar di universiti amat menyedihkan. Pergaulan bebas dengan pakaian yang menjolok mata, amat mengganggu pemandangan.
“Kuliah Syariah pula diletakkan jauh di belakang. Untuk ke kelas, terpaksa menempuh Fakulti Undang-undang, Sains dan Kejuruteraan. Di rumah hafal satu surah, sampai fakulti, lupa sepuluh surah!”, saya berbisik ke Munawwar di sebelah.
“Universiti ini amat buruk kelakuan pelajarnya. Tetapi saya tidak boleh terima jika pelajar Syariah pun sama. Tidak boleh memakai minyak wangi untuk menarik perhatian atau hingga menarik perhatian. Itu perlakuan zina. Kamu balik ke rumah dan mandi wajib…. kamu tahu Nabi Muhammad SAW pernah memberi amaran begitu?”, Dr. Mustafa meneruskan tegurannya.
Sok sek sok sek!
Kami mendengar bunyi tangisan seorang pelajar perempuan di bahagian belakang kelas. Tidak berani untuk menoleh ke belakang.
“Kalau takut busuk, jaga kebersihan. Bukan dengan berwangi-wangian. Sudah, hari ini tiada kelas. Kita ganti semula kemudian. Saya tidak boleh mengajar dalam keadaan seperti ini. Bersurai semua”, tegas Dr. Mustafa.
Aduh! Rugi satu kelas.
“Hah, apa lagi? Bangun!!!”, Dr. Mustafa menyergah kami, pelajar lelaki yang masih tercegat di bangku masing-masing.
Sebenarnya, kami terus duduk kerana mahu mengesan siapakah pelajar perempuan yang dimarahi tadi. Tetapi Dr. Mustafa lebih cepat mengecam ‘niat jahat’ kami lalu menghalau semua pelajar lelaki agar terlebih dahulu meninggalkan bilik kuliah. Kami segera bangun hingga ada yang tercicir pen di lantai.
KEBEBASAN
Universiti adalah ‘gelanggang merdeka’ untuk pelajar-pelajar bebas dari peraturan. Tiada lagi ibu bapa, tiada lagi pengawas yang menjadi ‘kaki retot’ di sekolah. Tiada lagi warden untuk menyergah asrama. Kebebasan itulah yang menjahanamkan jati diri kebanyakan pelajar.
Seperti layang-layang yang memutuskan tali. Alasannya mahu terbang tinggi, rupa-rupanya sesat dirempuh taufan sampai jatuh binasa ke bumi.
Hingga ramai yang terlupa bahawa universiti tempat mencari ilmu, bukan jantan bukan betina!
Al-Jaami’ah, wa maa adraaka maa al-Jaami’ah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Komen Amad : Sudah tiga article dari Ustaz Hasrizal saya kongsi sama dengan sahabat-sahabat. Ia antara article-article terbaik dari dia.Sama-sama kita ambil pengajaran dari article tersebut. Jadikan UNPAD tempat mencari ilmu bukan JANTAN mahupun BETINA.
.: Ini Amad Pesan :.
3 comments:
x boleh eek?? huu tpkn.. siapa je yg kita nk tarik p'hatian dia kat sini? muka sama tgk 6 thn.. meeeeh.. :p
Jahar-Jika ikut kata Nabi,rasanya tidak boleh.Siapa sangka yang 6 tahun tiada apa-apa.Pabila berulang-ulang ikan ditayang didepan kucing,awal-awal kucing senyum je.Lama-lama dia terkam... meowwww
Post a Comment