Saturday, June 25, 2011

Cara Bersuci Ketika Punya Anggota Tubuh Yang Dibalut



Soalan: Seorang yang tercedera akibat kemalangan atau apa sahaja, lalu anggota dibalut, apakah yang dia perlu lakukan untuk berwuduk atau mandi wajib?



Jawapan:
 Dalam masalah ini, kebanyakan ulama menyatakan: Dia hanya perlu menyapu air pada balutan berkenaan. Dia tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan tersebut. Bab ini dipanggil al-Mash ‘ala al-Jabirah wa al-‘Isabah iaitu menyapu di atas balutan patah dan luka.
Namun begitu oleh kerana hadith-hadith dalam masalah ini kesemuanya tersangat daif, ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama hadith seperti al-Baihaqi, dan tegaskan lagi oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah, maka berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam masalah ini.
Apa yang dapat dirumuskan dari perbahasan para ulama fekah, ialah dua pendapat yang mudah diikuti;
Pertama: Hanya perlu sapu di atas balutan tersebut. Dia tidak diwajibkan berwuduk sebelum memakai balutan tersebut. Ketika berwuduk atau mandi wajib dia hanya perlu sapu air di atas balutan tersebut, tanpa perlu membasuhnya, atau melalukan air di bawahnya, atau menanggalkannya. Inilah pendapat terpilih daripada kebanyakan ulama Fekah. (‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah, jld 1, m.s. 140, Beirut: Muassasah al-Risalah 1994).
Kedua: Disebabkan hadith-hadith dalam perkara ini terlalu daif, maka terdapat ulama fekah yang berpegang kepada tidak wujud hukum sapuan atas balutan patah atau luka. Sebaliknya anggota yang cedera, atau dibalut tersebut tidak perlu sebarang sapuan atau basuhan kerana telah gugur kewajipan syarak ke atas anggota tersebut. Ini pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (wafat 456H). Kata beliau ketika memberikan alasan pandangannya : “Dalilnya firman Allah:
(maksudnya) “Allah tidak bebankan kepada seseorang kecuali apa yang dia terdaya”.
Juga sabda Nabi s.a.w:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُم
“Apabila aku perintah kamu dengan sesuatu perintah, maka datangilah ia dengan kadar kemampuan kamu” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah, sesuatu kewajipan gugur apabila yang seseorang tidak mampu. Maka gantian kepada yang gugur itu hendaklah berasaskan syarak. Syarak pula tidak wajib diikuti kecuali adanya dalil daripada al-Quran atau sunnah. Namun, tiada dalil al-Quran atau sunnah yang menggantikan basuhan dengan sapuan atas balutan patah atau ubat bagi anggota yang tidak mampu dibasuh”.( Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla, jld 1, m.s. 316, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah t.t)
Salah satu pendapat atas boleh untuk diamalkan dan lebih mudah dari seseorang terikat dan taksub kepada mazhabnya sehingga akhir meninggalkan solat. Pendapat al-Imam Ibn Hazm lebih praktikal secara hujah dan perbandingan. Memudahkan hal ini adalah baik dari memberikan pendapat mazhab yang lemah lagi menyusahkan pesakit sehingga kemungkinan mereka meninggalkan solat.
ALLAH LEBIH MENGETAHUI...



0 comments: