Friday, November 26, 2010

Muhasabah Iman Kita

Apakah petanda keimanan yang tidak beroperasi?

Ada beberapa.

Mengapa penting untuk kita mengetahuinya?

Untuk mengukur diri kita. Untuk melihat ‘keadaan sebenar’ kita. Untuk memerhatikan apakah yang patut kita lakukan pada diri kita.

Sekiranya tidak mahu ambil pusing?

Terpulang. Tetapi selagi saya masih hidup, saya akan berusaha membangkitkan hal-hal ini buat peringatan diri dan orang lain bersama. Keimanan yang tidak beroperasi hanya akan melahirkan peribadi yang tidak berkualiti, hilang ‘kekuatan sebenar’ dan mudah tersungkur ke dalam kegelapan.

Dan hari ini, keimanan yang tidak beroperasi itu tidak semata-mata disebabkan oleh diri sendiri yang tidak ambil peduli. Zaman ini, ada musuh yang berusaha untuk mematikan operasi keimanan dalam diri mukmin, dan mereka juga berusaha menambah ketidak pedulian muslim terhadap keimanan mereka.

iman

Tidak membuahkan amal

Satu petanda bahawa keimanan kita tidak beroperasi adalah, kita tidak mampu melakukan amal kebaikan. Kita merasakan bahawa, keluar dari kesenangan dunia adalah satu kepayahan, menyebabkan kita merasa tidak perlu kepada amalan tambahan.

Akhirnya kita duduk di atas dunia ini, tanpa melakukan kerja-kerja kebaikan. Baik buat diri sendiri, mahupun buat masyarakat.

Tolakan keimanan adalah apa yang diperlukan, kerana melakukan amalan bermakna akan berlakunya pengorbanan masa, kemungkinan juga melibatkan pengorbanan harta, bahkan ada yang beramal hingga mengorbankan nyawa(Jihad fi sabilillah).

Hal ini kerana, keimanan adalah keyakinan bahawa semua pengorbanan itu ada ganjarannya. Semua amalan itu ada kebaikannya. Kehilangan keimanan ini, menyebabkan kita tidak lagi ‘bernafsu’ dalam melaksanakan perkara-perkara kebaikan. Kita akan rasa berat, kita akan rasa lemah. Lebih buruk, kita rasa semua itu membazir masa kita.

Keimanan tidak akan terus lenyap begitu sahaja. Kita akan melihat ‘penurunan’nya terlebih dahulu. Kita sepatutnya peka dan sensitif di dalam hal ini. Mungkin dahulu kita jenis membaca Al-Quran sehari sepuluh muka surat, tetapi sekarang membaca Al-Quran sehari semuka pun sukar. Dahulu kita selalu ke masjid, sekarang tidak lagi. Dahulu kita selalu bangun Subuh tepat waktu, sekarang tidak lagi.

Perkara-perkara ini, adalah petanda bahawa keimanan kita mengalami ‘penurunan’.

Kata-kata Tabi’in yang popular berbunyi begini: “Iman itu bukan sekadar bicara, bukan juga sekadar cita-cita, tetapi iman itu adalah apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amal.”

Mukmin yang memahami kepentingan iman, dan mengetahui betapa iman adalah ’sumber tenaga’nya untuk terus menjadi hamba Allah SWT, akan peka dan sensitif akan hal ini. Melihat ‘penurunan’, maka dia akan segera berusaha muhasabah diri dan menolak diri untuk naik semula.

Tidak rasa benci dengan dosa

Antara lain petanda bahawa keimanan sudah mula tidak beroperasi adalah, hilangnya perasaan benci kepada dosa. Orang-orang yang beriman, akan melihat bahawa keredhaan Allah adalah utama. Maka, dosa adalah musuh mereka yang pertama.

Namun, apabila diri sudah merasakan ‘biasa’ dengan dosa, melihat kemungkaran itu sebagai ‘adat’, merasakan bahawa maksiat itu adalah ‘tidak mengapa’, menganggap mengambil sistem selain sistem Allah itu adalah ‘normal, modenisasi’ dan sebagainya, maka itu adalah tanda bahawa keimanan kita ‘mengalami penurunan’ dan mula tidak beroperasi.

Apabila iman tidak beroperasi, kita tidak akan merasakan bahawa mungkar itu perkara besar. Normalnya, orang beriman akan melihat bahawa hubungannya dengan Allah adalah perkara yang besar. Maka, apa-apa yang memutuskan hubungannya kepada Allah, adalah besar juga untuk diperhatikan buat dielak.

Tetapi apabila kebencian terhadap dosa itu hilang, nyatalah bahawa kita tidak lagi menganggap bahawa hubungan kita dengan Allah adalah penting. Atau dalam erti kata lain, keimanan kita tidak mampu lagi memproses bahawa dosa adalah berlawanan dengan apa yang Allah SWT redhai.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulallah SAW bersabda: “Tidak akan berzina seorang penzina, jika ketika itu dia sedang beriman. Tidak akan minum arak, orang yang minum, jika ketika itu dia sedang beriman. Tidak akan mencuri seorang pencuri, jika ketika itu dia sedang beriman”. Hadith Sohih Riwayat Bukhari.

Hadith jelas menyatakan bahawa, keimanan itu tidak wujud di kala wujudnya dosa. Maka, bagaimanakah pula yang menganggap dosa adalah perkara ‘normal’?

Bila keimanan tidak beroperasi

Tidak mampu melakukan amal kebaikan, dan tidak pula mampu menentang keburukan, maka apakah lagi yang ada di tangan kita?

Tiada apa-apa. Di sinilah jahiliyyah akan merayap dan melilit ummah, di kala kita semua terbelenggu kerana tidak beroperasinya keimanan. Akhirnya, hanya kekalahan yang menanti, hanya kemusnahan yang menunggu, hanya kehancuran yang ada di penghujung.

Itu bahananya apabila keimanan kita tidak lagi beroperasi.

Deria orang beriman, adalah keimanannya. Keimanan, adalah deria utama untuk mengesan kebaikan dan keburukan, deria utama untuk menggerakkan segala pancaindera tunduk dan taat kepada Allah SWT. Tidak beroperasinya keimanan, bermakna lumpuhlah seorang mukmin.

Lebih dasyat lagi, ia memberikan kekalahan abadi kepada kita di neraka nanti.

Penutup: Apa khabar iman?

Dahulu, saya ada ramai senior yang akan memulakan pertanyaan khabar dengan berkata: “Apa khabar iman?” Dan sehingga hari ini, saya masih teringat senyuman mereka di kala bertanyakan hal itu.

Terasa hidup dengan soalan yang automatik membuatkan diri bermuhasabah dan bergerak untuk meningkatkan keimanan.

Maka di sini saya ingin bertanya.

“Apa khabar iman kita?”

Dan kita jawablah dengan amalan.

0 comments: