Saturday, January 16, 2010

Bismillahirrahmanirrahim.

Ini sedikit perkongsian. Di ambil dari blog saudara Hilal Asyraf yang sedang menuntut di Timur Tengah. Bolehlah bertemu dengan beliau dengan klik di sini.


Ini cerita seminggu lepas. Pada hari Jumaat yang lalu, Dr Jamal, pensyarah yang mendalami ilmu Al-Quran di dalam University of Yarmouk, Irbid, Jordan telah menjadi khatib di Masjid Universiti Yarmouk.


Beliau membicarakan perihal ummah dan masa hadapan masyarakat Islam dalam mengharungi kehidupan masa kini. Diceritakan kelemahan dan juga kekurangan yang menghinggapi ummah di dalam khutbahnya.


Kemudian dia menyebut negara Islam yang patut dijadikan contoh.


Dan dia menyebut Malaysia.


Bersama wawasan 2020.


Kata seorang arab kepada kita


Apa kata Dr Jamal?


Lebih kurang, kata-katanya begini:


“Mari kita lihat satu negara Islam contoh yang membangun, itulah dia Malaysia. Negaranya maju dan membangun, kemas dan teratur, bersih. Malaysia mempunyai wawasan untuk menjadi negara yang hebat pada 2020. Kalau kamu bertanya kepada rakyatnya, hatta anak-anak kecil dan pemandu teksi, semuanya memahami wawasan 2020 itu. Kita lihat di sini, semua rakyat Malaysia faham dan bersatu untuk bergerak mencapai matlamat itu. Tidak lama dahulu, mereka tidak maju. Tetapi sekarang, mereka berjaya menjadi antara negara yang membangun di alam ini. Hal ini kerana mereka mempunyai perancangan dan matlamat yang jelas, untuk mengubah diri mereka. Mereka kemas, berwawasan, beradab, bersatu. Kita warga Jordan sepatutnya mencontohi Malaysia dan membuat perancangan kita. Di mana perancangan kita?”


Itu yang saya terjemahkan mengikut makna la. Kata-katanya secara kalimah per kalimah sudah saya lupa.


Dan perlu diingat, kata-kata ini bukan disebut di dalam dewan kuliah yang hanya menempatkan 75 orang – 100 orang. Tetapi kata-kata ini dilaungkan di atas mimbar yang paling terkenal di Irbid, di Masjid Universiti Yarmouk yang paling menjadi tumpuan ramai orang di daerah Irbid Jordan.


Selepas usai solat Jumaat, ramai orang memandang pelajar-pelajar Malaysia. Ada yang bersalaman dan menyambung pujian. Lebih-lebih lagi mereka yang pernah belajar atau mempunyai saudara-mara di Malaysia. Bagi yang tidak pernah melihat Malaysia pun akan menepuk dan memuji. Kagum dengan pencapaian Malaysia yang didengari mereka tadi.


Pandangan masyarakat arab amnya


Guru saya, Dr Muhammad Faleh, antara ulama’ dari mazhab As-Syafi’e yang terkenal di Jordan pernah memujid pelajar Malaysia yang berjaya menjawab soalannya dengan berkata:


“Orang Malaysialah yang akan menjatuhkan Yahudi, meruntuhkan Israel dan mengembalikan Palestin”


Malaysia di Jordan memang terkenal lebih-lebih lagi pada orang akademik. Pensyarah-pensyarah di Yarmouk yang pernah datang, atau belajar di Malaysia akan amat mengihtiram pelajar-pelajar melayu kerana kekaguman mereka pada Malaysia. Mereka semua merasakan betapa Malaysia itu adalah negara Islam contoh kepada semua.


Memang kalau dikira dari aspek pembangunan, Jordan ketinggalan sekitar 10 tahun daripada Malaysia. Sebab itu, Malaysia, negara Islam yang kecil dan dahulunya langsung tidak pernah didengari, dapat meningkat naik dalam masa sekitar beberapa dekad adalah amat mengkagumkan. Lebih-lebih lagi, Malaysia bukan negara berbangsa arab.


Pandangan mereka, kepercayaan mereka


Saya yang mendengar khutbah Dr Jamal, tersenyum-senyum. Namun, di dalam selitan rasa kagum, saya mengingatkan diri saya untuk menghargai pandangan mereka yang merupakan satu kepercayaan itu.


Ya, mereka mempercayai kita. Ya, mereka tidak melihat sisi-sisi buruk yang kita ada.


Saya tidak akan memilih untuk melemahkan diri kita dengan berkata:


“Ala, diorang tak tengok lagi mat rempit kita, yang kena tangkap khalwat dan sebagainya”


Tetapi saya memilih untuk meletakkan kepercayaan masyarakat arab ini di dalam jiwa saya. Satu kata-kata saya – Jangan Khianati Kepercayaan Mereka. Di situ, kepercayaan mereka menjadi antara pacuan saya untuk mengubah diri dan mempertingkatkan diri pada tahap yang lebih baik. Sebab saya tahu, pujian itu tidak layak sebenarnya untuk kita. Terlalu melambung. Namun, bukanlah mustahil untuk merealisasikannya.


Maka, kita perlu bergerak merealitikan kepercayaan mereka.


Tidakkah cukup untuk menyatakan bahawa kita ini pengkhianat, jika ada sekumpulan masyarakat mempercayai kita dan kita menghancurkan harapan mereka dengan merosakkan diri kita?


Pesanan kepada kalian di Malaysia


Pesanan saya, ketahuilah ada masyarakat yang meletakkan harapan tinggi kepada anda. Ketahuilah ada masyarakat yang mempercayai anda. Apakah pantas kkita mewarnai kepercayaan-kepercayaan ini dengan sikap buruk kita, sikap tidak ambil endah kita, sikap rosak akhlak kita?


Kalau di Jordan, berita kemajuan sampai. Tahukah di Korea, berita apa yang sampai berkenaan Malaysia?


Berita rakyat Malaysia ditangkap khalwat. Keluar dalam surat khabar terkenal Korea. Sudahlah negara Korea bukannya negara Islam.


Saya tidak bersetuju sangat melekatkan Islam pada bangsa. Tetapi dunia sekarang memandang begini – Malaysia=Negara Islam. Melayu=Orang Islam. Kalau saya tidak setuju pun, dunia tetap memandang begitu. Dan saya tidak anggap ini satu tasyrif(kemuliaan). Saya anggap ini satu taklif(tanggungjawab).


Maka adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga nama baik negara kita, diri kita, untuk menjaga nama baik Islam yang wujud pada diri kita.


Adakah pantas wahai rakyat Malaysia, sedang dunia melihat kepada anda, dan anda mencemarkan bukan sahaja diri anda, tetapi nama baik keluarga anda, imej bersih negara anda, dan sekaligus mengheret kesempurnaan agama anda dalam lumpur yang busuk?


Sekarang saya bertanya kepada diri saya dan anda.


Sudah di tahap manakah kita?


Ketahuilah, kemajuan material sahaja tidak cukup untuk mengisi kehidupan manusia dengan baik. Kemajuan material itu perlu dipandukan oleh manusia-manusia yang mempunyai komposit rohani yang stabil. Barulah kemajuan material itu boleh bergerak dengan sepenuh potensinya, dan membawa kebaikan kepada penggunanya.


Sudah di tahap manakah kerohanian kita?


Penutup: Jangan rosakkan kepercayaan manusia kepada anda



Jangan. Ketahuilah bahawa ini adalah tanggungjawab. Pujian hanya datang dalam tiga bentuk sahaja. Memuji untuk menyindir, memuji untuk menghancurkan, memuji kerana mempercayai. Dan saya tidak rasa Dr Jamal memuji Malaysia untuk menyindirnya. Juga tidak logik bagi Dr Jamal untuk memuji Malaysia di tengah orang ramai hanya untuk menghancurkan pemimpin-pemimpinnya(biar tenggelam dalam riak, takabbur dan bongkak). Jelas bahawa, Dr Jamal memuji Malaysia kerana mempercayainya, dan merasakan bahawa Malaysia adalah negara Islam contoh kepada semua.


Maka, di mana kita dalam merealisasikan kepercayaan seorang arab, suku sakat Rasulullah SAW dan para sahabat, penduduk bumi anbiya dan pakar pula dalam ayat-ayat Allah SWT. Di mana kita dalam merealisasikan kepercayaannya?


Di mana kita?


Wahai rakyat Malaysia, di mana kita?


Jangan sesekali anda merosakkan kepercayaan manusia kepada anda.


Sebab mereka amat mempercayai anda kerana Islam yang ada pada anda.


Jika tidak, saya yakin Dr Jamal akan mengambil contoh Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya.


Jangan anda jadi fitnah kepada Islam, dengan merosakkan kepercayaan mereka ini.


Semoga bermanfaat...insya Allah.

Thursday, January 14, 2010

Allah

Bismillahirrahmanirrahim

Sekarang ini pasti tiada yang ketinggalan dengan berita di tanah air kita tentang isu penggunaan Allah di gereja-gereja. Dan menyedihkan lagi, ada pula individu-individu ataupun kumpulan yang bertindak agresif di dalam menghadapi isu ini. Terdapat pelbagai pandangan yang timbul dari segenap masyarakat. Di sini kami ingin menyelitkan pandangan-pandangan yang dapat kami ambil dari ruangan internet ini.

Isu kalimah ‘Allah’ kembali mendapat perhatian umum semenjak keputusan mahkamah untuk membenarkan majalah ‘The Christian Herald’ menggunakannya. Ada yang menyatakan saya menyokong malah menggalakkan penggunaan perkataan Allah oleh masyarakat Kristian. Sebenarnya kenyataan tersebut tidak benar. Saya tidak menyokong ataupun menggalakkannya. Saya sekadar menyatakan bahawa penggunaan kalimah tersebut oleh masyarakat bukan Islam merupakan satu perkara yang diharuskan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan kebiasaan masyarakat antarabangsa, khususnya masyarakat Arab.

Kenyataan saya sebelum ini merupakan ‘a statement of fact’ atau satu kenyataan fakta dan soal saya menyokong atau menggalakkannya tidak timbul sama sekali. Ianya dipohon bukan oleh saya tetapi oleh sebahagian masyarakat Kristian tanpa apa-apa dorongan dari saya. Namun, apabila saya ditanya, saya menyatakan fakta bahawa pada dasarnya tiada halangan untuk orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah kerana sudahpun digunakan di banyak negara dan diperakui oleh Al-Quran sendiri. Hujjah-hujjah berhubung persoalan ini telahpun saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini.

Apa yang saya hendak tegaskan di sini ialah bahawa yang menentukan Islam atau tidak Islam bukan dengan penggunaan kalimah Allah tetapi kefahaman terhadap Allah sebagai Tuhan yang Esa. Ini disebut sebagai konsep ‘Tauhid’. Itulah sebabnya mengapa apabila seseorang memeluk agama Islam dia mengucap “Aku naik saksi tiada tuhan (yang disembah) melainkan Allah”. Ini bahagian pertama dari dua kalimah syahaadah. Ucapan ini berbentuk penafian dan penolakkan akan wujudnya tuhan-tuhan lain selain Allah. Ianya bukan sekadar mengatakan “Allah adalah Tuhan” tetapi lebih dari itu ia juga menolak wujudnya tuhan-tuhan lain. Kalau kita perhati dan fikirkan sejenak dengan mata hati, maka kita akan memahami sebabnya.

Masyarakat Jahilliyah pada zaman Rasulullah (SAW) memang percaya pada Allah. Namun mereka juga percaya pada tuhan-tuhan rekaan mereka sendiri yang mereka dakwa adalah anak pada Allah atau pengantara di antara manusia dan Allah. Termasuk di dalam kategori tuhan-tuhan palsu ini adalah Al-Latta wal Uzza dan beratus-ratus lagi tuhan yang mereka letakkan di keliling Kaabah pada masa itu.

Di antara bukti bahawa masyarakat Jahilliyah menggunakan kalimah Allah adalah dalam kisah surat perjanjian pemulauan kaum Bani Hashim oleh kaum Quraisy di mana akhirnya surat perjanjian tersebut telah habis dimakan serangga. Yang tinggal hanya mukaddimah surat tersebut yang berbunyi, “BismikaLlahhumma” atau ‘Dengan namamu Allah, Tuhan kami’.

Walaupun kaum Musyrikin zaman Nabi (SAW) percaya pada Allah dan menggunakan kalimah ‘Allah’, ini tidak bermakna mereka telah Muslim. Mereka tetap kafir musyrik walaupun mereka percaya kepada Allah dan menggunakan kalimat ‘Allah’. Yang menjadikan mereka musyrik adalah kerana mereka mensyirikkan Allah dengan mengadakan tuhan-tuhan lain yang turut disembah.

Itulah sebabnya apabila seseorang memeluk agama Islam dia menegaskan keEsaan Allah. Dia menegaskan keEsaan Allah supaya membezakan pendiriannya dari mereka yang mengatakan Allah mempunyai anak dan sekutu. Kepercayaannya terhadap keEsaan Allah yang menjadikannya Muslim bukan kepercayaannya terhadap wujudnya Allah semata-mata.

Begitu jugalah keadaannya berhubung golongan Ahlul-Kitab ia itu Yahudi dan Nasrani. Konsep Trinity pegangan orang-orang Nasrani telah pun wujud pada zaman Rasulullah (SAW). Walaupun mereka turut menggunakan kalimah ‘Allah’, tetapi kepercayaan ummat Islam dibezakan dari kepercayaan mereka melalui konsep keEsaan Allah yang dibawa Islam. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menegur kesesatan kepercayaan orang Nasrani yang mendakwa Isa (AS) sebagai anak Allah dan Allah sebagai satu dari tiga. Ini semua ditegur walaupun pada masa yang sama orang Nasrani terus menggunakan kalimah Allah. Di antara ayat-ayat ini adalah Ayat 72 dan 73 Surah Al-Maidah di mana Allah berfirman,


“Telah menjadi kafir mereka yang menyatakan sesungguhnya Allah adalah Al-Masih anak Mariam…” (ayat 72)

“Telah menjadi kafir mereka yang menyatakan sesungguhnya Allah adalah yang ke-tiga dari tiga...”

Dalam kedua-dua ayat ini tidak dapat dinafikan bahawa kaum Nasrani atau Kristian menggunakan kalimah Allah tetapi kepercayaan mereka yang menolak keEsaan Allah menjadikan mereka kafir. Tiada kutukan dari Allah terhadap penggunaan kalimah Allah oleh mereka.

Andaian bahawa orang Nasrani sekarang berpegang kepada konsep Triniti dan orang Nasrani pada zaman Rasulullah tidak dan oleh itu mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah adalah tidak berasas. Ini jelas dari ayat-ayat tersebut yang diturunkan pada masa itu dan menegur kepercayaan orang Nasrani pada masa itu.

Konsep Tauhid yang menentukan seseorang itu Muslim atau sebaliknya. Inilah pada dasarnya yang membezakan Islam dengan agama yang lain. Namun, tidak juga mencukupi dengan hanya itu. Ada juga satu aspek lagi dalam kalimah syahadah ummat Islam yang bererti “Aku naik saksi Muhammad Rasul Allah”. Oleh itu, kalau ada sekalipun golongan yang mengEsakan Allah tetapi menolak keRasulan Nabi Muhammad (SAW), dia tetap bukan seorang Muslim. Termasuk dalam golongan ini kumpulan Qadiayani dan mungkin juga Sikh dan Yahudi.

Berdasarkan penghujahan yang dibentangkan di atas, jelas bahawa masalah kalimah Allah yang ingin digunakan oleh bukan Islam adalah masalah yang diada-adakan. Yang membeza Islam dan bukan Islam adalah konsep Tauhid dan keRasulan Nabi Muhammad (SAW) bukan kalimah Allah. Ini sebenarnya perkara asas dan wajib difahami oleh semua ummat Islam. Dengan kefahaman ini mereka mampu menangkis segala usaha untuk mengelirukan mereka (sekiranya ada) dengan penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam. Tanpa kefahaman ini, hakikatnya mereka sudah pun berada di dalam kekeliruan walaupun tiada pihak lain yang menggunakan kalimah ‘Allah’.

Dari sudut dakwah Islamiah, sekiranya orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah maka ia memudahkan kita berdakwah kepada mereka. Melalui penggunaan kalimah yang sama ini, iaitu ‘Allah’ kita sudah mempunyai titik pertemuan dari mana untuk bertolak. Ini di dalam Al-Quran diistilahkan sebagai “ila kalimatin sawaain” atau ‘kepada kalimah yang sama’ dan metodologi dakwah sebegini yang telah digunakan oleh Rasulullah (SAW) berdasarkan perintah Allah yang terdapat di dalam Surah Al-Maidah ayat 64.


“Katakan (Wahai Muhammad); Wahai Ahli Kitab, marilah kepada kalimah yang sama di antara kami dan di antara kamu, iaitu kita tidak menyembah selain Allah dan janganlah kita mensyirikkanNya dengan sesuatu…”

Hakikat bahawa hanya ada satu Tuhan yang sama ditegaskan lagi dalam Surah Al-Ankabut ayat 46 yang bermaksud ;


“Dan jangan berhujah dengan golongan Ahli Kitab kecuali dengan cara yang terbaik dan jangan (berhujjah sama sekali) dengan yang Zalim di kalangan mereka. Dan katakan, Kami beriman dengan apa yang telah diturunkan kepada kami dan apa yang telah diturunkan kepada kamu, dan tuhan kami dan tuhan kamu adalah satu, dan kami berserah kepadaNya.”

Sebenarnya isu ini merupakan sesuatu yang menguntungkan ummat Islam. Ia mampu menjelaskan kepercayaan Tauhid yang dibawa Islam di kalangan ummat Islam dan bukan Islam. Sambil itu ia membuka pintu dakwah kepada golongan bukan Islam, khususnya golongan ahli kitab.

Namun ianya sengaja dikelirukan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik mereka, untuk mencari titik perbalahan menakutkan ummat Islam dan mengelirukan ummat Islam dengan lebih lagi. Melalui kekeliruan ini mereka akan terus berkuasa, kerana rakyat yang keliru mudah ditipu dan dikuasai.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Ps: Marilah kita buka hati dalam menilai isu-isu sensitif ini.
Pss: diambil dari facebook dr. lo'lo'

Wednesday, December 23, 2009

MAJLIS IFTAR 'ASYURA 1431 H

Assalamualaikum & Salam Mahabbah buat semua...


Bersempena 10 Muharam, insya-Allah IMAN akan mengadakan Majlis Iftar 'Asyura & Tazkirah pada:~


Tarikh : 27/12/09 (Ahad)

Tempat : Aula Bale 4, UNPAD.



Tentatif :


5.30 pm - kedatangan & tayangan video
6.05 pm - buka puasa
6.30 pm - solat Maghrib


6.45 pm - tazkirah "Transformasi Diri : Ke Arah Yang Lebih Baik" by Akh Mohsein
7.30 pm - solat Isya'
7.45 pm - bersurai



Bayaran makanan : Rp7000




Nama dan bayaran boleh dilakukan terus kepada wakil-wakil:



