Saturday, August 24, 2013

Cry No More - From Malaysia With Love 2013


" Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih"
(Surah Al - Insan ayat 8 - 9)


Sesungguhnya Islam telah menganjurkan kita bantu - membantu sesama manusia dikala mereka dalam kesusahan. Sikap itu perlu ada dalam setiap individu muslim itu sendiri. Sehubungan dengan itu, Islamic Malaysian Association (IMAN) bersama - sama dengan semua pelajar Malaysia di Indonesia telah mengadakan satu program yang telah diadakan sejak IMAN ditubuhkan iaitu Cry No More


Objektif program ini adalah untuk membantu dan meringankan beban yang dihadapi oleh masyarakat setempat dalam menjalani ibadah puasa dengan dibekalkan dana oleh semua pihak di Indonesia dan Malaysia. 


Untuk Cry No More kali ini telah diadakan di berbagai - bagai sekitar Bandung, Indonesia

PART 1
Lokasi : Sukawening, Jatinangor, Indonesia
Tarikh : 21 Julai 2013
Waktu : Selepas Zohor

Lokasi pertama Cry No More kali ini dimulakan di Sukawening, Jatinangor. Pemberian berbentuk Ssembako telah diagihkan ke setiap penduduk kampung di Sukawening. Kelihatan wajah - wajah penduduk kampung amat gembira ketika pihak kami memberikan sembako ini. Kami telah dibantu oleh Kepala Desa di situ untuk mengagihkan sembako ini kepada keluarga yang betul memerlukan










PART 2 - Sahur On The Road
Lokasi : 1) Jalan Asia Afrika, Bandung 2) Jalan Otto Iskandardinata, Bandung
Tarikh : 26 Julai 2013
Waktu : Sekitar 12 tengah malam

Pada tengah malam 26 Julai 2013, program Sahur On The Road telah dijalankan bersama pelajar Malaysia di Jatinangor dan juga senior KOAS di Bandung. 3 buah kenderaan sumbangan Whypaymore Travelandtours telah digunakan oleh pihak kami untuk memberikan sumbangan berbentuk makanan telah diagihkan kepada gelandangan sekitar Jalan Asia Afrika dan Jalan Otto Iskandardinata sebagai bekalan mereka bersahur



PART 3
Lokasi: 1) Panti Asuhan Riyyadul Jannah, Sayang, Jatinangor 2) Panti Asuhan Al-Mu'min, Tanjung Sari
Tarikh : 3 Ogos 2013
Waktu : Selepas Zohor

Untuk bahagian terakhir program Cry No More ini, IMAN dan bersama - sama pelajar Malaysia di Jatinangor telah berkunjung ke 2 buah panti asuhan di Jatinangor iaitu Panti Asuhan Riyyadul Jannah dan Panti Asuhan Al - Mu'min.
Barangan sembakok seperti beras, gula, minyak masak dan lain - lain barang keperluan asas telah diagihkan kepada dua buah panti asuhan ini






Semoga program Cry No More - From Malaysia With Love dapat membantu mereka yang memerlukan. Terima kasih juga kepada semua yang memberikan sumbangan di atas program ini mahupun di Malaysia dan di Indonesia. Terima juga diucapakan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung pada program. Moga Allah redha terhadap apa yang kita lakukan ini. 

" Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Maka itulah orang yang mengherdik anak yatim. Dan tidak mendorong memberi makan orang miskin"
(Surah Al - Maun : Ayat 1 - 3)

Reminder For Ramadhan (REFORM) 2013/1434H

Program Reminder For Ramadhan (REFORM) sudah menjadi acara tahunan Islamic Malaysian Association (IMAN) PKPMI - CB bagi menyambut Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Oleh itu, pada 6 Julai 2013 bersamaan 28 Syaaban 1434H bertempat di C.5.3 Teater Fakultas Kedokteran UNPAD telah mengambil initiatif untuk mengadakannya pada tahun ini. Sambutan program REFORM pada tahun ini amat mengalakkan walaupun kebanyakkan pelajar Malaysia di UNPAD sudah pulang ke tanah air.






Program dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Nur Azlan bin Ab Razak dan diikuti oleh bacaan Tilawah Al - Quran oleh saudara Kamarul Syariza Zamri. IMAN telah membawa seorang penceramah jemputan untuk menyampaikan ceramah REFORM ini iaitu ustaz Sharifuddin. Beliau merupakan seorang penceramah bebas dan banyak memberikan ceramah sekitar Bandung.


Ustaz Sharifuddin bin Daus


Untuk ceramah ini terbahagi kepada 3 bahagian dimana 2 bahagian pertama merupakan sesi ceramah oleh ustaz Sharifuddin manakala bahagian ketiga merupakan sesi soal jawab. Untuk menemani ustaz Shafifuddin, saudara Md. Asyraf bin As'ari telah dilantik sebagai moderator majlis


Ustaz Sharifuddin bersama saudara Md. Asyraf

Untuk bahagian pertama sesi ceramah ini banyak menekankan tentang kesedaran kepada semua tentang kita sebagai manusia banyak melakukan dosa. Oleh itu, sebelum kita menempuhi bulan Ramadhan hendaklah kita menghapuskan dosa - dosa kita dengan cara bertaubat, memperbanyakkan kebaikan






Setelah berehat selama 10 minit, sesi ceramah Tarhib Ramadhan diteruskan dengan bahagian kedua. Di sesi kedua ini, banyak menerangkan tentang Fiqh Ramadhan antaranya fadilat dalam bulan Ramadhan, golongan diwajibkan berbuka dan amalan - amalan dalam bulan Ramadhan.


Antara slide Ustaz Sharifuddin




 Seterusnya, program diteruskan dengan sesi soal jawab oleh para pelajar jika ada sebarang kemusykilan

Sesi soal jawab
Sebelum program ini berakhir, terdapat sedikit cenderahati oleh pihak IMAN kepada ustaz Sharifuddin


Dengan berakhirnya penyampaian cenderahati itu, program Reminder For Ramadhan (REFORM) berakhir. Semoga dengan program yang dijalankan dapat sedikit sebanyak menambah ilmu pengetahuan kita dalam menjalani ibadah puasa dan puasa kita diterima oleh Allah SWT. In Shaa Allah


“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah al-Baqarah : ayat 183)



Sunday, June 9, 2013

IMAN CIRCLE 2013

Pada tanggal 15 Mei 2013, IMAN PKPMI - CB telah mengadakan IMAN CIRCLE & IFTAR kali pertama sesi 2013/2014 bertempat di Masjid Ibnu Sina , Universitas Padjadjaran. Tujuan utama aktiviti ini diadakan adalah untuk merapatkan ukhwah di antara ahli IMAN terutamanya kepada ahli2 IMAN yang baru. Alhamdulillah, aktiviti ini mendapat sambutan dan dihadiri kira2 40 orang ahli IMAN PKPMI - CB. Acara bermula jam 1700 WIB, dan dipengerusikan oleh saudara Azizi bin Zainodin (TWP12). Majlis dimulakan dengan bacaan doa seterusnya diikuti dengan 'sharing' oleh saudara Nur Azlan Razak (TWP12) mengenai hari Nakbah.



Pengerusi Majlis pada petang itu, saudara Azizi bin Zainodin




Sharing Hari Nakbah oleh saudara Nur Azlan Razak



Seterusnya, majlis diteruskan dengan sedikit perkongsian dari Amir IMAN 2013/14 , saudara Muhamad Shafiq Aidi bin Amaran (TWP 11)






Dan setelah azan Maghrib berkumandang, ahli2 IMAN pun menunaikan solat jemaah bersama-sama. setelah itu, majlis iftar pun berlangsung.




Para Akhwat sedang menghidang makanan




ceria dapat makan bersama sama :)






setelah selesai nya majlis iftar, para ikhwan dan akhwat pun menunaikan solat isyak secara berjemaah. Dan kami pun bersurai. harapan kami semoga program ini dapat berlangsung lagi pada akan datang, insyaAllah secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturrahim sesama ahli2 IMAN.

Wednesday, June 5, 2013

Saff Kepimpinan IMAN Sesi 2013/2014

CARTA ORGANISASI IMAN 
SESI 2013/2014

AMIR
Muhamad Shafiq Aidi bin Amaran (TWP11)

AMIRAH
Nur Ajjrina binti Abdul Rahman (TWP11)

SETIAUSAHA
Siti Fatmah binti Azizi (TWP11)

BENDAHARI
Syed Muhamed Suhail bin Syed Mohamad (TWP11)

UNIT PEMBANGUNAN MODAL INSAN
K: Md. Asyraf bin As'ari (FK09)
P: Murni binti Hamzah (TWP11)

UNIT PENERBITAN DAN INFORMASI
K: Siti Nor Arifah binti Sariman (TWP11)
P: Azizi bin Zainodin (TWP12)

UNIT EKONOMI
K: Amal Azimah binti Ahamad (FF10)
P: Siti Hajar binti Jamal Mohamad (TWP11)

VISI IMAN

Melahirkan individu muslim professional berasaskan kefahaman Islam yang sebenarnya dan syumul merangkumi kehidupan duniawi dan ukhrawi berdasarkan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

MISI IMAN
  • Memantapkan ukhuwwah dalam kalangan ahli IMAN khususnya, dan pelajar-pelajar UNPAD umumnya di bawah semangat persaudaraan Islam.
  • Menekankan aspek pembinaan aqidah dan akhlak dalam diri setiap ahli IMAN.
  • Menerapkan 10 Muwasafat Tarbiyah dalam diri setiap ahli IMAN melalui wasilah-wasilah tarbiyah.
  • Menerapkan kefahaman Islam yang sebenar-benarnya dan syumul kepada mahasiswa Islam di UNPAD melalui program-program umum, daurah, serta iftar umum.
  • Memupuk kesedaran dan penghayatan dalam kalangan mahasiswa Islam tentang isu-isu berkaitan dunia Islam.
  • Melahirkan individu muslim yang berkemahiran dalam menyampaikan dakwah melalui pelbagai metode.
  • Mengadakan hubungan dan menjalinkan kerjasama dengan badan dan pertubuhan lain yang bergerak dalam memperjuangkan Islam.

"Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
[QS Muhammad 47:7]


Thursday, May 23, 2013

MUKTAMAR DAN MAJLIS PERPISAHAN IMAN 2013 - DALAM DEKAPAN UKHUWAH

Pada 7 April 2013 bersamaan 26 Jamadil Awal 1434 H, IMAN PKPMI - CB telah mengadakan muktamar IMAN kali ke - 5. Bertempat di Aula Bale Padjadjaran 4, Universitas Padjadjaran, bertujuan membentangkan laporan aktiviti dan kewangan IMAN sepanjang sesi 2012/2013. Ia dihadiri lebih kurang 50 orang ahli IMAN. Bermula pada pukul 8 pagi, majlis muktamar dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Farez Fitri dari angkatan TWP12. Selepas itu, ucapan pembukaan oleh Amir IMAN 2012/2013, saudara Muhammad Taupek bin Ahmad

Ucapan oleh saudara Muhammad Taupek, Amir IMAN 2012/2013
Seterusnya majlis muktamar diteruskan lagi pembentangan laporan dari Setiausaha 1, saudari Nur Ajjrina 
binti Abdul Rahman. Di sambung pula dengan pembentangan laporan dari Bendahari 1, saudara Muhammad 
Fikri bin Idrus dan ikuti dengan pembentangan laporan dari ketua - ketua Unit IMAN 2012/2013. Akhir sekali, Amir IMAN mengumumkan pembubaran organisasi IMAN 2012/2013 dan juga pengumuman organisasi IMAN yang baru bagi sesi 2013/2014. Saudara Muhammad Shafiq Aidi bin Amaran telah dilantik sebagai Amir IMAN bagi sesi 2013/2014 manakala saudari Nur Ajjrina binti Abdul Rahman telah dilantik sebagai Amirah IMAN untuk sesi 2013/2014. Semoga dengan dibawah kepimpinan yang baru ini dapat memantapkan lagi perjalanan dakwah dan tarbiyah.


Sesi soal jawab oleh ahli IMAN
Sesi pembentangan laporan

Ucapan oleh Amir IMAN bagi sesi 2013/2014, saudara Shafiq Aidi


Sesi taaruf oleh ahli IMAN yang baru
Seterusnya majlis telah diambil alih oleh ahli IMAN yang baru untuk diteruskan ke majlis perpisahan 
ahli IMAN. Bertemakan 'Dalam Dekapan Ukhuwah', objektif majlis ini untuk menjalinkan ukhuwah sesama ahli IMAN sendiri.  Ini kerana terdapat beberapa ahli IMAN yang kembali ke Malaysia. Pertama sekali, majlis 
perpisahan ini dimulakan dengan sesi taaruf bersama ahli IMAN yang baru. Ahli - ahli IMAN yang baru 
amat bersemangat dalam sesi taaruf ini dan semoga kekal bersemangat bersama - sama dalam IMAN



MC untuk majlis perpisahan IMAN
Selepas sesi taaruf, pergi ke agenda utama iaitu sesi makan - makan. Tetapi sebelum itu, terdapat sesi 
quiz yang telah disediakan oleh ahli - ahli IMAN yang baru ini. Hadiah juga telah disediakan oleh mereka
Selesai makan, ada satu lagi aktiviti yang disediakan oleh mereka iaitu permainan mencari puzzle. Ahli - ahli IMAN dipecahkan beberapa kumpulan dan mereka dikehendaki mencari serpihan puzzle berdasarkan klu 
yang mereka ada. 

Sesi makan dalam talam


salah satu kumpulan dalam game mencari puzzle


"Semua orang yang ada dalam hidup kita, masing-masingnya bahkan yang paling menyakiti kita, diminta untuk ada disana agar cahaya kita dapat menerangi jalan mereka" - Salim A. Fillah


Ayat diatas merupakan jawapan puzzle yang mereka cari. Semoga kita dapat mencari maksud tersirat ayat tersebut.



Dengan berakhirnya permainan itu tadi, maka berakhirnya majlis Muktamar & majlis Perpisahan IMAN 2013 yang bertemakan 'Dalam Dekapan Ukhuwah'. Semoga ukhuwah yang kita bina kekal sampai ke akhir hayat. In shaa Allah

Dalam dekapan ukhuwah



MAJLIS MUKTAMAR DAN PERPISAHAN  ISLAMIC MALAYSIAN ASSOCIATION 2013

Saturday, March 9, 2013

"All Is Well"- Semuanya Baik Belaka


Pernah saya katakan, kita akan diuji melalui apa yang kita sayangi dan dengan apa yang selalu kita katakan. Inilah hakikat yang saya alami semasa cuba berdakwah dalam rangka untuk mendidik diri disamping mendidik orang lain. Saya cuba memujuk hati dengan berkata, “ketika Allah menguji kita dengan apa yang kita sering dakwahkan kepada orang lain, itu petanda Allah mengingatkan kita ketika kita mengingatkan orang lain.” Agar kita tidak memperkatakan apa yang tidak amalkan…

Namun, suara hati juga mengingatkan, supaya terus melakukan kebaikan (berdakwah)… bukan kerana kita sudah baik tetapi itulah cara kita hendak menjadi orang yang baik. Ya Allah, berilah petunjuk kepada kebimbangan hati ini… kerana ujian di jalan dakwah ini kekadang dirasakan terlalu berat berbanding iman yang begitu tipis. Hati sering dipujuk untuk mengakui satu hakikat: Allah tidak akan menguji di luar kemampuan seorang hamba untuk menghadapinya.

Sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku, aku sedang diuji. Begitu juga dengan kamu, dan kita semua. Lalu untuk memujuk hati ketika menerima tarbiah Ilahi ini saya nukilkan tulisan ini untuk saya dan kita semuanya… Tajuknya: ALL IS WELL – semuanya baik belaka.    

“Ustaz kata kecemerlangan dunia itu bayangan kecemerlangan akhirat?”

“Ya, “akui saya pendek.

“Atas dasar apa?”

“Berdasarkan kata Imam Syafei, dunia itu adalah tanaman untuk akhirat.”

“Maksudnya?”

“Dunia tempat kita menyemai, akhirat tempat kita menuai. Jika kita hendak merasai buah yang manis dan banyak , sudah sewajarnya pokok yang kita tanam baik dan subur.”

“Saya belum faham…”

Saya merenung wajah pelajar yang sebaya dengan anak saya itu. Dia benar-benar inginkan penjelasan. Terasa masih jauh pendekatan dakwah saya berbanding ulama-ulama silam – yang bercakap dengan jelas, tepat dan lemah lembut.

“Begini nak… jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan cemerlang.”

“Kalau begitu malanglah kalau kita jadi orang miskin, pekerjaan kita buruh, pangkat kita rendah dan kita jadi orang yang biasa-biasa sahaja di dunia.”

“Mengapa begitu?” saya bertanya kehairanan.

“Ya, bukankah orang miskin, marhein dan orang yang biasa-biasa itu dianggap tidak cemerlang di dunia?”

Saya mengurut dada. Mujur dia bertanya.

“Perspektif Islam mengenai kejayaan berbeza dengan takrifan majoriti masyarakat hari ini. Menjadi miskin, seorang buruh dan marhein setelah berusaha bersungguh-sungguh,  bukan bererti gagal. Itu hanya ujian dalam kehidupan.”

Di dalam hati saya bertekad ingin menjelaskan konsep hidup di dunia sebagai ujian terlebih dahulu. Setelah itu baru saya ingin menerangkan erti kejayaan dalam Islam. Ya, lulus ujian baru berjaya.

“Apa maksud dengan ujian kehidupan?” tanyanya lagi. Alhamdulillah, dia membuka ruang untuk saya memberi penjelasan.  Memang benar seperti yang selalu dikatakan, pertanyaan itu kunci kepada ilmu.

“Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… Allah baru menguji kita. Begitu juga apabila Allah berikan kemiskinan buat kita… itu bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita. Bukan itu sahaja, apabila Allah kurniakan kuasa, menarik kuasa, rupa yang cantik, rupa yang buruk, ternama atau biasa-biasa sahaja, semuanya ujian untuk kita.”

“Ujian untuk apa ustaz?”

“Ujian sama ada kita mengingati-Nya atau tidak, mentaatinya atau tidak, “ jawab saya.

Melihat dia terdiam, saya menyambung penjelasan, “ orang miskin boleh berjaya jika dalam miskinnya dia mengingati Allah dengan kesabarannya. Orang kaya, mengingati Allah dengan kesyukurannya. Yang berkuasa, menegakkan keadilan kerana Allah. Yang marhein, patuh dan setia kerana Allah juga. Situasi dan kondisi yang kita hadapi dan alami  bukan penentu kejayaan kita tetapi respons kita terhadap kondidi itu yang lebih penting. Apakah kita bertindak balas dengan apa yang kita hadapi seperti selayaknya seorang hamba Allah? Seorang hamba Allah sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan, positif mahupun positif…”

“Maksudnya, yang negatif pun jadi positif?”

“Ya, semuanya baik, bergantung pada tindak-balas diri kita. ‘All is well’ – semuanya baik. Ya, semua yang datang dari Allah adalah baik belaka kerana semua itu hanya ujian buat kita. Jika kita menghadapinya dengan hati yang sabar, syukur atau redha… ya kita berjaya!”

“Jadi ada orang kaya, berkuasa dan ternama di dunia ini boleh dianggap gagal?”

“Bukan boleh dianggap gagal tetapi  mereka memang gagal. Sekiranya dengan ujian kesenangan, kekuasaan, kenamaan dan kecantikan itu mereka tidak bersuyukur, zalim, kufur,  malah takbur kepada Allah dan sesama manusia.  Sebaliknya orang miskin, marhein dan melarat itu hakikatnya berjaya sekiranya mereka mengingati Allah dalam kesabarannya.”

“Tetapi kalau mereka miskin kerana malas… tidak gigih mencari ilmu, menambah kemahiran  dan ilmu, lalu mereka sabar, apakah itu juga boleh dikatakan berjaya?”

Kritikal betul cara berfikir pelajar ni, bisik hati saya.

“Orang malas bukan orang yang ingat Allah. Sabar itu bukan pasif dan tidak produktif. Sabar itu aktif dan produktif.  Orang yang ingat Allah, akan ingat akhirat. Orang yang ingat akhirat akan sentiasa sibuk di dunia…”

“Orang yang ingat akhirat akan sibuk di dunia?”

“Ya, sebab dia sedar dia hendak menuai di akhirat, jadi sibuklah dia menanam di dunia. Dunia ini jadi kebunnya… Lihat orang berkebun, dia akan  sibuk menebas, menggempur, menyemai benih, memberi baja, mengairi, menjaga tanamannya dari serangga dan macam-macam lagi… Begitulah orang yang hendak menuai di akhirat, akan sibuk di dunia.”

“ Agaknya inilah yang dimaksudkan orang yang paling bijak ialah orang yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya…”

“Benar. Benar sekali. Sebaliknya, sipemalas ialah orang yang dungu, bukan orang yang sabar. Dia tidak akan dapat pahala sabar… sebaliknya mendapat dosa kerana kemalasannya.”

“Malas itu satu dosa?”

“Ya, malas itu satu dosa. Cara bertaubat dari dosa malas ialah dengan gigih bekerja. Kita adalah khalifah di muka bumi. Seorang khalifah wajib memberi kebaikan kepada diri, orang di sekelilingnya dan alam seketiranya. Untuk itu dia mesti rajin. Bagaimana seorang pemalas boleh melaksanakan tugasnya sebagai khalifah?”

Saya teringat khutbah yang baru saya dengar bulan lalu. Yang boleh saya simpulkan daripada kata khatib itu ialah, keadaan yang kita hadapi atau apa yang kita miliki, bukan pengukur kejayaan kita. Sebaliknya, kejayaan kita terletak kepada sejauh mana diri kita mengingati Allah ketika memiliki sesuatu atau semasa kita menghadapi suatu situasi.

Akan saya sampaikan semula apa yang saya terima kepada pelajar itu, insyaAllah. Ya, saya masih ingat ketika khatib itu menegaskan:” Kejayaan Nabi Ibrahim AS bukan kerana baginda tidak terjejas oleh api yang dinyalakan oleh Namrud tetapi kerana ketika di dalam nyalaan api itu Nabi Ibrahim mengingati Allah, kerana kalau kejayaan itu diukur pada tidak terjejas jasad baginda oleh api, apakah kita mengatakan bahawa ‘ashabul ukhdud’ yang terbakar kerana mempertahankan tauhid itu tidak berjaya? Apakah Masyitah dan anaknya yang terkorban apabila dihumban ke dalam api oleh Firaun itu tidak berjaya? “

Khatib itu menambah lagi:” Jika kita katakan, kejayaan itu kepada keadaan Nabi Ismail yang tidak jadi disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS dengan digantikan dengan seekor kibyas… apakah  Nabi Zakaria AS yang syahid dan terbelah dua kerana digergaji oleh musuh Allah itu tidak berjaya? Apakah Sumayyah yang mati ditusuk lembing oleh kafir Quraisy itu tidak berjaya?”

Tanpa disedari air mata mengalir apabila Khatib itu berkata, “tuan-tuan, Nabi Ibrahim, Nabi Zakaria, Sumayyah dan Asyhabul Ukhdud semuanya berjaya… walaupun situasi ujian yang mereka hadapi berbeza. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan  bukan situasi tetapi respons hati mereka ketika menghadapi  situasi itu. Respons hati mereka tetap sama, walaupun situasi yang mereka hadapi berbeza.”

“Respons hati mereka hanya mengingati Allah,” ujar pelajar itu.

“Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita tetapi reaksi atau respons kita terhadap ujian itulah yang memuliakan atau menghinakan kita. Yang sabar dan syukur, jadi mulia… lalu mereka berjaya. Yang putus asa dan takbur, jadi hina… lalu mereka gagal. Sering diungkapkan oleh bijak-pandai, jika dapat limau manis, bersyukurlah. Sebaliknya jika dapat limau masam, jangan kecewa… buatlah air limau!”

“Jadi berjaya di dunia itu letaknya pada hati?” rumus pelajar yang bijak itu.

“Ya. Terletak pada ‘qalbun salim’ – hati yang sejahtera. Hati yang boleh dimiliki oleh sikaya, simiskin, ternama, marhein, sicantik, yang hodoh, pemerintah mahupun rakyat. Hati itulah yang dinilai oleh Allah di Padang Mahsyar kelak ketika semua anak-pinak dan harta-benda tidak berguna lagi…”

Saya menambah lagi,“ Hati yang ingat Allah pada setiap masa, ketika dan keadaan apa pun jua. Itulah kejayaan! Allah Maha adil tidak meletakkan kejayaan kepada yang lain kerana ujian hidup manusia yang ditakdirkan berbeza-beza. Namun berbeza-beza ujian itu matlamatnya sama… sejauh mana kita merasakan kita hamba Allah dan kepadaNya kita akan dikembalikan!”

“Bukankah itu makna ucapan istirja’ -  innalillah wa in na ilaihi rajiun? – kami milik Allah, kepadaNya kami akan kembali,” balas pelajar itu.

Saya mengangguk perlahan, seraya berkata, “hati itulah anakku… yang perlu kita miliki sebelum kembali. Itulah ‘syurga’ di hati kita. Itulah kecemerlangan di dunia yang menjadi petanda kecemerlangan akhirat. Jika di hati kita belum ada syurga itu ketika hidup di dunia… maka sukarlah kita mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat nanti!”

“Apa yang perlu kita lakukan ustaz?”

Saya terdiam. Di dalam hati terlalu sebak. Masih jauh hati ini dengan ‘syurga’ dunia. Dan alangkah jauhnya dengan syurga  akhirat.

“Anakku, kita akan terus diuji. Beruntunglah kerana ujian ini masih ada. Allah masih sudi menguji kita. Hidup masih berbaki. Kalau gagal, kita masih berpeluang untuk mengulang. Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia… kerana ada ‘syurga’ di sini, yang wajib kita miliki sebelum layak menikmati syurga di sana.”

“Syurga di hati kita…”

“Yang ditempa oleh setiap hamba Allah yang sejati… dengan keringat, dengan air mata dan sesetengahnya dengan darah. “

“Hidup di dunia untuk menderita?”

“Tidak anakku… hidup di dunia untuk diuji. Kita akan tenang, berjaya dan bahagia selagi Allah ada di hati kita. Ingat, ‘all is well’, kerana semuanya dari Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Bila diuji, jangan katakan.” ya Allah, ujian-Mu sangat besar. Tetapi katakan, wahai ujian, aku ada Allah yang Maha besar.”

‘Allah is bigger than your problems… insyaAllah, all is well!’ . Tetap adalah lautan kasihNya di sebalik ujianNya yang setitis.

Sumber: Ust.Pahrol Mohd Juoi, http://genta-rasa.com/2012/12/31/all-is-well-semuanya-baik-belaka/

Friday, January 25, 2013

Lemah Iman dan Terapi Mengubatinya


Tidak samar bagi setiap Muslim tentang kedudukan dan posisi tinggi yang dimiliki Iman. Kerana merupakan misi paling penting dan kewajipan yang paling wajib secara mutlak, paling agung dan paling mulia. Setiap kebaikan di dunia dan akhirat terpaut pada keberadaan dan kesahihan Iman serta kesuciannya. Berapa banyak faedah dan buah segar serta kebaikan berkelanjutan yang dimiliki Iman.

Dari sini, orang-orang yang bersemangat berlumba-lumba dalam merawat Iman, dari segi perealisasian dan penyempurnaan. Perhatian seorang Muslim yang mendapat taufik kepada Imannya akan lebih daripada perhatiannya kepada segala sesuatu yang lain. Demikianlah Salaful Ummah. Mereka sentiasa memantau Iman mereka, menyemak amal-amal mereka, serta paling berwasiat di antara mereka.

Umar al-Khattab ra berkata kepada sahabat-sahabatnya, "Kemarilah, nescaya kita bertambah Iman." (Syarh ath-Thahawiyah).

Ibnu Mas'ud ra berkata, "Duduklah bersama kami, nescaya kita bertambah Iman."

Abu ad-Darda' ra berkata, "Termasuk kecerdasan hamba adalah dia mengetahui apakah dia menambah atau mengurangi (Iman)." (Syarh ath-Thahawiyah)

Umair bin Habib al-Khathmi ra berkata, "Iman bertambah dan berkuran." Ditanyakan kepadanya, "Apa yang menambah dan yang menguranginya?" Dia berkata, "Jika kita menyebut Allah dan memujiNya, maka itulah tambahannya, dan jika kita mengabai dan melupakanNya, maka itulah kekurangannya."

Ahmad bin Hanbal berkata, "Iman adalah ucapan dan perbuatan, bertambah dan berkurang. Jika kamu melakukan kebaikan maka ia bertambah, dan jika kamu melalaikan maka ia berkurang."

Mereka, orang-orang baik itu, tahu bahawa Iman memiliki sebab-sebab yang banyak yang dapat menambah, menguat dan menumbuhkannya, serta bahawa ia mempunyai sebab-sebab lain yang banyak pula yang mengurangi dan melemahkannya, maka sikap hati-hati mereka terhadap setiap yang melemahkan dan mengurangi Iman pun semakin besar, sehingga jadilah mereka orang-orang yang baik dan soleh.

Maka, wajib bagi hamba Muslim yang prihatin terhadap dirinya, bersemangat terhadap kebahagiaan di dunia dan akhirat, agar gigih untuk mengetahui fenomena dan gejala-gejala lemahnya Iman, lalu menguatkan hingga darjatnya terangkat di dunia dan akhirat.

