Tuesday, September 18, 2012

Rahsia Ketenangan


Assalamualaikum wbt.

Sebelum meneruskan pembacaan, alangkah baiknya jika kita semua dalam keadaan tenang seperti tajuk yang diberi semoga mendapat input dengan lebih mudah. Okey? Chill je J

Cara-cara ingin hati tenang:

1. Evaluasi diri sendiri; Ingat semula, Muhasabah diri: katakanlah kepada diri ini bahawa, setiap yang berlaku ada rahsia Allah S.W.T. yang disebaliknya untuk kita.  

Seperti contoh:

a) Dalam perjalanan ke kuliah, tiba-tiba datang seekor burung di atas kita tanpa kita sedari, lalu terkena tahinya di kepala kita. Apalagi, kita pun terus rasa nak maki kepada burung tu kan. Tapi, jangan cepat melatah. Mungkin di sini kita ingin diselamatkan Allah dari apa-apa kemalangan atau ujian seperti jatuh longkang  jika kita teruskan perjalan tadi. Ataupun ingin diselamatkan dari melakukan dosa seperti mengumpat lalu Allah alihkan perhatian kita.

Contoh yang kedua:

b) Sewaktu kita baru mengangkat takbir pada permulaan solat, sudah pun merasa khusyuk membacakan doa iftitah, tiba-tiba datanglah seekor kucing mengeluarkan satu cecair yang boleh tahan bau hancingnya dan terkena kaki ataupun telekung bagi akhwat. Sekaligus, membatalkan solat kita itu. Panas hati tidak kepalang. Tapi jangan. Lihatlah kembali kepada mukanya yang comel dan innocent itu pasti akan meredakan semula kemarahan kalian. InsyaAllah. Di sini mungkin Allah juga ingin mengingatkan tentang telekung itu yang sudah berbulan-bulan pinjam di masjid ataupun kepunyaan orang yang harus dipulangkan dengan segera ataupun mungkin kita telahpun hilang air wudhu’ tanpa kita sedari.

2. Kerap menunaikan solat sunat taubat

عن أبي بكر رضي الله عنه أنه قال: "سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: " ما من عبد يذنب ذنباً فيُحسِنُ الطهور ثم يقوم فيصلي ركعتين ثم يستغفر الله إلا غفر الله له " ثم قرأ هذه الآية {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ} آل عمران: الآية 135 . رواه أبو داود (1521) وهو حديث حسن.

Daripada Abu Bakar RA katanya : Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang hamba itu melakukan suatu dosa, lalu dia mengelokkan bersucinya (berwuduk) kemudian dia berdiri dan bersolat dua rakaat, kemudian dia beristighfar kepada Allah, melainkan Allah akan mengampunkan dosanya”. Kemudian baginda membaca ayat ini: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.
(Riwayat Abu Dawud - hadith hasan)

Mungkin ada satu ketika kita berada dalam keadaan yang resah gelisah, tidak boleh duduk diam yang boleh jadi kita alpa yang kita ada melakukan kesalahan padaNya ataupun kepada keluarga, rakan-rakan atau mungkin juga persekitaran. Ini adalah salah satu cara yang mudah dan boleh dilakukan dimana-mana dan pada bila-bila masa sahaja supaya kita menjadi lebih tenang iaitu mendekatkan diri kepadaNya.

3. Cukuplah Allah sebagai penolong kita

                Kita harus YAKIN! Bahawa Allah selayaknya yang boleh membantu kita. Tak mungkin Allah akan abaikan kita. Segala-galanya yang diberi dan yang wujud di dunia ini adalah milik Allah, jadi janganlah sandarkan pada yang lain selain Allah. Walaupun ini adalah yang paling susah, tetapi kita harus usahakan supaya kita betul-betul beriman kepada yang Esa.

Capailah sampai satu tingkat iman ini, apabila mereka akan mengucap kalimah ‘Alhamdulillah’ ketika mendapat musibah. Setiap urusan kita mohon pertolongan dari Allah. Jangan ada ragu walau sedikit pun. Yakin pada Allah. Allah akan memberi rezeki yang tidak disangka-sangka kepada kita. 


Monday, September 10, 2012

"Buta" Walaupun Celik


Assalamualaikum, entri kali ini berkisar tentang muhasabah diri dan saya berharap dapat kita semua dapat mengambil iktibar.

Nikmat penglihatan yang dikurniakan Allah kepada kita membolehkan kita melakukan rutin atau mengkoordianasi pergerakan kita sehari-hari. Namun, secelik , sebuntang, sebulat mana pun mata kita, ada banyak lagi perkara yang kita "buta".

Kita akui kita sensitif dengan isu umat kita yang kini ditindas, dihina, dibunuh, diseksa! Namun apakah inisiatif kita supaya dapat membantu saudara kita walau sebiji zarah sekalipun?

Kita mengaku kita membela saudara seumat kita di Rohingya, Syria, Palestin dan yang lain-lain, tapi kita masih bermegah-megah dan seronok berbelanja produk import yang membiaya bekalan senjata dan keperluan untuk menindas dan berlaku kejam terhadap saudara kita.

Jangan kita hanya celik kepada dunia dan buta terhadap alirannya. Marilah kita sama-sama memboikot produk-produk yang membiaya israel laknatullah!

Walaupun orang anggap ini sekecil-kecil usaha, namun jika ramai yang menyertainya ia akan memberi impak yang besar. Kita umpama menabung saham-saham kebebasan saudara Islam kita di sana sekaligus menabung saham kita dia akhirat kelak. InsyaAllah. 


Sedarlah rakan-rakan, jangan terhimpit dengan jenama. Ambil inisiatif yang bukan hanya memuaskan diri sendiri. MARI BOIKOT PRODUK ISRAEL!






Thursday, September 6, 2012

Semut pun sedar...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

(Petikan yang diambil dari majalah Solusi ed 43)
 


Bahkan apabila berbaring sekalipun terdapat makna yang mendalam bagi seorang ulama sehebat Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari.

Kisah ini diceritakan oleh Muhammad bin Abi Hitam yang merupakan murid bagi Imam al-Bukhari.
Beliau berkata,
"Suatu hari, aku melihat Imam al-Bukhari sedang baring terlentang. Pada hari itu kami berada di kota Firabr untuk menulis kitab tafsir dan sebab itulah beliau berasa sangat penat"

Aku berkata padanya:
"Aku pernah mendengar kamu berkata 'Aku tidak pernah melakukan sesuatu tanpa ilmu sejak aku baligh'. Lalu, apa ilmu yang ada ketika baring terlentang yang sedang engkau lakukan ini?"

Al-Bukhari menjawab;
"Aku sangat penat hari ini. Kota ini ialah benteng dan sempadan negeri kaum muslimin. Aku khuatir musuh akan menyerang pada bila-bila masa. Oleh sebab itu, aku berniat berehat sekejap untuk mengembalikan kekuatanku"
Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Tajuddin Abdul Wahab bin Ali al-Subki dalam kitabnya, Tabaqat al-Shafiyyah al-Kubra.

INSAN EFEKTIF.

Kisah  di atas menggambarkan betapa para ulama salaf merupakan insan-insan yang sangat efektif. Setiap kali melakukan sesuatu perbuatan walaupun kecil, mereka selalu melakukannya berasaskan ilmu. Mereka sedar hukum perbuatan tersebut dan matlamatnya.

Ulama Kufah bernama Zabid bin al-Harith al Yami berkata:
"Aku suka memulakan setiap aktivitiku dengan niat, bahkan sebelum makan ataupun tidur"

Misalnya apabila makan, mereka berniat bukan untuk memuaskan nafsu dan menghilangkan lapar semata, tetapi agar lebih kuat untuk beribadah kepada Allah dengan asbab lebih bertenaga selepas makan.
Maka, dengan niat seperti ini, makan pun akan mendapat pahala.
Begitu juga dengan tidur, rehat dan semua aktiviti lain. 
Segala aktiviti rutin ini akan ditulis sebagai ibadah di sisi Allah apabila ia diniatkan untuk meraih REDHA ALLAH.


Berniat kerana Allah sebelum makan misalnya akan menyedarkan hakikat diri kita yang selalu fakir kepada rahmat Allah. Sesungguhnya, setiap nikmat yang kita miliki adalah kerana sifat Maha Pemurah Allah swt. Dan kita akan malu untuk melakukan maksiat padaNya.

Sheikh Abdul Wahab al-Sha'rani berkata:
"Sesiapa yang terbiasa menghadirkan hatinya kerana  Allah ketika makan dan minum, Allah akan memberinya sifat qanaah dan zuhud. Allah juga akan menjaganya dari pada kejahatan nafsunya"

SEMUT PUN SEDAR!

Jika sesiapa yang biasa menonton Animal Planet, banyak jenis haiwan yang dipaparkan, jika diamati amat sedikit (malah mungkin tidak ada) haiwan yang melakukan suatu aktiviti tanpa sedar dan tahu apa yang mereka sedang lakukan.

Seekor haiwan tidak akan keluar dari sarangnya kecuali untuk makan atau mengawan. Mereka tidak menyerang haiwan lain kecuali apabila berasa lapar atau terancam. Bahkan, seekor semut apabila melangkah keluar dari lubangnya, ia tahu apa yang dicari.

Sesetengah pemuda menghabiskan usianya dengan belajar, namun tidak tahu apa matlamatnya dalam menuntut ilmu. Pemuda lain pula sibuk bekerja siang dan malam namun tiada matlamat ketika bekerja.

Malah, jika ditanya pada pemuda Islam tentang rencana hidup masa hadapan, ada yang berkata,
"saya tidak tahu..." "saya belum terfikir..." atau seumpamanya.

SEDARKAH AKU?
 Melalui penjelasan diatas, kita dapat fahami ucapan Iman Al-Ghazali:
"Semakin dekat gerakan dan pemikiran seseorang kepada aturan,
semakin jauh kedua-duanya daripada kebetulan, maka semakin dekat darjat orang tersebut kepada darjat anbia dan awliya', malah semakin dekat juga dirinya kepada Allah swt"
Demikian ucapan beliau dalam Ihya' Ulum al-Din.
Apa pun yang anda lakukan saat ini, berhenti sejenak dan ajukan soalan pada diri anda,
"Apa yang sedang aku lakukan ini? Apa niat dan matlamat aku?"

Wallahua'lam.