- Nur Fatihah 06
- Nurul Aiman 07
- Siti Hasmah 08
- Mahirah 09
- Hadi TWP07
- Wan TWP08
- Nina FKG
- Azizul Farmacy



~~~~~~~~~~~~~~~~~~



**Semua muslimin/muslimat dijemput hadir~




**Jom sama-sama kita berpuasa pada 9 Muharam (Tasu'a) & 10 Muharam ('Asyura) atau 10 & 11 Muharam..Moga ibadah kita hanya keranaNya dan diterima Allah sebagai penambah berat timbangan kebajikan di SANA kelak..ameen~



"Berpuasalah kalian pada hari 'Asyura (10 Muharam), bezakanlah dengan orang2 Yahudi & berpuasalah sehari sebelum 'Asyura (9 Muharam:Tasu'a) atau sesudahnya (11 Muharam).."



[HR Imam Ahmad]



**Berpuasalah kalian..dekatkanlah diri kepadaNya..moga kita menjadi hambaNya yg lebih baik~


Rasulullah pernah berdoa,


"Ku memohon kpd Allah SWT agar puasa 'Asyura menutupi kesalahan lalu dan tahun yg akan datang.."[HR Muslim]






**Selamat Menyambut tahun baru 1431 H. Semoga kita sama2 menjadi lebih baik dari segenap sudut..


Wednesday, December 9, 2009

Kursus Pengurusan Jenazah


Menguruskan jenazah adalah satu perkara yang tidak boleh kita ambil ringan...

Kerana ia merupakan fardu kifayah bagi kita sebagai umat Islam...


Namun sayangnya, tak ramai antara kita yang tahu cara-cara mengerjakannya, padahal kematian orang disekeliling kita kan tiba tak tentu bila...

Bayangkanlah jika jenazah itu merupakan orang yang kita sayang, adakah anda hanya mau berdiri termangu saat yang lain menguruskan jenazah?

Adakah anda ingin terus dalam kancah ketidaktahuan?

PASTI TIDAK, BUKAN?!


Maka dengan itu, IMAN menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah sebagai kesempatan untuk menimba ilmu berkaitan pengurusan jenazah, dari cara memandikan hingga mensolatkan jenazah.

Kursus ini akan diadakan selama dua hari@ dua bahagian,


1)17 Disember 2009 (Khamis)

Tempat: A3.3 Teater
Masa: 7.00-9.00 malam
Program: Ceramah, Tayangan Video dan Persembahan VOU

2)18 Disember 2009 (Jumaat)

Tempat: Masjid As-Syifaa & A3.3 Teater
Masa: 7.30 pagi - 2.30 petang (InsyaAllah)
Program: Teori dan Praktikal Cara Pengurusan Jenazah + Sesi Soal Jawab

Kursus ini terbuka kepada semua pelajar UNPAD.

Sijil pernyertaan akan diberikan kepada semua peserta.

Sila daftarkan diri kepada wakil angkatan masing-masing dan bayaran yang dikenakan adalah Rp 15.000 (termasuk makanan).

Untuk praktikal, ia akan dijalankan secara berasingan antara peserta lelaki dan perempuan.


Sebarang pertanyaan dan kemusykilan boleh diajukan ke:


Akmal (FK08) - 081910590364

Suhailah (FK08) - 081910590583


Marilah kita memahami kehendak fardu kifayah ini, moga-moga ianya dapat menjadi penyambung kesempurnaan dalam pengamalan syariat agama. InsyaAllah.

Monday, November 30, 2009

AL-QURAN VS. BIBLE: which is from God?

dengan nama Allah yang Maha pengasih dan Penyayang..

Alhamdulillah,
atas permintaan sahabat yang melawati blog ini,
saya terpanggil untuk mengepost
artikel berkaitan taalim yang diadakan
di bale 4 (asrama pelajar) baru-baru ini..

mungkin saya bukanlah pakarnya,
dan saya berharap ada yang akan menambah dan membetulkan
jika ada salah dan silap dari post saya ini..
sebarang soal jawab amatlah digalakkan..


AL-QURAN VS. BIBLE : which is from God?

untuk mengetahui kebenaran sesuatu perkara,
kita haruslah mempunyai bukti yang menunjukkan
apa yang kita pegang itu benar,
dan yang lainnya adalah salah..
seperti membuat timbang tara di dalam pertandingan debat,
atau melakukan differential diagnosis bagi seorang doktor
yang cuba mencari punca penyakit pesakitnya..

kita tidak boleh sewenang-wenangnya
mengatakan bahawa islam itu benar!
dan Al-Quran itu confirm dari Allah, dan kitab yang lain itu salah..

melainkan dengan bukti atau dalil yang jelas dan nyata..

jadi,
berdasarkan pernyataan di atas,
apa yang harus kita lakukan?

1. buktikan islam sebagai agama yang benar
2. buktikan agama lain salah (bukan dari tuhan)

mengapa hanya Al-Quran dan bible?
bukan kitab-kitab hindu?
dan bukan juga buku panduan kaum buddha?

baik,
pertamanya..
ciri yang kita pilih,
untuk dijadikan sebagai bahan yang akan digunakan
untuk menjalankan diagnosis kita adalah

-acessible
-reproducible


reproducible maksudnya boleh dibuktikan semula.
bukan di'produce' semula.
contoh : tongkat nabi musa.
kalau ia masih wujud lagi sekarang,
kita tak akan dapat menukarkan tongkat tu menjadi ular semula
(not reproducible even kita yakin dengan benar bahawa itu adalah mukjizat nabi musa)

tapi Al-Quran tidak..
ia boleh dibuktikan (ilmu hukum/science)
sampai bila2 selagi dunia belum qiamat.

accessible pula maksudnya boleh didapati,
boleh dilihat,
boleh dipegang,
dan boleh dirujuk.

dan Al-Quran juga memenuhi
karakteristik ini..

tetapi kitab hindu dan buddha
amat sukar didapati..
tanyalah pada kebanyakkan masyarakat hindu sendiri,
mungkin mereka juga belum pernah melihat dan membaca kitab mereka..

kita mulakan perbandingan kita antara AQ dan Bible..
dengan mudah dan ringkas sahaja..


sejarah Al-Quran


antara amalan yang biasa dilakukan
dengan al-quran sejak dari zaman nabi Muhammad SAW
adalah menulis, menghafalnya dan mengulang-ulang hafalannya
sama ada dalam solat, atau sebagai zikir harian..

Al-Quran yang ditulis di atas dedaun pohon tamar,
kulit binatang dan lain-lain semuanya di kumpulkan dan dijaga
sehinggalah apabila Rasulullah SAW sudah wafat,
ia dibukukan dan di samakan sebagai resam uthmani
pada zaman pemerintahan saidina Uthman
(tidak lama setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW)..

sehingga sekarang,
percetakan Al-Quran amat dijaga
oleh pihak yang bertanggungjawab di saudi..
sehingga sangat sangat sangat mustahil berlakunya
kesalahan dalam Al-Quran yang ada di tangan kita sekarang.


sejarah bible


bible bermaksud himpunan buku..
dimana ia terdiri daripada gabungan old testament yang dikatakan taurat
dan new testament yang dikatakan injil..
ia juga menghimpunkan surat-surat atau tulisan father atau paderi kristian..

menurut kajian,
old testament mula ditulis 1300 SM (sebelum kelahiran nabi Isa A.S)
dan keseluruhan bible mula disalin kira-kira 300-400 tahun setelah
nabi isa 'diangkat' dari bumi..

satu jangka masa yang amat panjang,
dan keasliannya tidak dapat dijamin..
kerana apa sahaja tokok tambah bisa terjadi
sepanjang sela masa 400 tahun tersebut..

selain daripada mempunyai pelbagai versi,
bible juga tidak dijaga menurut bahasa asalnya..

sebagai contoh,
saya sendiri pernah membaca Al-Quran dalam bahasa cina,
namun tulisan aslinya dalam bahasa arab tetap ada
dan tidak boleh kita pisahkan..

berbeza dengan bible,
terdapat banyak salinan yang diterjemah ke bahasa asing,
tetapi bahasa asalnya tidak disekalikan..

bukankah jika kita menterjemahkan sesuatu bahasa ke bahasa lain,
pasti berlaku perubahan makna walaupun sedikit..

jika ada keraguan pada terjemahan tersebut,
lalu pada buku manakah yang harus kita rujuk?
yang berbahasa inggeris? atau cina? atau melayu? atau indonesia?