Al-Allamah Ibnu Sa'di berkata, "Hamba Mukmin yang mendapat taufik akan sentiasa mengusahakan dua perkara:
  • Pertama, merealisasikan dan mengaktualisasikan Iman dan cabang-cabangnya, dari segi ilmu, amal, dan penampilan.
  • Kedua, berusaha menepis setiap sesuatu yang menguranginya, seperti fitnah-fitnah yang zahir dan batin."
(Dari kitab at-Taudhih wa al-Bayan li Syajarah al-Iman, hal. 38)

Dari sini, ia mengandungi keterangan dan penjelasan untuk point-point berikut:
  • Fenomena dan gejala lemah Iman
  • Sebab lemah Iman
  • Terapi pengubatan lemah Iman
Fenomena dan gejala lemah Iman
  1. Mudah jatuh dalam maksiat dan terjerumus kepadanya sehingga biasa melakukannya.
  2. Tidak terpengaruh dengan ayat-ayat Allah jika dia mendengar atau membacanya.
  3. Sempit dada, mudah berkeluh kesah dan merungut, berasa sempit dari kelakuan-kelakuan manusia, tidak toleransi sehingga tidak tahan menghadapi perilaku saudara-saudara seislam, dan kadang membuat masalah dengan mereka.
  4. Keras hati, tidak merasakan manisnya ketaatan dan rasa nikmat ibadah.
  5. Tidak melakukan ibadah dengan baik.
  6. Tidak merasakan beban tanggungjawab terhadap agama ini, tidak mahu berkorban dengan harta dan waktu untuk membela Islam dan mendakwahnya serta sabar di jalannya.
  7. Malas melakukan amalan-amalan taat dan ibadah serta lalai padanya.
  8. Lalai dari berdzikir kepada Allah, kecuali sikit saja.
  9. Tidak tergerak dengan nasihat, mengingat mati, menghadiri jenazah dan melihat mayat.
  10. Bergantung kepada dunia, cenderung dan mencintainya.
  11. Tidak berasa marah jika larangan-larangan Allah dilanggar, tidak melakukan amar ma'ruf nahi mungkar.
  12. Jatuh dalam syubhat, perbuatan-perbuatan yang dimakruhkan, dan meremahkan dosa dan maksiat.
  13. Banyak melakukan perkara yang menyebabkan kerasnya hati, dan tersebarnya penyakit-penyakit hati seperti hasad, terpedaya, dan lain-lain.
  14. Menganggap remeh perbuatan baik.
  15. Rasa cemas dan takut ketika ditimpa musibah atau dilanda masalah.
"Orang yang beriman akan melihat dosa-dosanya, seakan-akan dia (duduk) di kaki gunung, khuatir (dosa-dosanya) akan jatuh menimpanya. Sementara seorang pendosa akan melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya, ia menepisnya begini, maka ia pun terbang."
[Sahih Bukhari]

Faktor-faktor penyebab lemah Iman
  1. Meninggalkan ketaatan
  2. Kejahilan, kurangnya ilmu agama
  3. Melakukan maksiat dan berbuat dosa
  4. Jiwa yang ammarah bi as-Su' (memerintahkan yang buruk)
  5. Sibuk dengan dunia dan lari di belakang kenikmatan, fitnah dan tipu dayanya.
  6. Bergaul dan berteman dengan rakan-rakan yang buruk perangainya dan orang-orang yang lemah Iman.
  7. Jauh dari suasana Imani seperti majlis-majlis ilmu, rakan-rakan yang baik, solat jemaah, dan sebagainya.
  8. Berada dalam suasana atau lingkungan maksiat.
  9. Berlebihan dalam makan, minum, tidur, bergaul, dan berketawa.
Terapi mengubati lemah Iman
  1. Belajar ilmu yang bermanfaat
  2. Melakukan amalan-amalan soleh
  3. Memikirkan akhir kehidupan dan su'ul khatimah (dalam kematian)
  4. Mengingat mati, alam barzakh, kubur serta azab dan nikmatnya, kiamat, syurga dan neraka.
  5. Zuhud di dunia dan memikirkan nikmat syurga.
  6. Sedikit makan, bicara, dan tidur.
  7. Mempunyai teman baik dan selalu menghadiri majlis-majlis ilmu.
Sumber: Buku Kumpulan Ceramah Pilihan, Menggugah Jiwa Menyentuh Kalbu oleh Ibrahim Abdullah bin Saif al-Mazru'i.

Fitrah manusia ada kala Iman naik, ada kalanya Iman turun. Namun apa yang penting, bagaimana kita menghadapi saat-saat tersebut, dan bagaimana cara untuk menanganinya. Sentiasalah mengikut manual hidup kita, iaitu al-Qur'an dan hadith Rasulullah SAW. Semoga kita sentiasa mendapat keampunanNya dan tergolong dalam kalangan mereka yang beriman, kelak di pengakhiran kehidupan. Insha'Allah.

"Having Iman is like riding a plane, the higher you go, the smaller the things on Earth appear."
— Sheikh Safi Khan