sedangkan semua itu sudah berbeza dari manuskrip asal..

tetapi AQ tidak begitu..
bahasa arab menjadi rujukan dan sumber
mengeluarkan apa-apa jua ijtihad dan hukum..
oleh kerana itu,
mereka yang ingin menjadi pakar dalam agama islam,
tidak kiralah bidang fiqh, hadith, syariah atau sebagainya..
harus juga memahirkan diri dalam bahasa arab..
kerana bahasa arab itu bahasa rasminya..


jika dibandingkan pula isi yang terdapat dalam AQ dan bible..
terlalu banyak bukti yang boleh kita bincangkan..

antaranya fakta-fakta yang bercanggahan dalam bible..
begitu pula dengan kisah dan penulisan yang lucah di dalam bible..
mari kita fikir sejenak..

jika benarlah bible dari tuhan,
lalu adakah tuhan 'kurang cerdik' hingga mampu melakukan kesalahan seperti itu?
Astaghfirullah,
Allah itu Maha bijaksana dan Maha mengetahui..
segala ilmu di dunia dan akhirat adalah milikNya..
lalu tidak sekali-kali mungkin Tuhan melakukan kesalahan..

maka,
adakah bible itu yang benar? dan tuhan yang TERsalah?

dalam Al-Quran pula,
terlalu banyak fakta benar yang sudah dapat
dibuktikan oleh para saintis masa kini..

contoh yang famous adalah seperti theory big bang (21:30)
proses kejadian manusia (22:5) dan sebagainya..

kita harus lebih jelas sekarang
tentang perbezaan antara keduanya..
dan diagnosis kita seharusnya sudah menampakkan hasil..

wallahua'alam..

sebarang pertanyaan,
sila ajukan..
kami dengan hati terbuka menerimanya~
moga bermanfaat..


p/s: bahan bacaan lain : http://www.answering-christianity.com/hot_gas.htm

Thursday, November 26, 2009

Sambutan Hari Raya Aidil Adha 1430H


  • Iftor Hari Arafah (9 Zulhijjah)

Masa : Khamis (26/11/09)
Tempat : Masjid Ibnu Sina, Unpad.

Tentatif:

5.30pm - Iftor, solat Maghrib & Isya'

7.15pm - Ceramah Qurban by Dr MAZA
(Mantan Mufti Perlis)


**Puasa sunat Khamis & Hari Arafah..Moga Ibadah kita diterimaNya.ameen.

Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah s.a.w telah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Maka jawab Rasulullah, maksudnya:
“Dikifarah (diampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang.”
(HR Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan baihaqi)


  • Sambutan Hari Raya 'Idul Adha

Masa : Jumaat (27/11/09)
Tentatif:

6.20am - Solat Sunat Idul Adha, di Masjid As-Syifa, FK Unpad.

[Imam & khatib insyaAllah Dr MAZA]

7.30am - Penyembelihan haiwan qurban, di Puri Alpina.



**Semua muslimin/muslimat dijemput hadir & menyerikan majlis~^^

**Kami warga IMAN ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA buat seluruh muslimin/muslimat di Bandung dan seluruh dunia..sama2 kita menghayati erti pengorbanan & memaknakan Aidil Adha kali ini dgn penuh keTAQWAan.ameen~

"QURBAN PESONA TAQWA"

Tuesday, November 17, 2009

Qurban Pesona Taqwa

Dengan bertemakan 'Qurban Pesona Taqwa', IMAN dengan kerjasama PKPMI dan KUBI akan mengadakan MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA bagi menyambut kedatangan 10 Zulhijjah 1430 tidak lama lagi.

Bersempena dengan itu, IMAN telah merancang pelbagai aktiviti:

1) Ceramah Qurban
Tarikh: 23 November 2009
Hari: Isnin
Tempat: A3 Teater FK
Jam: 6.30 petang

2) Iftar Hari Arafah
Tarikh: 26 November 2009
Hari: Khamis
Tempat: Aula Bale Padjadjaran 4
Jam: 5.30 petang

3) Sambutan Qurban
Tarikh: 27 November 2009
Hari: Jumaat
Tempat: Puri Alpina

Marilah sama-sama kita memeriahkan majlis dan menghayati erti pengorbanan yang sebenar.